KJ Gagal Jiwai Asas Perjuangan UMNO?

11 06 2018

Ada yang berkempen mahukan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) dipilih sebagai Presiden parti di dalam pemilihan UMNO nanti.

Mereka merasakan untuk memenangi hati pengundi, maka Presiden UMNO mestilah orang muda dan mengamalkan dasar populism tanpa mengira akibatnya kepada agama, bangsa dan tanah air.

Menariknya, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir baru-baru ini juga menggesa KJ untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

Sebabnya, kenalah tanya Tun sendiri!

Walaupun saya hanya seorang pemerhati dan bukannya ahli UMNO, saya tahu dasar perjuangan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air seperti yang tertulis di dalam perlembagaan parti dan juga dalam seni kata lagu UMNO.

Maka Presiden UMNO mestilah mempunyai jati diri Melayu, berjiwa Melayu dan sayangkan agama Islam dan tanah air serta faham sejarah Tanah Melayu.

Saya terkilan apabila KJ mencadangkan keahlian UMNO dibuka kepada semua kaum dan disambut baik oleh mereka yang berpendirian sama seperti beliau.

Adakah KJ merasakan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air sudah tidak boleh diterima lagi atau ‘outdated’, atau KJ yang ‘out of touch’ dengan hati orang Melayu yang setia mengundi UMNO?

Juga, kenapa KJ tidak menyuarakan perkara ini semasa beliau masih menjadi Menteri Belia dan Sukan?

Dulu yang dihasratkan oleh KJ hanyalah politik baru, contohnya KJ memilih Regina Lee sebagai SUA, orang luar yang bukan penyokong parti dan tiada jiwa perjuangan parti.

Apakah itu satu tindakan yang bijak?

Pada tahun 2014, saya telah menulis sebuah artikel bertanya bagaimana KJ sanggup melancarkan buku yang ditulis oleh seorang aktivis COMANGO dan setiausaha agung Proham di dalam sebuah gereja?

Sedangkan COMANGO lantang menentang Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu yang diperjuangkan oleh parti KJ iaitu UMNO. (Sila baca di sini)

Lebih teruk lagi, majlis itu berlangsung di dalam Gereja DUMC yang pernah menghentam UMNO iaitu parti KJ sendiri kerana kes serbuan JAIS pada 4 Ramadhan 2011 di mana JAIS bertindak selepas mendapat aduan tentang majlis yang meragukan.

Tindakan KJ itu telah menyebabkan rakyat yang mahu mempertahankan dasar kerajaan Islam di Malaysia marah terhadap UMNO; padahal merekalah di antara orang yang mengundi UMNO.

Bagi saya, KJ telah menikam UMNO kerana sebagai menteri UMNO, tindakan KJ dianggap sebagai polisi UMNO.

Jelas KJ tidak mampu mengangkat agenda Islam dan Melayu yang merupakan asas perjuangan parti UMNO!

Kegagalan KJ dan Ketua Puteri UMNO untuk meraih undi orang muda adalah di antara faktor besar yang menyebabkan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

Sepatutnya, beliau seperti Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrizat haruslah bertanggungjawab dan bukannya mencari kesalahan orang lain khasnya menyalahkan Dato’ Seri Najib yang telah menyokongnya selama ini.

Tindakan Dato’ Seri Najib meletak jawatan setelah kekalahan BN, dan keputusan Tan Sri Shahrizat untuk tidak bertanding pada pemilihan UMNO kali ini adalah satu tindakan pemimpin yang matang dan bertanggungjawab.

Manakala KJ sebagai Ketua Pemuda yang gagal membawa undi orang muda kepada UMNO dan antara penyebab kepada kekalahan BN, bukan sahaja mahu bertanding jawatan yang lebih tinggi, malah sibuk menyalahkan orang lain.

Contohnya, di bawah tajuk, “KJ mengaku 1MDB punca UMNO tumbang” Astro Awani melaporkan:

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui parti keramat Melayu itu tumbang kerana kegagalan menteri terdahulu menegur Presidennya yang juga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang skandal 1MDB – Astro Awani.

KJ sebagai Ketua Pemuda sepatutnya mempertahankan UMNO dan Presiden UMNO dari hari pertama UMNO dan Datuk Seri Najib diserang tetapi KJ gagal sehingga orang ramai percaya kepada persepsi lawan; dan sekarang KJ sendiri mempertikaikan dan menuduh orang yang menyokongnya selama ini, laksana menggigit tangan yang menyuapkan nasi.

Inikah sikap calon Presiden UMNO atau Ketua Pembangkang?

Buat pertama kali saya bersetuju dengan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, bahawa KJ mesti tinggalkan UMNO, dan bentuklah sebuah parti baru yang berbilang kaum.

DAP dan PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan parti mereka biarpun mereka berkali-kali kalah di dalam pilihan raya.

Semoga UMNO kekal dengan dasar perjuangan parti dan dipimpin oleh pemimpin yang faham dan menjiwai dasar perjuangan UMNO.








%d bloggers like this: