Tajuddin Diganti Tok Mat Sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO

Baca versi Jawi di sini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuatkuasa serta merta.

Katanya yang juga Pengerusi BN, penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.

“Timbalan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas sebagai Pengerusi War Room Barisan Nasional dan UMNO dengan ini saya amanahkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelasnya, dengan kedudukan Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi(BN), ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen BN.

“UMNO Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang sebelum ini menggalas amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO,” katanya lagi. -{UMNO Online]

Perkhidmatan Tajuddin Sebagai Pengerusi Prasarana Ditamatkan

Perkhidmatan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta.

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemegang saham tunggal Prasarana, yang memiliki banyak rangkaian pengangkutan awam Malaysia.

Ini termasuk laluan LRT Kelana Jaya, yang menyaksikan kemalangan pada hari Isnin selepas dua tren LRT bertembung – mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital – enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Surat Zafrul kepada Tajuddin beredar di kalangan pengamal media petang ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan YB Dato’s Sri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuat kuasa serta merta,” tulis surat yang dialamatkan kepada Tajudin itu.

Ketika dihubungi, jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan surat itu.

Perkembangan ini hadir ketika Tajuddin mendapat kecaman susulan kenyataannya ketika mengendalikan sidang media mengenai kemalangan LRT baru-baru ini.

Malaysiakini sudah menghubungi Tajuddin untuk mendapatkan respons.

Selasa lalu, ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi di lokasi kemalangan LRT berkenaan, Tajuddin berkata “normal … hanya dua tren bersama, saling bercium …” dan kemudian ketawa kecil.

Cara Tajuddin mengendalikan sidang media itu kemudiannya mengudang gesaan agar dia berundur daripada Prasarana.

Setakat 7.30 malam tadi, petisyen yang menggesa pemecatan Tajuddin mendapat lebih 130,000 penandatangan. -{Malaysiakini]