Utusan Malaysia Kembali, Agong Ucap Tahniah

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah mengucapkan tahniah atas penerbitan semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!

“Beta berharap penerbitan semula kedua-dua akhbar ini dapat mengangkat profesion kewartawanan serta akhbar berbahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Lebih pen­ting lagi, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! akan terus berupaya menjadi saksi kepada lipatan sejarah negara dan menyuburkan hak kebebasan bersuara.

Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Utusan Malaysia dan Kosmo! serta pengurusan Media Mulia Sdn. Bhd. atas pelancaran semula akhbar ini. Selamat maju jaya kepada Utusan Malaysia dan Kosmo!

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah

Ucapan ini bersempena akhbar Utusan Malaysia kembali semula ke pasaran setelah hampir 10 bulan tidak diterbitkan. Dengan slogan, “Pemikiran Baharu”, Utusan Melayu membawa nafas dan identiti baharu di bawah syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik baharu akhbar tersebut.

Utusan Malaysia turut telah membuka semula laman sesawang mereka di bawah alamat web yang sama seperti dahulu iaitu utusan.com.my, dengan reka bentuk dan wajah yang menarik.

Selain daripada Utusan Malaysia, Kosmo! juga turut kembali dengan edisi pertamanya hari ini. Manakala Mingguan Malaysia dan Kosmo! Ahad akan mula diterbitkan pada hari Ahad, 26 Julai ini.

“Penerbitan semula Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan satu titik cerah di dalam satu industri yang telah menghadapi satu tempoh yang bergelora. Ia memberi harapan kepada industri ini dalam saat-saat yang mencabar ini.

“Pulangnya akhbar-akhbar ini perlu dilihat sebagai satu sambutan bagi industri media negara dan pengembangan kepada sumber berita, satu perkara yang amat penting di dalam satu masyarakat yang dinamik dan terbuka.”

Mohamad Azlan Jaafar, Media Mulia Sdn. Bhd.

Pihak Media Mulia baru-baru ini telah mengadakan satu majlis pelancaran Utusan Malaysia dan Kosmo! Kembali melalui satu siaran langsung di laman Facebook mereka. Turut menghadiri ialah Bekas Menteri Kewangan Ke­dua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut beliau, kedua-dua akhbar berkenaan mempunyai kepen­tingan sejarah yang panjang dan sinonim dengan syarikat Me­layu dan ia perlu kembali beroperasi serta maju.

Penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! terpaksa dihentikan ekoran penutupan syarikat Utusan Me­layu (M) Berhad pada 9 Oktober tahun lepas.

Sebelum syarikat tersebut ditutup, syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. yang berupakan anak syarikat Aurora Mulia Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik Syed Mokhtar Al-Bukhary, telah memperolehi lesen pencetakan bagi Utusan Malaysia daripada Utusan Melayu (M) Berhad.

Kini adalah Utusan Malaysia terbuka kepada langganan termasuk melalui atas talian untuk kandungan premium.

Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi

Alhamdulillah, dimaklumkan bahawa penerbitan akhbar pertama berbahasa Melayu, Utusan Malaysia akan berterusan dan tidak akan dihentikan operasinya.


KUALA LUMPUR 20 Ogos – Syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

“Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan,” katanya selepas Taklimat Khas oleh Pengerusi Eksekutif di Dewan Besar Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Abd. Aziz berkata, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia membantu Kumpulan Utusan dengan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! walaupun dengan kenaikan harga. – UTUSAN ONLINE

%d bloggers like this: