Berjasa Umum Bertanding PRK Tanjung Piai

Image result for berjasa

(Sinar Harian) – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Penerangannya, Hazwan Mohammad berkata, pihaknya telah membuat bayaran deposit kepada kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada pagi tadi.

Katanya, Berjasa mahu memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam di Parlimen Tanjung Piai memilih calon Muslim berwibawa yang akan mewakili suara mereka.

“Justeru atas dasar prinsip serta memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia dan menimbang peri pentingnya memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam.

“Bagi mereka mengundi calon Muslim berwibawa untuk dihantar ke Parlimen, Berjasa dengan ini mengumumkan untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengenai calon, jelasnya satu sidang media pengumuman rasmi calon akan diadakan esok.

Pengumuman Berjasa meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan.

PH telah mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon, BN pula meletakkan calon dari MCA yang juga Ketua Bahagian MCA Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, manakala Gerakan mempertaruhkan peguam, Wendy Subramaniam.

SPR menetapkan 2 November sebagai tarikh penamaan calon manakala 16 November hari pengundian.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

[KEMASKINI] Wee Jeck Seng Calon BN Tanjung Piai

Image result for wee jeck seng"

Barisan Nasional mengumumkan Dato’ Sri Wee Jeck Seng, daripada parti Malaysian Chinese Association (MCA) sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai sebentar tadi.

Hal ini diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad di Dewan UMNO Pontian sebentar tadi.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan tersebut selama dua penggal, sebelum ditewaskan oleh Allahyarham Datuk Wira Mohamed Farid bin Md Rafik pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Jeck Seng, 55, berkelulusan pendidikan ijazah doktor falsafah (pengurusan awam) dari Universiti Utara Malaysia.

Pada tahun 2004, beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor di kawasan Pekan Nenas, dan juga merupakan setiausaha politik kepada Tan Sri Dr. Ong Ka Ting.

Menurut Datuk Hasni, tindakan meletak calon MCA di kerusi Tanjung Piai merupakan bukti bahawa Muafakat Nasional PAS dan UMNO adalah inklusif, berjiwa besar, dan pragmatik, bukan sahaja untuk mengenengahkan kepentingan orang Melayu dan Islam, tetapi juga kepentingan semua masyarakat dan komuniti di dalam negara.

Hal ini dipersetujui dengan sebulat suara oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional.

Rencana berkaitan:

Karmaine Calon PH Tanjung Piai

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

[Malaysiakini}- Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) parlimen berkenaan.

Pencalonan Karmaine, 66 diumumkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Tanjung Piai hari ini.

Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Bekas guru di SMK Teluk Kerang itu sebelum ini bertugas sebagai pembantu teknik dan arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di antara tahun 1980 hingga 2000.

Dalam politik, bekas bendahari Umno Tanjung Piai itu antara seorang salah pemimpin utama menubuhkan bahagian Bersatu di kawasan itu.

Ketika mengumumkan pencalonan Karmaine, Muhyiddin menggariskan lima isu utama termasuk menangani kos sara hidup, meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Nov sebagai hari penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42 meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Rencana berkaitan:

GERAKAN Nak Kacau Daun di Tanjung Piai?

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) telah mengumumkan bahawa mereka akan turut bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16hb November ini.

Dalam satu kenyataan yang dibuat presidennya, Datuk Dr Dominic Lau pada 12hb Oktober yang lalu, beliau mengatakan bahawa parti tersebut akan menjadi blok ketiga di dalam pertandingan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Ini adalah kali pertama parti GERAKAN bertanding di dalam PRK sejak parti itu kalah semua kerusi yang ditandingnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Kenapakah GERAKAN berminat untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai sedangkan peluang GERAKAN untuk memenangi PRK ini dilihat amat tipis?

Untuk rekod, P165 Tanjung Piai mempunyai 56-57% pengundi Melayu dan ianya bukanlah merupakan kerusi tradisi bagi parti GERAKAN; malah parti GERAKAN tidak pernah bertanding di kerusi ini.

Oleh itu, apakah parti GERAKAN mempunyai agenda tersirat di sebalik keputusannya untuk meletakkan calon di dalam PRK ini?

Setakat ini saya tidak nampak di manakah kekuatan baharu parti ini untuk menandingai sama ada PPBM atau BN untuk kerusi P165 Tanjung Piai.

Namun, saya percaya segala keputusan parti mestilah bersebab, sama ada ianya semata-mata sekadar satu percubaan untuk mendapatkan kerusi pertama GERAKAN di Parlimen ataupun ianya sebahagian daripada satu ‘grand scheme’ yang lebih besar di sebalik pergeseran terbuka yang berlaku di dalam beberapa parti politik tanah air ketika ini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong membuat kenyataan bahawa parti GERAKAN akan meletakkan calon muda di bawah umur 40 tahun untuk PRK ini.

“Kami menawarkan alternatif kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU-14, selain kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam menangani sentimen perkauman,” katanya.

Oh Tong Keong – Berita Harian (GERAKAN tampil calon muda di Tanjung Piai)

Namun ada pemerhati politik yang berpendapat bahawa tindakan parti GERAKAN yang merupakan bekas komponen BN itu adalah untuk memecah undi Barisan Nasional dan seterusnya menolong PPBM memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

PRK P165 Tanjung Piai berlangsung ketika kem Ketua Umum Pakatan Harapan, yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut supaya Perdana Menteri menyerahkan jawatan PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Perkara ini juga melibatkan tuduh-menuduh di antara kem Presiden PKR dan kem Timbalan Presiden PKR iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga melibatkan berbagai spekulasi lain.

Malah, beberapa bulan yang lalu, beberapa media utama melaporkan bahawa Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai memperakui bahawa beberapa orang pemimpin PKR yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi menemui beliau untuk berbincang tentang kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti GERAKAN.

Akhbar Sinar Harian pula telah melaporkan kenyataan Naib Presiden GERAKAN, Datuk G Parameswaran dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong mengalu-alukan kedatangan Timbalan Presiden PKR itu sekiranya benar beliau mahu bersama GERAKAN.

Rencana berkaitan:

PRK Tajung Piai Bakal Menyaksikan Calon 18 Tahun?

Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai akan berlangsung dalam masa kurang sebulan lagi, dan pada malam 16hb November ini kita akan mengetahui siapakah calon yang berjaya memenangi kerusi P165 Tanjung Piai.

PRK ini menjadi amat penting dan bermakna di dalam sejarah negara kerana ia merupakan pilihan raya pertama yang membenarkan seseorang yang berumur 18 tahun menjadi calon.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), jumlah peratusan pengundi belia berdaftar di kawasan Parlimen Tanjung Piai adalah lebih kurang 36%, manakala 64% selebihnya adalah pengundi yang berumur empat puluh tahun ke atas.

Menariknya, jika calon belia berumur 18 tahun diturunkan, apakan beliau akan berjaya mendapat undi sokongan daripada kebanyakan golongan belia disana?

Setakat ini parti politik yang sah akan bertanding ialah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dan bagi pihak PH, kerusi P165 Tanjung Piai dikatakan milik PPBM manakala BN belum mengumumkan sama ada akan menurunkan calon dari MCA atau pun UMNO.

Saya ternanti-nanti apakah akan ada parti politik yang berani mengenengahkan calon yang berusia 18 tahun untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai nanti.

Dari segi akademiknya, perkara ini amat menarik kerana jika belia muda berjaya memenangi pilihan raya, kita akan dapat menilai apakah faktor umur muda merupakan satu kriteria dalam menentukan kewibawaan seseorang wakil rakyat kerana setakat ini kita cuma bercakap secara teori.

Namun secara realitinya, perkara ini membuka banyak persoalan lain, contohnya beranikah golongan yang lebih dewasa untuk mengundi calon yang berumur 18 tahun walaupun calon tersebut datang daripada parti politik mereka sendiri?

Dan persoalannya seterusnya ialah apakah wajar bagi seorang belia berusia 18 diberi kepercayaan untuk memikul tugas sebagai seorang wakil rakyat?

Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, “wakil rakyat” bermakna seseorang yang telah dipilih dalam pilihan raya untuk menjadi wakil penduduk di kawasan pilihan rayanya.

Maka dalam kes ini, calon yang memenangi kerusi P165 Tanjung Piai akan membawa suara hati dan memperjuangkan untung nasib rakyat Tanjung Piai ke peringkat pentadbiran Persekutuan.

Justeru, beliau bukan sahaja akan membawa suara hati dan kehendak belia tetapi juga mereka yang lebih dewasi dan telahpun melepasi umur belia.

Apakah belia yang berumur 18 tahun mampu memahami suara hati rakyat yang berumur lebih 60 tahun dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen?

Tepuk dada tanya selera. Pada pandangan saya dari perspektif seorang pemerhati politik tanah air yang belum layak mengundi, belia yang hebat mestilah bersikap terbuka dalam menimba pengalaman hidup daripada mereka yang lebih lama makan garam.

Belia mesti amanah dalam memikul tanggungjawab mereka dan bukannya sekadar mahukan jawatan dengan harapan dapat menjadi seorang menteri pada usia yang muda.

Apakah akan ada calon belia 18 tahun di PRK P165 Tanjung Piai?

MCA Beri Laluan Kepada UMNO Di PRK Tanjung Piai?

Apakah benar Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon dari UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P165 Tanjung Piai?

Desas-desus ini semakin kencang selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa kerusi P165 Tanjung Piai mungkin akan ditandingi calon daripada UMNO.

Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2019 yang diadakan di Hotel Trove, di sini sebentar tadi.

“MCA perlu berlapang dada, sepertimana MIC berlapang dada di Parlimen Cameron Highlands”.
“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan, apa yang paling penting adalah untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dan memenangkan BN,” katanya.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Utusan Online)

Ramai pemerhati politik meramalkan peluang BN untuk memenangi PRK ini lebih besar sekiranya BN meletakkan calon dari UMNO memandangkan hampir 57 peratus daripada pengundi Parlimen Tanjung Piai ialah orang Melayu.

Perkara ini menjadi lebih penting kerana BN akan menentang calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sudah tentunya orang Melayu.

Dalam PRU14, di Johor ramai calon PPBM telah berjaya mendapat sokongan daripada mereka yang dahulunya menyokong UMNO; dan dengan pertolongan PPBM, kubu kuat UMNO di Johor telah berjaya diruntuhkan.

Tambahan pula, realitinya sokongan pengundi Cina kepada calon MCA di dalam PRU14 adalah amat rendah di seluruh negara termasuk di Johor dan MCA kalah hampir di kesemua kerusi tradisinya.

Namun, persoalannya sekarang, apakah MCA sanggup berlapang dada melepaskan kerusi tradisinya, sepertimana MIC berlapang dada ketika PRK Parlimen Cameron Highlands dahulu?

PRK Tanjung Piai: Bagaimanakah Sikap Pengundi?

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak lama lagi, kawasan Parlimen P165 Tanjung Piai akan menjadi meriah dihiasi berbagai poster, bendera parti dan kain rentang yang berwarna-warni serta sibuk dengan kehadiran pemimpin dan petugas parti dari seluruh negara.

Tarikh mengundi awal telah ditetapkan pada 12 November sementara hari mengundi pada 16 November. 

Setiap parti yang bertanding sudah pasti bertekad untuk menang. Justeru, semua pihak pasti sibuk merangka berbagai strategi untuk menang dengan bergaya. Maka untuk itu, kekuatan jentera serta sentimen dan sikap pengundi adalah sangat penting.

Ada yang mengatakan PRK P165 Tanjung Piai ialah medan penentu kejayaan piagam kerjasama Muafakat Nasional tetapi kita semua tahu bahawa kerjasama di antara BN dan PAS telah terjalin di dalam beberapa PRK sebelum ini, dan jelas dilihat sejak PRK P078 Cameron Highlands.

Benarkah sentimen dan kempen ‘Vote Muslim First’ (VMF) akan mempengaruhi sikap pengundi dan akan memberi kemenangan mudah kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika Barisan Nasional (BN) memilih calon dari parti Malaysian Chinese Association (MCA)?

Strategi ini boleh digunakan kepada pengundi Melayu yang menyokong ‘Buy Muslim First’ (BMF) tetapi sanggupkah pengundi yang lantang menentang serta menolak kempen dan sentimen BMF, khasnya pengundi bukan Melayu untuk menjadi penyokong sentimen VMF? Kerana secara logiknya, mereka juga tidak mahu dilihat mengiktiraf VMF dan juga BMF selepas PRU nanti.

Apa lagi jika BMF menjadi sebab kenapa pengundi bukan Melayu menolak calon BN yang dikatakan menyokong BMF. Ironik jika pengundi yang membenci BMF mengundi calon yang dikempen atas dasar VMF, kecualilah jika mereka keliru atau sememangnya penyokong setia parti.

Parlimen P165 Tanjung Piai meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup dengan jumlah pengundi seramai 53,528 seperti yang dilaporkan ketika PRU 14.

Walaupun menang tipis dengan majoriti 524 undi daripada 45,789 jumlah undi yang diterima, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari PPBM yang bertanding atas tiket PKR telah berjaya merampas kerusi tersebut daripada penyandangnya, Datuk Wee Jeck Seng dari MCA yang mewakili BN pada PRU 14.

Faktor calon sangat penting dalam setiap pilihan raya, namun dalam keadaan tertentu seperti yang dilihat dalam PRU 14, ramai pengundi sanggup mengundi PH tanpa mengambil kira faktor calon kerana bertekad untuk memenangkan parti dan menjatuhkan kerajaan pada ketika itu.

Bagi Parlimen Tanjung Piai, undi Melayu amat penting untuk memenangkan calon memandangkan bilangan pengundi Melayu adalah melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Pendapat umum mengatakan bahawa di Johor, sokongan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan faktor yang berjaya menarik undi Melayu daripada UMNO; sementara PH mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina; hal ini juga terpakai di Tanjung Piai.

Justeru, tidak hairan jika terdapat sebahagian daripada pengundi PPBM yang agak kecewa kerana mereka mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin negara selepas Tun.

Tambahan, kini ada pihak dalam PH yang mendesak Tun menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang tahun 2020, sedangkan penyokong Tun mahu beliau terus kekal sehingga habis satu penggal.

Beberapa hari yang lalu, Tun berkata akan melepaskan jawatan sebelum PRU 15 dan mempunyai masa 3 tahun; namun akhbar-akhbar juga melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka akan menggantikan Tun menjelang tahun hadapan.

Tidak mustahil jika faktor sokongan samada kepada Pengerusi, Timbalan Presiden atau Ketua Umum PH serta masalah dalaman parti akan mempengaruhi sentimen serta sikap pegundi dan jentera parti.

Sebagai kerajaan negeri dan pusat, PH mempunyai lebih ruang dan berbagai kelebihan untuk menawan hati pengundi, apatah lagi penyandang kerusi tersebut juga dari PPBM.

Namun kes pencemaran udara akibat sisa toksik di Sungai Kim Kim dan beberapa kes lain di Pasir Gudang, serta masalah dalaman parti di Johor mungkin sedikit sebanyak boleh memberi impak kepada PRK ini.

Begitu juga dengan dengan isu janji PRU 14, keadaan ekonomi semasa, kenaikan harga barang, isu cukai dan sebagainya yang pasti akan mempengaruhi sikap pengundi terhadap parti kerajaan.

Oleh kerana penyandang kerusi P165 Tanjung Piai ialah dari PPBM, tekanan untuk mempertahankan kerusi adalah sangat besar.

Yang pasti, semua pihak akan cuba mengambil hati pengundi dan PRK Parlimen Tanjung Piai akan menjadi medan pertarungan yang sengit di antara PH dan BN.

Walau apapun, dalam bertanding biarlah bermaruah dan bersikap adil serta amanah

Tulisan ini hanyalah satu analisis amatur dari saya, seorang penulis remaja yang tidak berada di lapangan; ianya hanyalah berdasarkan pemerhatian dan pembacaan daripada berbagai laporan berita.