Muhyiddin Tidak Tolak Kemungkinan Kembali Jadi PM

Meski telah meletak jawatan sebagai perdana menteri, Muhyiddin Yassin masih jauh dari merancang persaraan politiknya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga tidak sepenuhnya pasrah dengan nasibnya, malah tidak menolak kemungkinan dia akan kembali sebagai perdana menteri.

Bercakap kepada editor media arus perdana setelah mengundurkan diri semalam, Muhyiddin ditanya mengenai kemungkinan dilantik semula sebagai perdana menteri.

Well, let’s see. Sepatutnya tidak berlaku macam ini kan.

“(Tapi) saya percaya, sebelum saya berhenti ini, saya lah perdana menteri waktu itu yang mempunyai ‘majoriti’ (sokongan undi yang terbesar, meski tidak meraih majoriti),” katanya.

Muhyiddin berkata ahli parlimen lain juga mendakwa mereka memperoleh majoriti tetapi tidak pernah dapat membuktikannya.

Dia merujuk kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim tanpa menamakannya.

“Pernah juga (ada) satu ahli parlimen satu ketika itu dia pergi kata dia ada ‘convincing and formidable’ (majoriti yang kukuh dan meyakinkan), tapi kebelakangan ini tidak dengarlah.

“Kami ahli politik, ada maklumat sendiri. Tak ada sesiapa yang mempunyai sokongan tertinggi berbanding saya,” tambahnya.

Muhyiddin mendakwa “ramai rakyat Malaysia” yang ingin dia kekal sebagai perdana menteri, namun dia harus mematuhi demokrasi berparlimen.

“Ramai rakyat Malaysia meminta ‘Abah, tolong terus dan jangan berhenti, kami mencintaimu’. Ini sangat menyentuh. Saya harap saya dapat melakukannya tetapi di bawah demokrasi berparlimen, kedudukan perdana menteri adalah berdasarkan ketentuan Perlembagaan Persekutuan, “katanya.

“Bagaimana (seperti) saya telah sebutkan dalam ucapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, kalau ikut perasaaan saya, macam mana yang dihasratkan oleh ramai rakyat Malaysia minta supaya terus kekal. ‘abah jangan berhenti, kami sayang’. Sangat menyentuh hati.

“Saya harap saya dapat kekal, tapi di bawah sistem demokrasi berparlimen, lantikan seperti jawatan perdana menteri ini bersandarkan peruntukan dalam perlembagaan,” katanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seseorang perdana menteri mempunyai mesti mempunyai sokongan majoriti dari keseluruhan ahli parlimen. Seseorang ahli parlimen boleh meraih sokongan tertinggi, namu pada masa sama tidak mempunyai majoriti.

Muhyiddin berkata, kini terpulang kepada Yang Dipertuan Agong untuk mencari pemimpin yang mempunyai majoriti mengikut prosedur perlembagaan.-{Malaysiakini]

Rakaman Penuh Perutusan Khas Muhyiddin Mengenai Peletakan Jawatan (16/08/2021)

Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 16 Ogos 2021, setelah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Beliau telah berkhidmat selama 18 bulan.

تن سري محي الدين محمد ياسين ملتقکن جاوتنڽ سباݢاي ڤردان منتري مليسيا ک-8 ڤد 16 اوݢوس 2021⹁ ستله هيلڠ کڤرچاياءن ماجوريتي اهلي ديوان رعيت. بلياو تله برخدمت سلاما 18 بولن.

Muhyiddin Letak Jawatan PM Ke-8

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam sebuah perutusan khas sebentar tadi, setelah 18 bulan berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau telah ke Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengah hari tadi, bagi menyerahkan warkah peletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, kerana telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin telah memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin.

Di dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada jam 2.47 tengah hari tadi, Istana Negara memaklumkan bahawa Muhyiddin akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sementara seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan Mac tahun lepas ketika krisis politik yang melanda negara akibat peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir Mohamad.

Muhyiddin turut menyatakan keinginannya untuk sebuah kerajaan baharu dibentuk agar pentadbiran negara dapat terus berjalan dengan lancar. Beliau turut memohon maaf atas semua kesilapannya ketika memerintah.

Muhyiddin Selesai Mengadap Agong, Tinggalkan Istana

Sila baca: Daulat Tuanku

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meninggalkan pekarangan Istana Negara tepat jam 1.00 tengah hari tadi, setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong dipercayai bagi mempersembahkan surat meletak jawatan.

Beliau telah berkhidmat selama 18 bulan sejak Mac tahun lepas.

Terdahulu, beberapa penjawat awam kanan negara termasuk Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera telah tiba di Istana Negara usai bermesyuarat di Perdana Putra pagi tadi.

Sila baca: IGP, PAT, AG, KSN, Tiba Untuk Mesyuarat Khas Kabinet

Semalam, menteri tugas-tugas khas, Mohd Redzuan Md Yusof, mengesahkan bahawa Perdana Menteri akan mengadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatannya hari ini.

Jika beliau meletak jawatan pada hari ini, beliau akan menjadi Perdana Menteri tersingkat memerintah dalam sejarah negara iaitu selama 18 bulan dan 14 hari.

Berita lanjut menyusul.

Hari Esok Penentu Masa Depan Malaysia?

Malaysiakini melaporkan bahawa menurut menteri tugas-tugas khas, Mohd Redzuan Md Yusof, esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Perdana Menteri mengadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatannya.

Sila baca: Menteri Sahkan Muhyiddin Serah Surat Letak Jawatan Esok

Sama ada benar atau tidak, kita tunggulah apa yang bakal berlaku esok.

Persoalan seterusnya ialah, jika benar berita ini apakah yang bakal berlaku seterusnya?

Terdapat pelbagai spekulasi yang sedang hangat diperkatakan. Tidak kurang juga dengan perdebatan panas di antara pelbagai pihak.

Jalan penyelesaian kepada masalah politik negara tentulah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Namun dalam keadaan jangkitan Covid-19 yang sedang mengganas, rakyat menjangkakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Segala-galanya terletak pada tangan Tuanku Agong.

Mungkinkah Tuanku Agong akan melantik seorang Perdana Menteri Interim yang tugasnya menumpukan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah negara yang kian meruncing?

Negara memerlukan seorang pemimpin yang berpengalaman, amanah, berintegriti, bijak serta dihormati kawan dan lawan di seluruh dunia untuk menstabilkan negara serta memacu kembali ekonominya.

Ini bukan masanya untuk bercuba-ralat, atau trial and error.

Sebagai rakyat, saya yakin kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa budi bicara Baginda untuk menyelesaikan hal ini. Tuanku amat tertib dalam menyelesaikan masalah negara.

Tuanku Agong ialah payung negara; kuasa Tuanku mengatasi kuasa politik.

Semoga kita semua mendapat hidayah dari Allah dan semoga Allah memberkati tanah air kita.


Terbitan berkaitan:

Menteri Sahkan Muhyiddin Serah Surat Letak Jawatan Esok

Seorang pemimpin Bersatu hari ini mengesahkan Muhyiddin Yassin akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Redzuan Md Yusof, memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya ahli parlimen Alor Gajah itu, perkara berkenaan dimaklumkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan ahli parlimen Bersatu selama kira-kira dua jam sebentar tadi.

“Esok akan ada mesyuarat khas kabinet sebelum Muhyiddin menghadap Agong untuk mempersembahkan surat peletakan jawatan,” katanya.

Kata Mohd Redzuan, Muhyiddin sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan keadaan dan kedukan kerajaan namun ikhtiarnya itu tidak membuahkan hasil.

Menurut menteri tugas-tugas khas itu, peletakan jawatan adalah pilihan terakhir yang ada pada Muhyiddin selepas bilangan ahli parlimen yang menyokongnya menyusut dan tidak mencukupi di Dewan Rakyat.

“Maka ini adalah tindakan yang betul dan terhormat untuk Muhyiddin mengikut perlembagaan, dan terserah keapda Agong sama ada mahu menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak,” katanya.

Kelihatan sangat tenang

Pun begitu menurut Mohd Redzuan pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Muhyiddin dan PN tidak boleh bergembira atau meraikan perkembangan berkenaan buat masa ini.

Katanya berdasarkan maklumat yang diterima blok Bersatu masih memiliki sokongan terbesar berbanding mana-mana kumpulan lain termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim atau pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dr Mahathir Mohamad.

Umno juga, katanya, tidak mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen.

“Maka terserah kepada Agong untuk menggunakan kebijaksanaan baginda bagi membuat keputusan. Kami mengikut perlembagaan, tak boleh membantah.

“Kami katakan kami ada 100 ahli parlimen, terpulang kepada Agong untuk putuskan,” katanya.

Ditanya suasana semasa Muhyiddin mengumumkan rancangannya itu di depan ahli-ahli parlimen Bersatu, Mohd Redzuan berkata, ahli parlimen Pagoh terbabit tidak menunjukkan perasaan sedih.

“Tidak… dia sangat tenang, dia seorang yang berprinsip,” katanya.

Untuk rekod sekiranya peletakan jawatan itu diperkenankan Agong selepas ini, Muhyiddin akan mencatat sejarah sebagai perdana menteri paling singkat di Malaysia setakat ini.

Dia – yang sebelum ini menjadi timbalan presiden Umno sebelum dipecat parti terbabit – dilantik menjadi perdana menteri hasil Langkah Sheraton kira-kira 15 bulan lalu.

Rekod perdana menteri paling singkat sebelum ini dicatatkan Mahathir yang memimpin kerajaan PH selama 22 bulan sebelum dia meletak jawatan pada 23 Feb tahun lalu.-{Malaysiakini]

Agong Ingatkan PM Apa Kata Perlembagaan Mengenai Sokongan MP

Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan rutin dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan Presiden Bersatu itu tentang apa yang dinyatakan Perlembagaan mengenai kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, menurut sumber.

Berdasarkan sumber di Istana Negara itu, Agong tidak secara eksplisit menitahkan Muhyiddin yang dikatakan tiada sokongan majoriti supaya meletak jawatan.

“Namun Tuanku menyentuh Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata sumber itu kepada FMT.

Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

Sultan Abdullah berkenan menerima Perdana Menteri menghadap di Istana Negara hari ini untuk pramesyuarat Jemaah Menteri.

Pertemuan hari ini menjadi perhatian selepas 14 Ahli Parlimen Umno menandatangani akuan berkanun mengisytiharkan kepada Agong bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin minggu lepas selepas menghadap Agong mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan meskipun ditekan Umno dan pembangkang.

Sebaliknya, kerajaan akan membentangkan usul percaya di Dewan Rakyat pada September bagi menguji sokongan terhadap beliau.

Katanya, langkah itu mendapat perkenan Agong.

Ini disusuli dengan sidang media Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.

Namun, angka itu menjadi pertikaian kerana beberapa Ahli Parlimen dalam senarai yang ditunjukkan kepada media pada sidang akhbar itu menafikan menyokong Muhyiddin. -{Free Malaysia Today]

Mahiaddin: Undi Percaya Akan Dibentangkan Pada September

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengumumkan akan membentang satu undi percaya di Dewan Rakyat pada bulan September ini.

Menurutnya, perkara tersebut telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menyembah maklum akan hal tersebut pagi tadi ketika mengadap Baginda di Istana Negara.

Beliau meninggalkan pekarangan istana pada jam 11.50 selepas itu.

Sila baca: PM Tinggalkan Istana, Selesai Mengadap Agong

Sebelum itu, Peguam Negara Idrus Harun tiba di istana pada jam 9.30 pagi tadi.

Idrus merupakan salah seorang daripada pegawai kerajaan tertinggi yang hadir di pertemuan di kediaman Mahiaddin lewat malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Acryl Abdullah dan Ketua Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang turut dilihat memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

KPN tiba pada jam 9.20, dan diikuti Affendi pada jam 9.30 pagi.

Tujuan pertemuan mereka belum diketuahui lagi, namun ia berikutan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

MKT UMNO, selepas bermesyuarat petang semalam, mengumumkan bahawa MKT secara sebulat suara telah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO ketika mesyuarat MKTnya sebentar tadi bertindak sebegitu kerana telah memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: SAH – MKT UMNO Sebulat Suara Tarik Sokongan Perikatan Nasional

Sebelum itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan beliau sebagai menteri kabinet berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan juga UMNO atas peluang yang diberi untuk menjawat jawatan tersebut.

Sila baca: Shamsul Anuar Nasarah Letak Jawatan Menteri Kabinet

Menurut Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, terdapat lebih ramai lagi yang turut menarik sokongan mereka terhadap kerajaan, namun nama-nama mereka belum diumumkan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri Berkenaan Titah Yang di-Pertuan Agong

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan satu kenyataan susulan kenyataan Istana Negara mengenai pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang dilakukan tanpa perkenan Baginda.

Kenyataan tersebut adalah seperti di bawah:

Mahiaddin Perlu Mohon Ampun & Perkenan Agong, Atau Letak Jawatan – Apandi Ali

Ekoran apa yang terjadi hari ini, ramai yang cuba meramal serta memberi pendapat tentang apa yang bakal berlaku seterusnya. Saya menganggap perkara ini sangat teknikal serta menjadi satu krisis perlembagaan yang belum pernah terjadi, kerana ia dilihat sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, apabila kuasa Baginda seolah-olah dicabar.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin boleh memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong, bagi memohon ampun, memohon perkenan bagi pembatalan Ordinan Darurat, atau meletak jawatan.

Memetik laporan The Malaysian Insight, beliau berkata kerajaan telah membuat satu kesilapan besar dalam mengumumkan pembatalan keenam-enam Ordinan Daruat tanpa memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

“Berdasarkan pada undang-undang, segala pembatalan mana-mana ordinan perlulah dilakukan oleh Agong. Sudah tentulah, Baginda bertindak atas nasihat (Perdana Menteri) namun Baginda hendaklah dirunding terdahulu dan perkenan Baginda hendaklah diperolehi terdahulu.

“Hal ini tidak dilakukan dengan sebetulnya,”

Menurut Apandi, kerajaan hanya mempunyai dua pilihan pada masa kini.

“Terdapat dua perkara yang mereka (kerjaaan) boleh lakukan sekarang. Perdana Menteri boleh memohon mengadap dan memohon ampun (daripada Baginda) dan memohon perkenan Baginda.

“Tindakan itu merupakan satu kesilapan, beliau (Perdana Menteri) telah melakukan satu kesilapan. Jika di negara Barat, beliau patut meletak jawatan, namun ini Malaysia.”

Beliau mengatakan sedemikian berikutan kenyataan Istana Negara tengah hari tadi mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan tanpa restu Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sila baca: Istana: Ordinan Darurat Dibatal Tanpa Perkenan Agong

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan persekutuan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda.

Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, suasana Parlimen yang sedang bersidang menjadi kecoh apabila hal tersebut dibangkitkan seorang Ahli Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan menangguhkan Dewan Rakyat selama 15 minit, dan kemudiannya menempohkannya sehingga jam 1 petang.

Sila baca: Ekoran Kenyataan Istana, Dewan Ditempoh Hingga Jam 1

Terdapat ura-ura serta desakan untuk undi percaya atau undi tidak percaya diadakan di Dewan Rakyat petang ini, namun hal tersebut belum disahkan oleh mana-mana pihak.

Sila baca: Adakah Undi Percaya Bakal Diadakan di Dewan Rakyat Petang Ini?

%d bloggers like this: