Gambar – Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI

KUALA LUMPUR 30 Julai – Istana Negara hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Alunan tiupan nafiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan paluan nobat daripada Kumpulan Nobat Diraja Terengganu yang memainkan lagu ‘Raja Berangkat’ bergema mengiringi keberangkatan masuk pasangan diraja itu didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Azuan Effendy Zairakithnaini yang diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain panglima-panglima lain yang membawa alat-alat kebesaran Diraja.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak adalah sebahagian daripada alat kebesaran Diraja yang begitu signifikan dalam istiadat pertabalan dan menjadi lambang kebesaran institusi Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia.

Ketibaan Sultan Abdullah yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘Muskat’ dan Tunku Azizah yang anggun dalam persalinan tenun Pahang berwarna putih gading menarik perhatian seluruh jemputan yang mengiringi langkah kedua-dua pasangan diraja itu untuk bersemayam di singgahsana.

Selain tetamu jemputan yang hadir di Istana Negara, istiadat pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara juga membolehkan seluruh rakyat menyaksikan acara bersejarah itu yang istimewanya juga jatuh pada hari keputeraan Seri Paduka yang ke-60.

Selain Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar iaitu Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat pertabalan itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet, selain tetamu-tetamu kehormat yang terdiri daripada ketua-ketua Diplomat Asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Setelah Seri Paduka berdua bersemayam di atas Singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya memohon perkenan Seri Paduka untuk menzahirkan istiadat pertabalan dengan membawa masuk naskhah al-Quran serta baki alat-alat kebesaran Istiadat Pertabalan ke Balairung Seri termasuk Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar yang diiringi paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Nashkah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela kepada Seri Paduka yang menyambut lalu mencium naskhah suci itu sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan Surat Pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tampil ke hadapan Singgahsana, mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan berkenaan.

Sejurus itu, Datuk Paduka Maharaja Lela dengan penuh tertib mempersembahkan pula Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan menghunus dan mengucupnya sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka, sebelum menyarungkan semula keris itu dan meletakkannya di atas meja di sebelah kiri baginda.

Ini disusuli dengan bacaan lafaz ikrar oleh Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan, nobat dipalu memainkan lagu ‘Raja Bertabal’, diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang disusuli para hadirin di dalam Balairung Seri, Istana Negara.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan sekali lagi dan serentak itu tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi menghadap Seri Paduka untuk mempersembahkan Ucapan Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan Seri Paduka sebagai mewakili kerajaan dan rakyat.

Sultan Abdullah kemudian berkenan menyampaikan Titah Diraja, sebelum Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob membacakan doa selamat.

 

Usai doa, naskhah al-Quran dibawa turun dari Singgahsana oleh Datuk Paduka Maharaja Lela sebelum menyembahkan bahawa Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 selamat disempurnakan.

Seterusnya, Balairung Seri sekali lagi bergema dengan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ mengiringi Seri Paduka meninggalkan istiadat yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja serta diiringi panglima-panglima yang membawa alat-alat Kebesaran Diraja.

Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lepas bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan 6 Jan lalu.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Jan. – BERNAMA

Rencana berkaitan

Sembah Tahniah Sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI

[Video] Sultan Abdullah Mengangkat Sumpah Sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI – Rakaman Penuh Istiadat

Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah al-Musta’in Billah, Sultan bagi Negeri Pahang Darul Makmur, dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong XVI bagi Malaysia bagi tempoh lima tahun berkuatkuasa 31hb Januari 2019.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi, di dalam kenyataan rasminya setelah Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Istana Negara pagi tadi.

Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Semoga Allah S.W.T. Melanjutkan Usia Tuanku

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong XVI?

Hari ini, Sultan Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah akan dimasyhurkan secara rasmi sebagai Sultan bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Perkara ini telah diumumkan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Haji Ahmad Shah semasa sidang media khas keputusan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang berhubung kedudukan takhta Diraja Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan pada 12 Januari yang lalu.

Ini membawa kita kepada persoalan apakah Sultan Abdullah bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI? Mengikut sistem penggiliran, Raja seterusnya yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Kelantan ialah Sultan Pahang. Maka jika berdasarkan sistem penggiliran, maka benarlah Sultan Abdullah bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong XVI.

Perkara ini telahpun diperbincangkan sejak timbulnya khabar angin bahawa Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong; dan seterusnya menjadi lebih hangat setelah pengumuman rasmi perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV. Ramai di kalangan rakyat yang mendoakan agar Sultan Abdullah segera dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Saya telah mengulas perkara ini di dalam artikel saya yang bertajuk, “Rakyat Sibuk Meneka Siapa DYMM Agong XVI”.

Yang di-Pertuan Agong mestilah berkemampuan untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang berat, seperti apa yang termaktub di dalam Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong, di dalam Bahagian I, Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan. Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah sebelum menjalankan fungsinya mengangkat dan menandatangani Sumpah Jawatan.

Perkara yang sangat penting di dalam Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong ialah Baginda bersumpah atas nama Allah dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” untuk memelihara pada setiap masa agama Islam. (Sila rujuk: Lawmakers Must First Understand the Law)

Ini bermakna tugas yang paling penting bagi Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu memelihara pada setiap masa agama Islam.

Semasa menjadi Pemangku Raja Pahang, Baginda Sultan Abdullah begitu tegas dalam mempertahankan dan memelihara kesucian agama Islam serta berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri. Sebagai contoh, Baginda bersuara tentang golongan yang mahu mengubah lanskap sosial politik negara berdasarkan penerimaan dasar kesaksamaan fahaman Barat dan tidak mengambil kira kesucian agama Islam, sensitiviti rakyat serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. Berhubung isu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berhubung isu tangkapan khalwat, Baginda dengan tegas bertitah bahawa penguatkuasaan operasi khalwat di negeri Pahang tetap diteruskan seperti amalan sebelumnya. (Sila rujuk: Pahang Akan Terus Cegah Maksiat – Tengku Abdullah). Baginda juga berusaha untuk memartabatkan tulisan Jawi.

Saya berdoa agar Negeri Pahang akan kekal aman dan damai serta gagah dan maju; dan paling penting agama Islam akan diangkat tinggi, teguh dan terampil, serta didaulatkan dan dimartabatkan di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Haj ibni Sultan Ahmad Shah Al-Haj, InsyaAllah. Dan begitu juga keadaannya di seluruh Persekutuan Malaysia, Tanah Air yang amat kita cintai.

!دولت توانكو

Tulisan berkaitan:

%d bloggers like this: