Malaysia ialah sebuah persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri-negeri yang bersekutu di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong; di mana rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya, tradisi dan nilai yang berbeza.
Sebelum terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, rakyat negeri-negeri di Tanah Melayu bersatu padu untuk bangun menentang Malayan Union, di atas satu asas perjuangan iaitu ingin bebas daripada cengkaman kuasa luar.
Menjelang kemerdekaan, Baginda Raja-raja Melayu dan orang Melayu sebagai rakyat Raja telah bermurah hati menerima dengan tangan terbuka imigran Cina dan India sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu, dengan syarat-syarat menurut Kontrak Sosial sepertimana yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang terbabit.
Perkara asas ini telah berkali-kali dijelaskan oleh tokoh sejarah ulung negara, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.
Demi keadilan dan sebagai timbal balik di atas kemurahan hati orang-orang Melayu serta untuk menjamin hak kaum-kaum lain, maka semua kaum telah bersetuju dengan satu Kontrak Sosial yang telah diterjemahkan kepada beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menyentuh hal ini, pada tahun 1965 Tun V.T. Sambanthan yang ketika itu berjawatan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos telah berkata bahawa orang Melayu sangat pemurah dan bersopan-santun sehingga, “cukup murah hati untuk melonggarkan undang-undang kewarganegaraan negara ini”.
Hal yang sama juga disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Malaysia, Tun Tan Siew Sin pada 30hb April 1969 dan kerana itu beliau berjanji bahawa orang-orang Cina dan India akan terus menyokong usaha kerajaan memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu.
Bak kata orang-orang tua, orang berbudi, kita berbahasa itulah cara permuafakatan nenek moyang kita dalam membina negara ini.
Tetapi malangnya, kurang dua minggu selepas itu tercetus pula insiden berdarah 13 Mei 1969, sebuah tragedi hitam rusuhan kaum yang sehingga kini masih menghantui kehidupan sebahagian rakyat Malaysia yang celik sejarah.
Bagi yang buta sejarah, mereka gagal melihat realiti dan mendakwa ianya hanyalah cerita retorik.
Untuk mengelakkan kejadian yang sama, maka kerajaan merangka Rukun Negara, iaitu ideologi kebangsaan bertujuan untuk menyatupadukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Namun kini, kerap kedengaran suara-suara sumbang yang mempertikaikan apa yang telah dipersetujui di dalam Kontrak Sosial serta apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mereka bersikap biadab dan mempertikaikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera; serta ada yang mahukan Perkara 153 dipinda.
Agama Islam iaitu agama bagi Persekutuan dan Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kepada prinsip negara sering dihina dan diperlekehkan.
Ada pula yang buta sejarah dan dengan jahilnya menuduh orang-orang Melayu adalah pendatang.
Bagi saya, tuduhan biadab ini merupakan satu penghinaan terhadap Baginda Raja-raja Melayu memandangkan orang Melayu merupakan rakyat Raja.
Hayatilah sejarah negara dalam membina perpaduan sesama kita.
Tun V.T. Sambanthan pada 1hb Jun 1965, mengatakan bahawa orang-orang Cina dan India yang dahulunya adalah imigran tanpa negara, tidak diterima di Asia khasnya Asia Timur di mana orang India tidak diterima di Ceylon dan Burma manakala orang Cina pula tidak diterima di Thailand, Vietnam dan Kemboja; namun di Tanah Melayu, mereka diterima oleh orang-orang Melayu seperti saudara sendiri.
Ambillah iktibar daripada kata-kata bijaksana nenek moyang kita dahulu yang telah membina negara ini.
Kita harus sedar bahawa perpaduan rakyat tidak akan terbina di atas kejahilan dan dan sikap mementingkan diri.