Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat masuk ke perkarangan istana pada pukul 9.48 pagi tadi.
Ia selepas mesyuarat Umno peringkat negeri semalam. Semua pemimpin yang ditemui pemberita semalam mengunci mulut berkenaan calon menteri besar mereka.
Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama sedang dipertimbangkan iaitu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, bekas menteri besar Zambry Kadir dan Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya.
Semalam, PH Perak dan Saarani mengadap Sultan Nazrin tetapi media diberitahu ketika itu belum ada calon menteri besar baru bagi menggantikan Ahmad Faizal Azumu.
Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya yang dibentangkan di sidang DUN pada 4 Disember lalu.
Usul dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu hanya disokong 10 Adun manakala 48 orang lagi menolaknya.
Belum pasti sama ada Umno mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti itu memegang 25 kerusi DUN, kurang lima kerusi daripada jumlah minimum yang diperlukan.
Bersatu memiliki lima kerusi manakala PAS – yang mengatakan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan negeri baru – memiliki tiga kerusi.
Jika Umno gagal mendapat cukup sokongan daripada Umno dan PAS, parti itu perlu mendapatkan sokongan pembangkang negeri, iaitu PH, yang memiliki 24 kerusi DUN. -{Malaysiakini]
Apakah maknanya jika ada dalam kalangan rakyat yang sanggup menghina jata negara?
Ini bukanlah pertama kali simbol negara kita dicemarkan sebegini rupa.
Sebelum ini negara telah kecoh kerana kes pengibaran bendera Malaysia secara terbalik dan penggantian bintang persekutuan (bintang pecah 14) dengan bintang pecah lima, yang sering dikaitkan sebagai simbol komunis pada Jalur Gemilang di sebuah temasya sukan.
Pada tahun 2013 pula, sebuah pameran lukisan di Kuala Lumpur memaparkan satu gambar mirip bendera Malaysia, tetapi lambang bulan dan bintang digantikan dengan simbol tengkorak dan tulang (simbol lanun) dan empat bintang pecah lima, bersertakan kapsyen “I is for IDIOT”.
Amat jelas bahawa kini negara berhadapan dengan masalah salah laku yang sangat serius di mana ada dalam kalangan rakyat yang sudah hilang semangat patriotisme dan jati diri serta menentang prinsip dan ideologi negara.
Dimanakah sikap, “Kesetiaan kepada raja dan negara” yang sepatutnya kita hayati sebagai rakyat Malaysia?
Lebih teruk lagi, ada yang sudah hilang sifat ketamadunan dalam diri mereka; seperti sudah hilang punca akibat terlalu keliru tentang hak kebebasan.
Bendera dan jata negara adalah lambang sesebuah negara. Perbuatan meniru serta mengubah bentuk sebarang elemen pada lambang negara adalah perbuatan menghina serta mencabar kedaulatan negara tersebut.
Jata negara kita mempunyai makna yang amat dalam, setiap elemennya memaparkan sejarah serta prinsip asas yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa.
Dipayungi oleh lambang bulan dan bintang Persekutuan yang melambangkan kebesaran agama Islam dan Raja-raja Melayu, perisai yang memaparkan simbol sejarah negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia ini, diangkat pula oleh dua ekor harimau yang melambangkan keberanian dan kekuatan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.
Amat simbolik apabila dua ekor harimau yang gagah berani memegang perisai yang menjunjung bulan dan bintang Persekutuan. Ianya menggambarkan prinsip asas dan ideologi negara di mana kekuatan negara bangsa terletak di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan yang menjaga Islam iaitu agama bagi negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perbuatan mencemar simbol-simbol kedaulatan negara sendiri adalah sangat keji, ibarat memusuhi negara sendiri.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah pernah bertitah mengenai perkara ini. Baginda menyifatkan pencemaran simbol negara sebagai satu serangan terhadap kedaulatan negara.
Amat benar titah tuanku, terutamanya apabila agama Islam serta simbol diraja Raja-raja Melayu yang dicemarkan sebegitu rupa.
Sila tekan untuk memperbesarkan gambar.
Lihat sahaja gambar biadap kulit buku, “Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia”.
Perisai pada jata negara digantikan dengan imej seorang wanita yang berpakaian tidak senonoh. Kedua-dua simbol harimau pula digantikan dengan dua makhluk berwarna merah, yang entah apa maksudnya, mengangkat wanita itu. Lebih biadab lagi apabila mereka meletakkan imej seorang bayi duduk di atas lambang bulan sabit serta ‘memakai’ bintang Persekutuan di keliling mukanya.
Apakah yang cuba mereka gambarkan daripada apa yang mereka paparkan itu?
Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana ianya boleh menggugat keharmonian perpaduan rakyat Malaysia.
Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana akan memulakan siasatan dan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku ini.
Bagi mereka yang mendakwa bahawa ini adalah hak kebebasan diri, rujuklah kembali Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara adalah jelas iaitu kebebasan ada batasannya.
Merujuk kepada hak kebebasan untuk berbuat apa sahaja, saya ingin memetik titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Shah yang harus dijadikan ingatan:
“Walau apa pun yang dirasakan seseorang sebagai hak kebebasan diri untuk bersuara, konsekuens tindakan mereka tidak boleh dan tidak patut diabaikan.
“Jika batasan diabaikan atas sebab kebebasan individu, akhirnya kita tidak akan memperkukuhkan tetapi sebaliknya melemahkan ikatan yang menyatukan negara bangsa kita. Kita perlu menanamkan sifat ketanggungjawaban dan kemasyarakatan ke dalam anak-anak muda kita.”
UTUSAN ONLINE – IPOH 1 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini menegur tindakan segelintir pihak termasuk pemimpin yang bersaing mempamerkan ego masing-masing sehingga sanggup merendahkan nilai diri demi mencari pengaruh dan mendapatkan sokongan politik.
Baginda bertitah, suhu politik di dalam negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hari semakin dipanaskan dan dilakukan oleh pemimpin politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.
“Sifat-sifat kaduk menaiki junjung dan sifat-sifat memilih lebih mahu berputih tulang setelah berputih mata oleh sebahagian pemimpin politik telah meningkatkan suhu permusuhan dalam kalangan rakyat.
“Perbuatan mengata dulang paku serpih melalui persaingan melukis wajah lebih hodoh lawan politik, semakin menambahkan mendung di langit negara,” titah baginda pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1441H/2019 di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Dikenali sebagai raja yang sering ‘menjentik’ pemimpin jika ada yang tidak kena Sultan Nazrin bertitah, setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, suara menyemai kebencian antara kaum dan agama semakin diucapkan.
Titah baginda pelbagai provokasi secara keterlaluan dilakukan antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad.
“Setiap ungkapan dan setiap perbuatan sedemikian, sebenarnya merupakan pemasangan satu bom jangka yang menantikan masa untuk meletup.
“Sedarilah! Serpihan daripada letupan bom jangka ini tidak mengenal mangsa, malah anak cucu serta kaum kerabat pemasang bom jangka, turut terdedah kepada akibat daripada perbuatan-perbuatan berfikiran singkat,” titah Sultan Nazrin.
Titah baginda kebenaran fakta dan kesahihan berita kini tidak dipentingkan, sebaliknya emosi semakin mempengaruhi diri termasuk dalam kalangan terpelajar sehingga minda rakyat semakin diracuni dan menjadi terlalu taasub serta berfikiran tertutup.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah setiap insiden daripada kejadian jenayah di jalan raya kepada tindakan disiplin seorang guru di sekolah atau majikan di pejabat, warna baju pemimpin, kesilapan mengibarkan bendera, perubahan kurikulum pengajian dilihat dan ditafsirkan secara negatif, menurut dimensi kaum dan agama.
“Keadaan ini amat tidak sihat, meletakkan negara berada dalam zon bahaya yang mencemaskan. Majoriti rakyat di negara ini cintakan keamanan. Mereka semakin resah, semakin gelisah, bimbang dan takut,” titah Sultan Perak.
Baginda bertitah suhu panas itu wajib segera diturunkan dan perbuatan menyalakan api perkauman, meniupkan bara permusuhan antara agama wajib dihentikan tanpa berlengah.
Titah baginda undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa dan harta benda rakyat yang tidak berdosa terjamin serta dilindungi.
Mengakhiri titah, Sultan Nazrin turut memanjatkan doa agar Malaysia diamanahkan dengan pimpinan yang amanah, ikhlas, membawa suara kesederhanaan, suara munasabah, suara rasional dan suara persaudaraan agar rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini hidup rukun serta harmoni. – BERNAMA
UTUSAN ONLINE – IPOH 1 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua pihak agar menghentikan segala perbuatan menyalakan api perkauman dan meniupkan bara permusuhan antara agama di negara ini.
Baginda menegaskan, provokasi keterlaluan yang dilihat dan ditafsirkan secara negatif menurut dimensi kaum dan agama adalah ibarat bom jangka yang menanti masa untuk meletup.
Sehubungan itu baginda bertitah, suhu panas tersebut wajib diturunkan kerana keadaan itu amat tidak sihat malah meletakkan negara dalam zon bahaya yang mencemaskan.
“Pelbagai provokasi secara keterlaluan dilapor dilakukan antaranya meletak patung dan melemparkan daging khinzir di dalam masjid, meletak kepala lembu di kuil Hindu, menyebarkan pelbagai bahan diayah, fitnah dan penghinaan melalui media sosial termasuk terhadap agama Islam dan Rasulullah SAW.
“Sebahagian besar daripada perbuatan-perbuatan tersebut dilapor dilakukan kerana upahan.
“Bara perkauman semakin disemarakkan dan api permusuhan antara agama semakin dinyalakan. Setiap ungkapan dan perbuatan sedemikian merupakan pemasangan satu bom jangka yang menanti masa untuk meletup,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri tahun 1441H/2019M yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.- UTUSAN ONLINE
Berikutan berita perletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV iaitu Sultan Muhammad V semalam, ramai rakyat Malaysia mula meneka dan memberi pendapat masing-masing tentang Sultan manakah yang bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI walaupun pada hakikatnya pemilihan Ketua Utama Persekutuan Malaysia ini ditentukan oleh keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja dan tertakluk kepada persetujuan Sultan yang dipilih.
Raja yang seterusnya yang bakal ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut sistem penggiliran ialah Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah. Namun memandangkan Baginda sedang gering, maka pilihan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pembacaan saya di media sosial ialah Sultan Johor dan Sultan Perak.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang merupakan Sultan negeri seterusnya yang ditabalkan selepas Sultan Pahang mengikut sistem penggiliran adalah merupakan seorang Sultan yang sangat disayangi oleh rakyat. Baginda sangat mengambil berat tentang pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat Johor. Baginda ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada tahun 1981, dan menaiki tahkta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010 setelah mangkatnya Baginda Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kini memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong telah menaiki tahkta sebagai Sultan Perak pada tahun 2014. Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2016. Sultan Nazrin merupakan seorang Sultan yang amat popular dan amat dihormati kerana ketokohan dan kehebatan intelektual baginda.
Berbagai reaksi diberikan netizen untuk memperkuatkan cadangan mereka. Ketokohan dan keberanian Sultan Johor yang peka dengan masalah rakyat adalah sebab kenapa ramai rakyat memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Namun Sultan Nazrin tidak kurang hebatnya sehinggakan ramai netizen yang mendesak supaya Sultan Nazrin yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong; termasuk dengan hujah tambahan bahawa Sultan Nazrin lebih berusia daripada Sultan Johor. Bukan setakat itu sahaja, malah ada netizen yang membincangkan kemungkinan Sultan Ahmad Shah turun takhta seperti Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, iaitu ayahanda Sultan Muhammad V pada tahun 2010 yang lalu, untuk memberi laluan kepada Tengku Abdullah menjadi Sultan Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.
Sultan Ibrahim pernah menolak jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Oktober 2016, tetapi ini tidak bermakna kali ini Baginda juga akan menolak jika dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.
Mengikut pandangan saya pula, demi menghormati sistem penggiliran yang ada, maka lebih cantik jika Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Jika kita mahu mengambil kira apa yang dihujahkan sesetengah orang bahawa Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah menolak jawatan Yang di-Pertuan Agong VIII untuk memberi laluan kepada Almarhum Sultan Iskandar, kita perlu melihat bahawa Almarhum Sultan Sir Ibrahim juga telah menolak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong I ketika tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Namun berdasarkan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, sistem penggiliran bukanlah syarat di dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong; dan jika kita tidak mengambilkira sistem penggiliran demi menghormati Raja yang lebih berusia dan hebat, maka kita juga mempunyai Raja-Raja lain yang lebih berusia dan tidak kurang hebatnya seperti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang terbukti sangat hebat, tegas dan merupakan seorang Raja yang sangat berwibawa.
Walau bagaimanapun, kita sebagai rakyat, khasnya rakyat Raja sepatutnya memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat pilihan kerana Baginda-Baginda Raja-Raja Melayu lebih arif tentang perkara ini. Semoga Allah S.W.T. merahmati kita semua dan melindungi negara kita daripada segala perkara yang buruk.
[Utusan Online}- KUALA LUMPUR 2 Nov. – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan bermula hari ini sehingga 31 Disember.
Istiadat yang berlangsung di Istana Hinggap Perak di sini dimulakan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membaca watikah perisytiharan berkenaan.
Baginda kemudian menandatangani watikah itu.
Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan baginda.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum. – BERNAMA