Isu 25 Usul Undi Tidak Percaya, 2 Undi Percaya Dijangka Dibangkit Hari Ini

Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta perdana menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan strategi jangka pendek kementerian bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sesi soal jawab lisan, Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Belia dan Sukan, Sumber Manusia serta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka hangat ekoran peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menjadi pertikaian kebanyakan Ahli Parlimen.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menjenamakan semula Jasa sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza. -{BERNAMA]

Peja Ditolak, Bagaimana Kedudukan Muhyiddin?

Baca versi ْJawi di sini.

Hari ini, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah kalah dalam undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam situasi politik yang genting pada saat ini, PPBM menerima tamparan hebat apabila Dewan Undangan Negeri Perak menolak MB yang merupakan pemimpin kanan parti itu.

Untuk rekod, Ahmad Faizal Azumu ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Daripada 33 ADUN kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) dan UMNO, hanya sepuluh ADUN menyokong beliau.

DUN Perak mempunyai 59 ADUN, namun hanya 48 ADUN yang hadir manakala 11 ADUN tidak hadir semasa undian tadi.

Apakah kejadian di Perak ini memberi gambaran terhadap tahap sokongan blok kerajaan kepada PPBM di peringkat persekutuan?

Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, namun disokong oleh Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Bersatu Sabah serta seorang Ahli Parlimen Bebas untuk membentuk kerajaan.

Namun, terdapat pergeseran secara terbuka di antara pemimpin PPBM dan parti yang menyokong PN; sehinggakan Ahli Parlimen kerajaan sendiri menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan beliau kini masih mempunyai sokongan majoriti.

Pada ketika ini, kerajaan mempunyai 111 Ahli Parlimen (dengan sokongan seorang MP Bebas), manakala pembangkang mempunyai 108 Ahli Parlimen.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh pembangkang adalah, adakah kesemua 111 Ahli Parlimen kerajaan tersebut masih menyokong Muhyiddin pada ketika ini?

Peristiwa di Perak telah menunjukkan bahawa ADUN kerajaan sendiri tidak lagi bersama kepimpinan di bawah Timbalan Presiden PPBM.

Namun, walaupun kalah, Ahmad Faizal telah membuktikan bahawa beliau berani dan bersedia menghadapi undi percaya.

Persoalannya, adakah Dewan Rakyat akan mengadakan undi percaya dan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin?