ME’DIDIK: Pelajar Harus Berpada-pada Dalam Menyambut Tamat SPM

Baca versi Jawi di sini.

Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME’DIDIK) hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar berikutan tamatnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha ME’DIDIK, Ahmad Ali Karim telah mengingatkan pelajar seluruh negara untuk berpada-pada ketika menyambut tamat peperiksaan, dan jangan sampai ia menghina dan merendahkan imej institusi pendidikan.

Baca kenyataan penuh (bertulis):

MENGENAI SAMBUTAN TAMAT SPM DALAM KALANGAN MURID

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah berakhir pada Khamis, 25 Mac 2021 dalam keadaan yang teratur. ME’DIDIK mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon-calon SPM 2020 yang telah berjaya mengharungi peperiksaan dengan penuh semangat serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Perjuangan calon-calon SPM 2020 adalah amat mencabar akibat berbagai-bagai rintangan kerana penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).
ME’DIDIK juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada KPM dan semua petugas yang telah bertungkus-lumus dalam usaha untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar dan selamat.
Pada masa yang sama, ME’DIDIK ingin mengingatkan para pelajar agar berpada-pada ketika menyambut tamat peperiksaan SPM. Segala jenis sambutan haruslah jangan sampai menghina dan meruntuhkan imej institusi pendidikan.
Aktiviti melempar kerusi dan meja bilik darjah dan menconteng baju sekolah adalah antara cara sambutan yang menjadi ikutan, malah sering dikongsi di media sosial dengan rasa bangga. Kita juga menyaksikan aksi-aksi lain tidak sopan seperti membaling buku sekolah ke dalam sungai serta memaki guru.
Semua pihak khasnya para pelajar harus sedar bahawa setiap elemen pendidikan haruslah dihormati. Adalah menjadi budaya rakyat Malaysia untuk tidak meletakkan buku-buku di bawah paras kaki sebagai tanda hormat kepada ilmu. Justeru, perbuatan menghina guru-guru adalah bertentangan dengan nilai budaya kita yang menjunjung tinggi ilmu yang bermanfaat. Adab dalam menuntut ilmu hendaklah dijaga agar ilmu yang dituntut akan diberkati.
ME’DIDIK menyeru para pelajar supaya sentiasa berwaspada akan hal-hal sebegini serta tidak mudah terikut-ikut dengan perbuatan negatif yang boleh meruntuhkan maruah bangsa.

“RAKYAT DAN PENDIDIKAN BERPISAH TIADA”
Yang benar,

AHMAD ALI BIN A. KARIM
Setiausaha,
Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (ME’DIDIK)

Waktu Sesi Petang SPM Dipinda, Beri Masa Makan, Solat

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa waktu mula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sesi petang dipinda dari jam 2 petang kepada 2.15 petang, berkuat kuasa mulai 1 Mac hingga tamat peperiksaan itu pada 25 Mac.

Dengan pindaan itu, waktu tamat peperiksaan tersebut juga akan dilanjutkan selama 15 minit.

LPKPM melalui satu kenyataan menyatakan bahawa pindaan itu bertujuan untuk memberi ruang dan keselesaan kepada calon untuk berehat, makan dan menunaikan sembahyang, sementara menunggu waktu mula peperiksaan bagi sesi tersebut.

SPM Bakal Dirombak

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengesahkan telah memulakan langkah melakukan transformasi terhadap sistem dan pensijilan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang telah berusia lebih 50 tahun.

Pengarah Peperiksaan LPM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan di peringkat lembaga dan kementerian sedang dibuat dalam usaha memastikan sistem SPM bersesuaian dengan perkembangan zaman khususnya teknologi maklumat yang begitu laju.

“Pemikiran ke arah penambahbaikan sistem pentaksiran sedang dibuat melihat kepada perkembangan semasa dan trend pentaksiran masa kini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, kajian dan penglibatan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk pakar-pakar perlu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini bagi memastikan kita mendapatkan input sebelum perkara ini diumumkan.

“Pensijilan SPM adalah berkait dengan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Justeru, sebarang perubahan perlu berlaku secara teratur dengan mengambil kira pengiktirafan sijil kita (SPM) di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, pentaksiran sememangnya mempunyai banyak kaedah berdasarkan mata pelajaran tertentu.

“Jadi itu yang kita sedang teliti dan fikirkan kaedah bersesuaian dan memerlukan sedikit masa.

“Malah, LPM turut melihat kemudahan teknologi yang ada masa kini. Kaedah itu boleh ditambah baik dan menjadi faktor pertimbangan kita dalam perbincangan itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata, LPM mengambil maklum pandangan pihak tertentu dan masyarakat yang mahukan transformasi dilakukan terhadap pentaksiran SPM yang telah berusia 50 tahun itu.

“Jadi insya-ALLAH kita akan ambil senario semasa sebagai langkah untuk memikirkan kaedah penambahbaikan dalam sistem taksiran.

“Cuma belum sampai masa untuk kita kata bagaimana kaedah semua itu,” katanya. -{Sinar Harian]

Tarikh Peperiksaan SPM, STPM, SVM & STAM Dipinda

Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk tahun ini dijadualkan semula ekoran masalah Covid-19.

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata langkah itu diambil selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira situasi semasa dalam negara.

Katanya perkembangan yang ada memang memberi kesan kepada calon peperiksaan berkenaan.

“Mengambil kira situasi semasa, KPM membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.

“Peperiksaan SPM, SVM, dan STAM akan bermula pada 22 Feb 2021, manakala peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

“Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Radzi bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun ini membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Jan 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya.

Menurut naib presiden Bersatu itu juga semua ketetapan berkenaan terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Mengenai kemasukan pelajar ke sekolah khusus seperti termasuk sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik, kolej vokasional dan maktab tentera diraja, Radzi berkata, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan tingkatan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

KPM juga, katanya, akan menjadualkan semula peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang memang dijadualkan sehingga Dis ini namun belum diselesaikan.

“Terdapat juga pertanyaan berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021.

“Untuk makluman, penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya. -{Malaysiakini]