Gangguan Elektrik Berpunca Kerosakan di Pencawang Yong Peng – TNB

[ baca versi jawi di sini ]

Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan punca gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi adalah berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan TNB di Yong Peng, Johor.

Menerusi sebuah kenyataan ringkas, TNB memaklumkan bahawa kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North ialah punca kepada gangguan yang menjejaskan hampir seluruh negara tadi.

Gangguan tersebut telah memutuskan bekalan elektrik di banyak negeri-negeri semenanjung daripada jam 12.39 tengah hari hingga 3.02 petang, menjejaskan operasi pejabat, pengangkutan awam dan lalu lintas.

Sila baca: Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

Kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

Jurutera TNB telah memulihkan bekalan elektrik kepada semua kawasan yang terjejas secara sepenuhnya pada jam 3.02 petang. Kebanyakan kawasan berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku.

Gangguan Elektrik: LRT, Lapangan Terbang, Lampu Isyarat Turut Terjejas

[ baca versi jawi di sini ]

Gangguan elektrik yang melanda negara hari ini bukan sahaja menjejaskan rumah-rumah dan pejabat dalam kerja-kerja harian, namun pengangkutan dan lalu lintas di seluruh negara turut terkesan apabila lampu isyarat dan sistem transit kereta api ringan (LRT) terhenti seketika.

RapidKL dalam sebuah kenyataan media menasihatkan para penumpang LRT untuk bersabar dan ikuti arahan yang diberikan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut menghadapi masalah akibat bekalan elektrik yang terputus. Menerusi sebuah kenyataan ringkas, Malaysian Airports memaklumkan terminal utama lapangan terbang tersebut turut terkesan dengan gangguan elektrik itu.

“Pasukan jurutera kami sedang berhubung dengan TNB untuk menyelesaikan hal ini. Sila berhubung dengan pasukan darat lapangan terbang kami untuk bantuan di titik-titik sentuh utama.”

Selain sistem pengangkutan, perkhidmatan telefon juga turut terkesan dengan gangguan ini. Ramai pengguna gagal mendapat talian semasa tempoh gangguan tersebut.

Gangguan bekalan elektrik kali ini menjejaskan Lembah Klang dan beberapa negeri pada tengah hari tadi. Hampir seluruh negara kecoh apabila bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Tenaga Nasional Berhad menerusi satu kenyataan berkata mereka masih sedang berusaha mengesan punca masalah itu.

“Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian … Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.”

Bekalan elektrik telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20-40 minit selepas bermulanya kejadian.

Kawasan-kawasan tumpuan termasuk KLCC turut terkesan, menjejaskan operasi pejabat di seluruh negara.

%d bloggers like this: