Sultan Johor: Kalimah Allah Untuk Umat Islam Sahaja

Baca versi Jawi di sini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar hari ini menitahkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan bagi tujuan agama Islam sahaja, seperti yang telah difatwakan dahulu.

Menerusi sebuah kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Baginda sekali lagi menegaskan bahawa tuhan agama lain bukan Allah, kerana Allah SWT berfirman dalam ayat 14 Surah Taha bahawa tiada tuhan melainkan Allah.

Kalimah “Allah” merupakan nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam. Nama “Allah” ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku”.

Baginda Sultan Johor mengingatkan semula bahawa sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Johor, Baginda menjaga sensitiviti umat Islam di negeri itu.

Apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar, saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian Bangsa Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri. Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam.

Baginda turut menyeru Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rayuan dalam prosiding ini, dan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk mengambil apa-apa tindakan yang perlu bagi menyokong usaha rayuan tersebut.

Selaku Ketua Agama Islam di negeri Johor, saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini. Malah, saya akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha-usaha rayuan ini.

Kenyataan Sultan Johor Mengenai Isu Warganegara Malaysia Kahwin di India

Sultan Johor Bubar DUN Jika Ada Rebut Kuasa

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negerinya dan men mengingatkan Dewan Negeri akan dibubarkan “serta-merta” jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

“Dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat. Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa. Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta,” titahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memberikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu dan berharap mereka memilih pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri bukan untuk parti atau diri sendiri.

Baginda juga turut memuatnaik hadis ketika Rasulullah SAW ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda:
“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.” –{MalaysiaGazette]

Gabungan Baharu Johor: PH Pertikai Keputusan Sultan Johor?

Petang semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menitahkan bahawa sebuah Gabungan baharu telah diwujudkan bersama beberapa Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) dan berjaya memperolehi bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Oleh yang demikian, Gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar, sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik.

Namun malam semalam pula, Pakatan Harapan (PH) Johor telah membuat satu sidang media mendakwa Gabungan Baharu itu telah gagal mendapat majoriti seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

“PH Johor ingin menegaskan bahawa kami ada sokongan 28 adun – sembilan dari Amanah, 14 dari DAP dan lima dari PKR. Dan semua hadir malam ini.

“Jadi gabungan baru itu tiada majoriti untuk tubuh kerajaan negeri,” kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Malaysiakini melaporkan bahawa PH Johor mendakwa Gabungan Baharu itu hanya memegang 27 kerusi dan bukannya 28 kerusi.

Baca laporan Malaysiakini di sini.

Daripada jumlah 56 kerusi, gabungan baru itu kini memegang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Adakah ini bermakna PH Johor berani mempertikaikan keputusan sesi temubual yang dibuat oleh DYMM Tuanku Sultan Johor bersama ADUN Johor, yang disaksikan YB Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Penasihat Undang-undang Negeri Johor?

Adakah wujud seorang ADUN yang berubah pendirian walaupun telah menandatangani surat akuan bersumpah di hadapan Tuanku Sultan?

Di dalam laporan yang sama, Malaysiakini juga menulis:

Terdahulu, Chong dilaporkan menyokong gabungan baru itu, walaupun hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap PH.

Malaysiakini (LANGSUNG: PH Johor sanggah ‘gabungan baru’ pegang majoriti di DUN)

Untuk rekod, seramai 54 orang ADUN hadir mengadap Sultan Johor untuk sesi temubual tersebut yang berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim dua hari lepas.

Menurut kenyataan media daripada Istana Johor, setelah selesai sesi temubual bersama-sama ADUN Johor, Sultan Johor telah berpuas hati bahawa Gabungan parti yang baharu telah memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, apabila 28 ADUN memilih Gabungan Baharu berbanding 26 ADUN memilih Pakatan Harapan.

Sila tekan untuk merujuk kepada kenyataan media Istana Johor.

Saya yakin bahawa Sultan Johor amat teliti dalam melaksanakan tanggungjawab baginda semasa sesi temubual tersebut.

Rakyat Johor mesti menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, dan tidak bersikap biadap terhadap Tuanku Sultan, apatah lagi apabila ianya melibatkan fitnah yang memberi persepsi buruk terhadap Baginda sebagai Sultan Johor Darul Ta’zim.

Rencana berkaitan:

Sultan Johor Murka MP DAP Berucap Dalam Masjid – Pencabulan Serius Kesucian Masjid


UTUSAN ONLINE – JOHOR BAHRU 16 Mei – Sultan Johor bertitah, perbuatan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang berucap dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, pada 10 Mei lalu sebagai baidab, tidak beretika dan tidak boleh diterima sama sekali.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perbuatan itu jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang dibina sejak zaman berzaman di negeri ini selain mempunyai kepentingan tertentu walaupun sudah dimaklumkan tidak boleh berpolitik dalam masjid.

“Tindakan Ahli Parlimen Labis ini telah mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat serta umat Islam di Negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perbuatan Ahli Parlimen tersebut dan mereka yang bertanggungjawab menganjurkannya telah mengguris perasaan umat Islam terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini di mana umat Islam dianjurkan untuk berkasih sayang dan mengelakkan perpecahan serta merapatkan saf dan perpaduan.

“(Ini) pencabulan serius terhadap kesucian masjid sekali gus menggugat kedudukan Islam sebagai agama Negeri Johor Darul Ta’zim. Pelanggaran sempadan yang telah saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri Johor gariskan sebelum ini apatah lagi larangan ini baharu sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini sebentar tadi.

Titah Baginda, wujud pemimpin politik yang tidak sensitif terhadap undang-undang, peraturan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang berkuat kuasa dalam negeri ini.

“Saya yakin Ahli Parlimen tersebut dan pihak-pihak yang ada berkepentingan akan menafikan bahawa mereka telah berucap berkaitan politik di dalam majlis tersebut,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Johor bertitah, masjid adalah zon bebas politik yang merupakan tempat bagi mereka yang mahukan ketenteraman jiwa dan suasana damai bagi mendekatkan diri kepada Allah tanpa adanya unsur politik yang mendukung parti-parti tertentu di dalamnya.

“Anda boleh sahaja bercakap politik dan berbeza pegangan politik dari pagi hingga malam, dari kedai kopi ke hotel, dari tepi jalan ke puncak gunung bagi meraih sokongan tapi bukan di dalam masjid yang suci itu.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa kesucian masjid di Johor sentiasa terjaga dan bagi memastikan kesucian masjid itu, saya mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan kaedah dan mekanisma bagi memastikan masjid di Johor sentiasa dilimpahi dengan keredaan dan keampunan Allah serta ketenangan, kedamaian tanpa hiruk pikuk politik,” titah Baginda lagi.

Sultan Johor bertitah, perkara itu selaras dengan kehendak Fasal 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.

Tuduhan Tun M: Jawapan Tuanku Sultan Johor