Peguam Negara, TPM Tinggalkan Kediaman Mahiaddin

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah meninggalkan kawasan rumah Tan Sri Mahiaddin Md Yassin setelah hadir bersama-sama beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan di rumah Perdana Menteri tersebut.

Terdahulu, beberapa anggota jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan dilihat hadir ke kediaman Mahiaddin Md Yassin di Bukit Damansara pagi ini.

Sila baca: (Gambar) Menteri Kabinet, Peguam Negara Hadir ke Rumah Mahiaddin – Laporan

Menurut laporan akhbar Malaysiakini, kenderaan yang dipercayai membawa menteri, Peguam Negara Idrus Harun dan pegawai kerajaan lain dilihat memasuki kawasan perumahan perdana menteri pada jam 9.40 pagi tadi.

Turut dilihat meninggalkan kediaman Mahiaddin ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dipercayai kehadiran menteri dan pegawai kerajaan di rumah Mahiaddin berkaitan dengan desakan UMNO supaya Ahli Parlimen Pagoh mengundurkan diri daripada jawatan perdana menteri.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan keputusan parti itu menarik balik sokongannya kepada Mahiaddin dengan segera, dengan alasan kerajaan gagal dalam tugasnya termasuk menangani wabak Covid-19.

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Mahiaddin mesti memberi laluan kepada perdana menteri sementara, yang akan memfokuskan menangani wabak, sebelum diadakan pilihan raya umum untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

AG Dapat Kebenaran Mula Prosiding Komital Terhadap Mkini Dotcom, Ketua Editor

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ex-parte yang difailkan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Editor portal berita, Malaysiakini.

“Kami bersetuju wujud kes prima facie bagi penghinaan (mahkamah),” kata Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu.

Beliau kemudian menetapkan 2 Julai untuk pendengaran prosiding komital itu.

Hakim Rohana yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Puan Sri Zaleha Yusof, juga menetapkan 25 Jun bagi pengurusan kes komital itu.

Mkini Dotcom merupakan pengendali portal berita tempatan, Malaysiakini.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Peguam Negara berhujah Malaysiakini telah membenarkan komentar untuk disiarkan di bahagian komen artikel yang disiarkan pada 9 Jun dalam Malaysiakini bertajuk, CJ orders all courts to be fully operational from July 1.

Beliau berhujah komen itu mengandungi kenyataan yang menyinggung perasaan.

Loke berkata Peguam Negara menawarkan diri sebagai pemohon dalam perkara itu  kerana beliau adalah penjaga kepentingan awam, sambil menambah ia adalah demi kepentingan masyarakat kerana kenyataan yang menyinggung perasaan telah dibuat terhadap badan kehakiman.

Loke berkata kenyataan itu adalah serangan secara tidak langsung terhadap Ketua Hakim Negara, para hakim dan badan kehakiman secara keseluruhan dan akan menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, terhakis.

Beliau juga berkata kenyataan itu mendedahkan badan kehakiman terhadap skandal dan penghinaan masyarakat,” katanya.

Loke juga berhujah wujud kes prima facie bagi penghinaan itu, dan menambah berdasarkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, mereka (responden) dianggap telah menerbitkan kenyataan itu.

Seksyen 114A (1) menyatakan bahawa seseorang yang namanya, foto atau nama samaran muncul dalam apa-apa penerbitan yang menggambarkan dirinya sebagai pemunya, penganjur, pentadbir, editor atau penyunting, atau dengan apa-apa cara menerbitkan atau menyiarkan semula penerbitan dianggap telah menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan penerbitan tersebut kecuali yang sebaliknya terbukti.

Sementara itu peguam A. Surendra Ananth yang mewakili responden berkata responden telah menghantar representasi kepada Peguam Negara petang semalam bagi pertimbangan untuk menarik balik kebenaran permohonan itu dan memohon mahkamah memberi penangguhan singkat.

Bagaimanapun, Loke berkata Peguam Negara telah mempertimbangkan permintaan itu dan ingin meneruskan permohonan tersebut.

Surendra memberitahu pemberita beliau akan berunding dengan anak guamnya  sama ada untuk memfailkan permohonan bagi mengetepikan kebenaran prosiding komital itu atau teruskan prosiding itu. -{BERNAMA]