Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk mengadap Baginda.
Menurut kenyataan akhbar Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, YB Khalid Abd Samad, beliau telah menerima warkah dari Istana Negara yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju untuk menerima mengadap jawatankuasa tersebut.
Surat bertarikh hari ini tersebut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenaan untuk menerima mengadap jawatankuasa tersebut agar mereka dapat menyerahkan memorandum.
Majlis mengadap itu akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.
Selasa lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu serta Khalid hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan itu.
Ia bagi memohon Seri Paduka menamatkan darurat yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada kadar segera.