Seronok ke Majlis Rumah Terbuka Dr. Yusri Mohamad

23 06 2019

Semalam saya berkesempatan hadir ke majlis rumah terbuka mantan Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad di kediaman beliau di Bandar Baru Bangi.

Uncle Yusri merupakan salah seorang sahabat rapat arwah ayahanda saya yang sangat aktif di bidang dakwah dan pernah memegang jawatan sebagai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daripada tahun 2005 sehingga 2009.

Di majlis tersebut saya berpeluang bertemu kembali abang-abang dan kakak-kakak daripada Felo Muda Dakwah (FMD) YADIM dan Sahabat YADIM yang telah lama tidak saya temui sejak pemergian arwah ayahanda saya setahun yang lalu.

Kakak kepada Uncle Yusri pula telah menceriakan lagi suasana majlis dengan menyediakan aiskrim yang sangat lazat yang sudah tentu menjadi tarikan kepada tetamu yang hadir.

Advertisements




Mengenang A. Karim Omar, Ayah Kesayanganku

5 07 2018

Hari ini genap seminggu ayahanda saya meninggalkan kami dan saya amat merinduinya.

Dilahirkan di Kuala Terengganu, Allahyarham Haji A. Karim bin Omar ialah seorang aktivis Islam yang tegar mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Bergerak dibawah NGO Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), ayahanda tersayang saya juga merupakan Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Felo Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Sejak tahun 2012, ayahanda saya sering dijemput untuk memberi penerangan tentang ancaman terhadap akidah umat dan kedaulatan Islam di negara ini.

Jadual kerja ayahanda saya amat padat dan seringkali ayahanda saya terpaksa memandu ke seluruh negara dan meninggalkan rumah selama berminggu lamanya.

Jika tidak berceramah di seluruh negara, Allahyarham menghabiskan masanya dengan membuat penyelidikan khasnya di bidang Missiologi, berbincang dengan sahabat-sahabat atau berada di mejanya untuk menulis artikel di blognya.

Bila ada kelapangan, ayahanda saya juga amat gemar menjemput sahabat handai dan kenalan untuk menjamu selera di rumah kami.

Pemergian tiba-tiba ayahanda saya pada jam 8 pagi 14hb Syawal 1439, bersamaan 28hb Jun 2018, amat mengejutkan kami sekeluarga kerana beliau tidak menghidapi apa-apa penyakit sebelumnya.

Namun, saya, ibu dan ketiga-tiga kakak saya redha dengan ketentuan Allah, lebih-lebih lagi ayahanda kami pergi dalam  keadaan yang tenang, mudah, dan selesa.

Saya sebagai anak lelaki Allahyarham, mewakili ibu dan ketiga-tiga kakak saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan ayahanda yang telah bergegas ke Masjid As-Sobirin, Taman Melawati untuk menunaikan solat jenazah dan seterusnya ke Tanah Perkuburan AU4/Masjid As-Sobirin.

Begitu juga kepada mereka yang tidak pernah berjumpa atau mengenali Allahyarham secara peribadi; tetapi hanya pernah mendengar pencerahannya atau membaca karya tulisannya tetapi telah bersusah payah datang dari jauh untuk bersama kami.

Semoga roh Allahyarham ayahanda saya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T. dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh, amin.

Al-Fatihah.





Gambar Sekitar Majlis Tahlil A. Karim Omar

2 07 2018

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah S.W.T., majlis tahlil ayahanda kesayangan kami, Allahyarham Tuan Haji A. Karim bin Omar telahpun berjalan dengan lancar selama 3 malam berturut-turut.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis tahlil ini.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T., Amin.

Al-Fatihah.








%d bloggers like this: