Undi 18: On ke Tak On?

Baca versi Jawi di sini.

Sebagai seorang belia, isu Undi 18 amat dekat di hati saya. Saya telah banyak menulis tentang hal ini sebelum RUU tersebut diluluskan pada tahun 2019.

Ketika itu, para pemimpin politik daripada semua parti politik telah bersatu menyokong Undi 18, khasnya Armada yang memperjuangkan hak orang muda. Antara alasannya ialah hal ini selaras dengan amalan demokrasi dunia.

Maka pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Barisan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mencipta sejarah apabila menyokong majoriti lebih dua pertiga bagi meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, Selasa.Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 211 ahli menyokong, melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 148 orang.

MStar – Sejarah tercipta, Parlimen lulus RUU undi 18 tahun -16 Julai 2019

Pada 25 Julai 2019, Dewan Negara meluluskan RUU tersebut dengan majoriti dua per tiga.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Harian Metro – Dewan Negara lulus umur mengundi 18 tahun – 25 Julai 2019

Maka belia di seluruh negara dengan gembira meraikan hal ini dan ramai yang bercita-cita untuk mengundi pada PRU15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Takiyuddin Hassan pada November 2020, mengesahkan bahawa peraturan baharu ini akan diterima pakai selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Menyedihkan lagi, kebelakangan ini kedengaran pula kenyataan beberapa pemimpin kerajaan mempersoalkan isu yang telah diputuskan oleh mereka sendiri.

Kenapa sehingga bagai ‘rumah siap pahat berbunyi’?

Kematangan para belia untuk membuat pilihan telah dipersoalkan. Walhal, dua tahun yang lalu para pemimpin berpendapat bahawa belia berusia 18 tahun telah matang untuk mengundi.

Dalam situasi ini, ramai yang risau apakah aspirasi Undi 18 yang telah dijanjikan akan tercapai?

Belia tertanya-tanya, untuk PRU 15, Undi 18 on ke tak on?

Undi 18: Bersediakah Belia Menggalas Tanggungjawab Mengundi?

Alhamdulillah, saya telah diberi kolum sendiri di Utusan Online, dan rencana pertama saya baru sahaja disiarkan.

Memandangkan keputusan mengenai usul #UndiLapanbelas dijangka dibuat di Parlimen pada hari ini, saya membuat satu analisa mengenai perkara tersebut.

<-klik untuk melihat rencana tersebut di Utusan Online->


[Utusan Online}– USUL pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun sedang hangat diperkatakan.

Perkara ini menerima pelbagai respons daripada rakyat Malaysia. Ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang menentang, di mana masing-masing telah mengemukakan pelbagai hujah untuk menyokong pendapat mereka.

Pindaan ini merupakan satu langkah besar yang sangat serius kerana bukan hanya ianya melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, malah ia juga melibatkan soal menentukan arah tuju dan untung nasib masa depan negara.

Menurunkan had umurlayak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bererti negara member hak kepada belia berumur 18 tahun untuk mengambil bahagian dalam menentukan dasar dan corak masa depan negara bangsa.

Mengundi bukanlah satu perkara remeh dan hak mengundi datang bersama satu tanggungjawab yang berat kerana satu undi anda akan menentukan untung nasib nusa dan bangsa.

Maka untuk membenarkan seseorang itu membuat keputusan yang sepenting ini, perkara pertama yang mesti diambil kira ialah kematangan dan kesediaan individu itu dan di atas dasar inilah had umur mengundi ditetapkan.

Jadi, jika Perkara 119(1) Perlembagaan Berjaya dipinda seperti yang diusulkan oleh pihak kerajaan, maka belia seawal umur 18 tahun yang akan mendapat hak untuk mengundi mestilah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini.

Mereka mesti memulainya dengan berusaha untuk menjadi warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, memahami prinsip dan dasar negara serta mempunyai pandangan yang matang untuk menilai dan memahami dasar parti-parti politik tanah air.

Belia merupakan tunjang harapan dan penentu masa depan negara, maka tiada salahnya apabila belia diberi hak dan kepercayaan untuk memilih siapa yang patut memimpin negara pada usia yang lebih muda jika mereka sudah bersedia.

Tetapi jika mereka masih gagal mengawal nafsu dan emosi di dalam kehidupan seharian dan membuat keputusan serta bertindak hanya mengikut emosi dan tanpa berfikir panjang, maka alangkah baiknya jika kita kekal dengan sistem yang sedia ada.

Usaha keras kerajaan yang berterusan sejak zaman pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya memacu negara mencapai kemajuan di pelbagai sektor termasuklah pendidikan, dan pada hari ini tahap pendidikan belia telah meningkat dengan begitu ketara berbanding tahap pendidikan belia pada umur yang sama 60 tahun yang lalu.

Oleh itu terserahlah kepada undian di Parlimen untuk memutuskan perkara ini, sama ada semua pihak yang berwajib telah yakin dan tidak ragu-ragu lagi tentang keupayaan belia seawal 18 tahun untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan waras atau sebaliknya.

Malah tidak salah juga jika had umur diturunkan kepada umur yang lebih muda daripada 18 tahun memandangkan dalam ajaran agama Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah- Mazhab Imam Syafie, umur yang ditetapkan bagi membenarkan seorang lelaki membuat keputusannya sendiri ialah apabila mencapai umur baligh yang biasanya dirujuk pada umur 15 tahun.

Apa yang penting ialah ilmu pengetahuan dan kesedaran dalam mencari fakta sebelum membuat keputusan dan bukan hanya terikut-ikut dengan permainan persepsi dan berita sensasi dalam internet.

Tambahan pula kematangan seseorang itu bukanlah hanya diukur berdasarkan umur semata-mata, individu yang berumur 30 tahun tidak semestinya akan membuat keputusan yang lebih matang berbanding individu yang berumur 18 tahun.

Banyak faktor lain yang terlibat seperti persekitaran, cara didikan sejak kecil, ilmu pengetahuan, cara berfikir, sikap dan banyak lagi yang mematangkan seseorang dan membantu mereka memahami konsep kehidupan yang sebenarnya termasuk dari segi spiritual dan fundamental.

Saya berharap dengan tanggungjawab yang diberikan lahir kesedaran kepada belia untuk tidak lagi leka atau sekadar mahu mencari keseronokan hidup sehinggakan tidak ambil peduli akan perkara-perkara penting dalam kehidupan, dengan alasan mereka tidak mahu memeningkan kepala kerana mereka masih muda.

Jangan pula nantinya menjadi bagaikan si kudung mendapat cincin; dan alangkah ruginya negara bangsa jika kita bertindak ibarat berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Semoga keputusan undian di Parlimen ini akan memberi kebaikan kepada lebih 31 juta rakyat Malaysia dan membawa masa hadapan yang lebih cemerlang dan gemilang kepada negara kita yang tercinta.

Kaca dibawa sambil berleka,
Terlepas pecah, tiada gantinya;
Kuasa di tangan jangan disia,
Jangan diulang silap yang lama.

***Ali Karim merupakan seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang juga merupakan pemerhati lanskap politik tanah air. Dia juga merupakan Duta Rasmi Muafakat Pendidikan Johor (MPJ), sebuah Persatuan Guru di Johor. Pandangan dan tulisannya boleh dibaca melalui ahmadalikarim.wordpress.com.