Selami Kekejaman Pengganas Di Galeri Darurat Bukit Kepong (Gambar)

6 08 2018

Saya dan kakak saya Aeshah bergambar di hadapan bangunan utama Galeri Darurat Bukit Kepong, Muar, Johor.

Galeri Darurat Bukit Kepong telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Tuanku Sutlan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, pada 23hb Februari 2017.

Galeri ini penting untuk dilawati oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda yang pada hari ini semakin terpengaruh dengan fahaman liberal, hedonisme dan semakin tidak peduli tentang ancaman terhadap negara bangsa.

Saya telah berpeluang melawat galeri ini pada tahun 2017; dan ianya telah memberikan kesan yang amat mendalam terhadap diri saya dalam menghayati sejarah kekejaman pengganas komunis yang mahu merampas pemerintahan negara.

Lawatan ini juga mengajar saya menghargai semangat perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara yang sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan bumi Tanah Melayu ini.

Berbagai serangan ganas pengganas terhadap anggota keselamatan negara khasnya pasukan polis, digambarkan kembali melalui pameran audio-visual, artifek, dokumen, keratan akhbar dan sebagainya; yang mana apabila dihayati, akan memberikan kesedaran dan keinsafan khasnya kepada golongan seusia saya yang hidup di zaman yang serba senang ini

Kita akan dapat merasakan sendiri betapa kejamnya pengganas komunis yang amat memusuhi Raja-Raja Melayu, kerajaan Tanah Melayu, anggota-anggota keselamatan dan orang-orang yang tidak menyokong perjuangan mereka.

Malah, penghayatan sebegini mungkin tidak dapat kita rasai hanya daripada membaca buku teks sejarah sahaja.

Amat rugi kepada mereka yang tidak mengambil peluang untuk belajar memahami sejarah perjuangan negara bangsa di galeri ini.

Hanya melalui pemahaman yang mendalam dan kesedaran terhadap sejarah negara, barulah lahir semangat patriotik yang mendalam dan menjadikan kita lebih peka terhadap berbagai ancaman terhadap kedaulatan negara kita.

Lebih signifikan lagi, galeri ini dibina di kawasan asal tapak Balai Polis Bukit Kepong yang musnah dibakar oleh pengganas komunis ketika mereka dengan kejamnya menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Artikel Berkaitan:

  1. Ideologi Komunis dan Kekeliruan yang Nyata
  2. Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat

.Sila klik gambar untuk imej yang lebih besar:





Tragedi Hitam Bukit Kepong – Sejarah Hitam Yang Mesti Diingat

23 02 2018

Galeri Darurat Bukit Kepong adalah sebuah muzium yang patut dilawati oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara agar kita dapat menghargai perjuangan pihak polis dan melihat sendiri kekejaman pengganas komunis yang cuba merampas negara kita.

Pada tahun lepas, saya telah berpeluang melawat muzium yang dikendalikan dan dikawalselia oleh PDRM ini dan dapat menghayati dan memahami kejadian semasa peristiwa berdarah ini dengan lebih berkesan berbanding sebelum ini.

Lebih bermakna, Galeri Darurat Bukit Kepong ini dibina di kawasan asal Balai Polis Bukit Kepong yang telah diserang dengan ganas oleh pengganas komunis pada 23 Februari 1950.

Sudah 68 tahun berlalu semenjak tragedi hitam serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Johor yang mengorbankan 25 orang polis, keluarga mereka dan orang awam, apabila komunis bertindak ganas menyerang balai polis berkenaan dan akhirnya dengan kejam telah membakar balai polis tersebut.

Balai Polis Bukit Kepong ialah sebuah balai polis kecil yang terletak di tebing sungai pada selekoh Sungai Muar; di mana Bukit Kepong ialah sebuah perkampungan kecil yang terpencil yang pada ketika itu pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Hampir 200 orang pengganas komunis diketuai oleh seorang komunis Melayu bernama Muhammad Indera telah membuat serangan hendap ke atas balai polis itu yang diketuai oleh Sergeant 3493 Jamil Bin Mohd Shah dan membunuh hampir kesemua daripada 22 orang anggota polis yang bertugas di situ.

Pengganas komunis telah mengepung seluruh Balai Polis Bukit Kepong sebelum memulakan serangan ganas mereka dan percaya mereka akan dapat menawan balai polis itu dengan mudah.

Namun, walaupun dengan jumlah anggota yang amat sedikit berbanding jumlah musuh, pihak polis dengan cekal telah bertempur habis-habisan untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dan tidak menyerah kalah mengakibatkan hampir kesemua anggota polis dibunuh dengan kejamnya bersama keluarga mereka, termasuk yang hangus terbakar apabila pengganas komunis membakar berek kelamin di situ.

Kita mesti mengambil iktibar daripada tindakan kejam dan tidak berkemanusiaan ini agar ianya memberi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia supaya tidak terikut-ikut dengan fenomena neo-komunis dan neo-sosialis yang semakin mempengaruhi orang ramai di negara kita, khasnya golongan muda.

Generasi muda tidak boleh buta sejarah dan melupakan mereka yang telah berkorban nyawa demi membina dan mempertahankan kedaulatan negara ini.

Al-Fatihah buat semua perwira negara yang terkorban mempertahankan Tanah Melayu ini.

  1. Sergeant 3493 Jamil Bin Mohd Shah (Bukit Kepong police chief)
  2. Corporal 7068 Mohd Yassin Bin Haji Wahab
  3. Lance Corporal 7168 Jidin Bin Omar
  4. Police Constable (PC) 3933 Hamzah Bin Ahmad
  5. PC 5674 Abu Bin Mohd Ali
  6. PC 7493 Muhammad Bin Jaafar
  7. PC 7862 Abu Kadir Bin Jusoh
  8. PC 8600 Jaafar Bin Hassan
  9. PC 9136 Hassan Bin Osman
  10. Extra Police Constable (EPC) 3475 Mohd Tap Bin Lazim
  11. EPC 3795 Jaafar Bin Arshad
  12. Marine Constable (MPC) 60 Ibrahim Bin Adam
  13. MPC 68 Awang Bin Ali
  14. MPC 181 Basiron Bin Adam
  15. AP 1925 Ali Akop Bin Othman
  16. AP 2127 Othman Bin Yahya
  17. AP 2130 Samad Bin Yatim
  18. AP 1912 Mahmood Bin Saat
  19. AP 2098 Redzuan Bin Alias

Please click the photos for larger images:








%d bloggers like this: