Sugu, Suami Pavithra Ditahan Polis, Milik Senjata Berbahaya

Suami kepada personaliti YouTube terkenal yang dikenali sebagai Pavithra telah ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes memiliki senjata berbahaya di sebuah hospital di sini semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang dikenali sebagai Sugu ditahan kira-kira pada jam 6 petang semalam.

Memetik laporan Utusan Malaysia, difahamkan bahawa suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan membawa senjata tajam telah datang ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, kerana mencari adik iparnya selepas berselisih faham antara mereka.

Perselisihan faham tersebut dipercayai berpunca daripada satu majlis di sini yang berlangsung pada Isnin lalu.

Ketegangan antara mereka berterusan sehingga suspek datang ke hospital dan bertindak memukul isterinya di pekarangan hospital berkenaan.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Majistret Nabiha Mohd. Noor dari Mahkamah Majistret di sini membenarkan suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.