Rakyat Sibuk Meneka Siapa DYMM Agong XVI

Berikutan berita perletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV iaitu Sultan Muhammad V semalam, ramai rakyat Malaysia mula meneka dan memberi pendapat masing-masing tentang Sultan manakah yang bakal dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI walaupun pada hakikatnya pemilihan Ketua Utama Persekutuan Malaysia ini ditentukan oleh keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja dan tertakluk kepada persetujuan Sultan yang dipilih.

Raja yang seterusnya yang bakal ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut sistem penggiliran ialah Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah. Namun memandangkan Baginda sedang gering, maka pilihan yang paling popular di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pembacaan saya di media sosial ialah Sultan Johor dan Sultan Perak.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang merupakan Sultan negeri seterusnya yang ditabalkan selepas Sultan Pahang mengikut sistem penggiliran adalah merupakan seorang Sultan yang sangat disayangi oleh rakyat. Baginda sangat mengambil berat tentang pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat Johor. Baginda ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada tahun 1981, dan menaiki tahkta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010 setelah mangkatnya Baginda Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang kini memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong telah menaiki tahkta sebagai Sultan Perak pada tahun 2014. Baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2016. Sultan Nazrin merupakan seorang Sultan yang amat popular dan amat dihormati kerana ketokohan dan kehebatan intelektual baginda.

Berbagai reaksi diberikan netizen untuk memperkuatkan cadangan mereka. Ketokohan dan keberanian Sultan Johor yang peka dengan masalah rakyat adalah sebab kenapa ramai rakyat memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Namun Sultan Nazrin tidak kurang hebatnya sehinggakan ramai netizen yang mendesak supaya Sultan Nazrin yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong; termasuk dengan hujah tambahan bahawa Sultan Nazrin lebih berusia daripada Sultan Johor. Bukan setakat itu sahaja, malah ada netizen yang membincangkan kemungkinan Sultan Ahmad Shah turun takhta seperti Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, iaitu ayahanda Sultan Muhammad V pada tahun 2010 yang lalu, untuk memberi laluan kepada Tengku Abdullah menjadi Sultan Pahang dan seterusnya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Sultan Ibrahim pernah menolak jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Oktober 2016, tetapi ini tidak bermakna kali ini Baginda juga akan menolak jika dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mengikut pandangan saya pula, demi menghormati sistem penggiliran yang ada, maka lebih cantik jika Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI. Jika kita mahu mengambil kira apa yang dihujahkan sesetengah orang bahawa Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah telah menolak jawatan Yang di-Pertuan Agong VIII untuk memberi laluan kepada Almarhum Sultan Iskandar, kita perlu melihat bahawa Almarhum Sultan Sir Ibrahim juga telah menolak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong I ketika tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Namun berdasarkan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan, sistem penggiliran bukanlah syarat di dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong; dan jika kita tidak mengambilkira sistem penggiliran demi menghormati Raja yang lebih berusia dan hebat, maka kita juga mempunyai Raja-Raja lain yang lebih berusia dan tidak kurang hebatnya seperti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj yang terbukti sangat hebat, tegas dan merupakan seorang Raja yang sangat berwibawa.

Walau bagaimanapun, kita sebagai rakyat, khasnya rakyat Raja sepatutnya memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat pilihan kerana Baginda-Baginda Raja-Raja Melayu lebih arif tentang perkara ini. Semoga Allah S.W.T. merahmati kita semua dan melindungi negara kita daripada segala perkara yang buruk.

Daulat Tuanku!

%d bloggers like this: