Keputusan Penuh PRK Tanjung Piai: BN Menang Besar!

Keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai telah diumumkan sebentar tadi.

Calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng dari parti MCA telah memenangi PRK P165 Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi mengalahkan Hj. Karmaine bin Sardini (Pakatan Harapan), Wendy Subramaniam (GERAKAN), Dr Ang Chuan Lock (BEBAS), Dato’ Dr. Badrulhisham (BERJASA) dan Faridah Aryani Abdul Ghafar (BEBAS).

Peratus keluar mengundi ialah 74,43% dan undi rosak berjumlah 595 semetara 30 kerta undi tidak dikembalikan.

Rencana berkaitan:

BN Menang Besar PRK Tanjung Piai (Laporan Tidak Rasmi)

Sila klik di ini untuk laporan penuh Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai. 

Menurut laporan tidak rasmi, setakat pukul 8:15pm, BN telah mendapat 23,621 undi sementara PH mendapat 9,498 undi.

Pengiraan undi sedang berjalan.

Rencana berkaitan:

PRK Tanjung Piai: 43 Peratus Keluar Mengundi Setakat 12PM (Gambar)

Terdapat 52,698 pengundi di kawasan parlimen separa bandar ini, dengan 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan kira-kira 1 peratus adalah kaum lain.

PRK Tanjung Piai: Siapa Yang Mendahului?

… Beliau berkata BERJASA dan GERAKAN hanya memberi kesan kecil yang tidak akan mengganggu keputusan PRK Tanjung Piai. Bagi saya, jika hasil kajian ini tepat, maka kehebatan dan keberkesanan jentera kempen yang akan menentukan kemenangan calon mereka.

Pemilihan Dato’ Sri Wee Jeck Seng daripada MCA sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai merupakan satu kejutan besar yang menjadikan PRK Tanjung Piai sangat panas.

Hal ini telah membawa kepada ‘pertempuran’ hebat di alam maya, situasi yang menggambarkan betapa signifikannya PRK Tanjung Piai kepada warga Malaysia walaupun yang akan mengundi hanyalah pengundi di P165 Tanjung Piai.

Dalam suasana yang membara, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) yang merupakan rakan komponen pakatan politik Gagasan Sejahtera (GS) bertindak meletakkan presiden partinya sebagai calon PRK Tanjung Piai.

Tindakan BERJASA dibantah oleh dua rakan komponen GS iaitu PAS dan Ikatan, hasilnya keadaan menjadi bertambah panas sehinggakan saya sendiri yang hanya merupakan seorang blogger remaja terkena bahangnya apabila ‘diserang’ di alam maya hanya kerana memetik berita Sinar Harian; padahal, berita yang sama juga dilaporkan oleh ISMAWeb.

Walaupun terdapat enam calon yang akan bertanding pada PRK ini, namun rata-rata pemerhati politik mengatakan bahawa PRK Tanjung Piai sebenarnya merupakan pentas pertarungan antara PH dan BN.

Berita Harian melaporkan, semasa pembentangan kajian awal Ilham Centre: Unjuran 7 Siri PRK dan Prediksi P165 Tanjung Piai, di Universiti Malaya, Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata bahawa pertandingan di antara PH dan BN adalah seimbang, dimana kedua-dua calon mempunyai kelebihan masing-masing.

Bercakap mengenai peluang calon parti GERAKAN dan BERJASA, beliau berkata bahawa kedua-dua parti itu hanya memberi kesan kecil yang tidak akan mengganggu keputusan PRK.

Bagi saya, jika hasil kajian ini tepat, maka kehebatan dan keberkesanan jentera kempen yang akan menentukan kemenangan calon mereka.

Saya suka melihat PRK ini sebagai satu kajian yang melibatkan suasana politik tempatan dan strategi politik parti-parti yang bertanding dalam memenangi hati pengundi.

Pada dasarnya, semua parti yang bertanding berhasrat untuk menang, maka sudah tentu mereka membuat berbagai kajian sebelum memilih calon.

Pada PRU 14, pengaruh ibu penyandang kerusi P165 Tanjung Piai, Allahyarham Dr Mohamed Farid, Norma Mohamed yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Tanjung Piai sebelum beliau menyertai PPBM dikatakan telah banyak membantu Allahyarham untuk mendapat undi daripada pengundi Melayu.

Malah nama Norma Mohamed juga adalah di antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon untuk mempertahankan kerusi ini sebelum PPBM mengumumkan nama calon mereka.

Kali ini PPBM mempertaruhkan Karmaine Sardini yang merupakan Ketua Bahagian PPBM Tanjung Piai, seorang lagi bekas pemimin UMNO kawasan yang dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

Statistik pengundi kawasan parlimen P165 Tanjung Piai.

Ramai yang berpendapat calon Melayu mempunyai potensi yang lebih baik untuk memenangi PRK ini memandangkan 56.80% daripada pengundi berdaftar di P165 Tanjung Piai merupakan pengundi Melayu, ditambah dengan kempen ‘Vote Muslim First’ (VMF) dan ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang mendapat sokongan besar daripada orang Melayu.

Namun kalau jangkaan ini benar-benar tepat, kenapa parti GERAKAN mengambil keputusan untuk bertanding dan meletakkan calon bukan Melayu, Wendy Subramaniam pada ketika khalayak umum masih menjangka BN akan menurunkan calon daripada UMNO untuk merebut kerusi P165 Tanjung Piai? Perlu diambil perhatian bahawa GERAKAN tidak pernah bertanding di Tanjung Piai walaupun di zaman kegemilangan parti tersebut.

Dengan pecahan kaum Melayu dan bukan Melayu yang agak seimbang di Parlimen Tanjung Piai, adalah agak mustahil untuk mana-mana parti memenangi PRK ini dengan hanya mengharapkan undi orang Melayu semata-mata.

Allahyarham Dr Mohamed Farid memenangi kerusi P165 Tanjung Piai hasil bantuan sokongan padu pengundi Cina; yang pada PRU 14 tidak menyokong calon MCA.

Ini bermakna bahawa jika sikap pengundi Cina berubah maka calon PPBM terpaksa mendapatkan undi daripada hampir seluruh pengundi Melayu untuk memenangi PRK ini.

Realiti keadaan di Tanjung Piai, kebanyakan undi orang Melayu akan berpecah kepada PH dan BN kerana PPBM dan UMNO lebih dekat di hati mereka, melainkan jika terdapat undi protes.

Dalam tulisan saya yang terdahulu, ‘PRK Tanjung Piai: Bagaimanakah Sikap Pengundi?‘, saya telah memperkatakan tentang kempen VMF dan BMF yang saya jangka akan digunakan oleh parti-parti politik yang menurunkan calon Melayu.

Namun, seperti yang saya tegaskan, strategi ini hanya berkesan kepada pengundi Melayu, malah VMF dan BMF boleh menjadi senjata makan tuan jika dimainkan secara keterlaluan kerana calon akan ditolak oleh pengundi bukan Melayu.

Banyak perkara tersirat yang menjadikan PRK P165 Tanjung Piai sangat penting kepada PH dan BN, terutamanya untuk mengukur sokongan pengundi kepada kedua-dua gabungan ini setelah setahun lapan belas bulan PH memerintah dan setelah terbentuknya Muafakat Nasional.

Bagi PPBM, PRK ini menentukan maruah mereka kerana calon PPBM, Muhammad Aiman Zainali telah kalah di kerusi yang mereka sandang pada PRK Semenyih; jika PPBM kalah lagi, ini bermakna mereka kalah dalam semua PRK yang mereka tandingi setakat ini.

Tambahan, pada PRU 14, Johor merupakan negeri yang paling banyak memberi kerusi kepada PPBM. 5 daripada 13 kerusi Parlimen serta 8 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh PPBM pada PRU 14 ialah di Johor.

Mungkin atas dasar inilah PPBM memilih Karmaine Sardini, calon veteran yang mereka rasakan lebih selamat berbanding menampilkan calon muda yang tidak dikenali serta tidak mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi.

PH sebagai parti yang memerintah kerajaan pusat dan negeri Johor tentunya lebih berkemampuan dari segi kewangan, kuasa dan pengaruh berbanding parti-parti lain dan ini sudah tentu memberi kelebihan kepada calonnya.

Bagi BN yang mempertaruhkan calon daripada MCA, ini merupakan ujian besar kepada parti itu, terutamanya dalam menentukan tahap sokongan kaum Cina kepada MCA yang merosot teruk pada PRU 14.

Seperti PPBM, BN juga memilih calon yang dikira selamat, berpengaruh dan tidak asing kepada pengundi di sana walaupun Wee Jeck Seng digelar sebagai calon kitar semula oleh parti lawan.

Ditelan mati emak, diluah mati bapak, pemilihan calon daripada MCA mewakili BN di Tanjung Piai berisiko menjejaskan undi orang Melayu yang mengharapkan calon daripada UMNO, lebih-lebih lagi dengan semaraknya semangat kebangkitan Melayu.

Dari sudut yang lain, ketegasan PAS menyokong Wee Jeck Seng telah membuktikan sikap kemuafakatan dalam pakatan Muafakat Nasional serta iltizam pakatan politik ini untuk tidak meminggirkan kaum lain di dalam memperjuangkan prinsip mereka.

Parti GERAKAN yang mencuba nasib di kawasan yang belum pernah ditandinginya setelah kalah di semua kerusi pada PRU 14 mungkin mengharapkan undi protes daripada pengundi Cina.

Ketika bertanding atas tiket PAS di P165 Tanjung Piai pada PRU 14, parti BERJASA dikatakan hanya mendapat undi daripada penyokong PAS; namun kali ini BERJASA tidak mendapat restu daripada PAS. Saya kira BERJASA menyasarkan undi Melayu dengan kempen VMF dan BMF.

Saya tidak melihat adanya peluang untuk kedua-dua calon bebas iaitu Faridah Aryani dan Dr Ang Chuan Lok untuk membuat kejutan kerana pada dasarnya majoriti pengundi P165 Tanjung Piai merupakan ahli atau penyokong tegar PH iaitu DAP dan PPBM serta BN iaitu UMNO dan MCA.

Untuk rekod, PRK P165 Tanjung Piai telah menempa sejarah sebagai pilihanraya pertama di Malaysia di mana belia seawal usia 18 tahun telah diwartakan layak untuk menjadi calon.

Jelasnya walaupun perkara tersebut telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti yang telah saya jangka, tiada parti yang sanggup mengambil risiko besar sebegini di medan pertempuran yang penting seperti ini.

Walau sesengit mana pun pertempuran di alam maya, keputusan PRK P165 Tanjung Piai terletak di tangan pengundi berdaftar Parlimen Tanjung Piai yang akan membuat pilihan demi masa depan mereka.

Semoga Bangsa Johor tidak lupakan cara Johor.

Johor tetap jadi Johor,
Hidup bermuafakat,
Negeri Berdaulat.


Rencana berkaitan:

Video – Pemuda BN Membuat Laporan Polis Terhadap Menteri Pertanian, Kenyataan Berbaur Perkauman

[MalaysiaGazette}- Ketua Pemuda BN Johor, Mohd Hairi Mad Shah bercakap kepada media semasa membuat laporan polis terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkaitan isu yang diviralkan OPS Johor sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor.

Rencana berkaitan:

Kenyataan Media PAS Pusat – Mengenai Calon BN PRK Tanjung Piai

PAS yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan suara Pembangkang di peringkat nasional, seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau.

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

CALON BN BAGI PRK TANJUNG PIAI

1. Saya dengan ini mengesahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bersetuju dengan calon yang dikemukakan sebagai Calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti, iaitu Dato’ Sri Wee Jeck Seng dari MCA.

2. PAS yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan suara Pembangkang di peringkat nasional, seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau.

Sokongan ini juga adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lalu.

3. PAS juga akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan Parti untuk menghadiri Hari Penamaan Calon pada 02 November 2019 sebagai sokongan kepada Calon Pembangkang.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS.

Bertarikh: 31 Oktober 2019.

Video – Karmaine: Orang kampung perlu bersyukur, walau harga sawit rendah

[Malaysiakini}- Kemerosotan harga kelapa sawit menjadi isu penting buat sebahagian daripada pengundi terutama yang terlibat sebagai pekebun kecil di kawasan ini.

Calon PH, Karmaine Sardini, berkata penanam kelapa sawit patut tetap bersyukur.

Ketika berucap di pusat daerah mengundi Penerok malam tadi, Karmaine berkata PH menerima banyak aduan tentang harga minyak kelapa sawit yang merosot ke RM270 bagi setiap satu tan.

“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit… banyak sebenarnya.

“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.

Dia turut berkata keadaan pernah menjadi lebih teruk semasa negara ini di bawah pemerintahan BN apabila harga minyak sawit jatuh serendah RM87 setan.

Rencana berkaitan:

Video – Ini Arahan Setiausaha Agung PAS Ekoran Berjasa Bertanding PRK Tanjung Piai

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan telah membuat satu kenyataan tegas bahawa PAS mengarahkan ahlinya di kawasan P165 Tanjung Piai untuk tidak mengundi calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November nanti.

Kenyataan ini dibuat susulan Berjasa meletakkan presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon Berjasa dalam pertandingan 6 penjuru pada PRK P165 Tanjung Piai.

Semalam PAS membuat kenyataan meminta Berjasa menarik balik hasratnya meletakkan calon pada PRK tersebut bagi menghormati kerjasama Berjasa bersama PAS di bawah Gagasan Sejahtera.

BERNAMA melaporkan, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, Berjasa yang berada di bawah Gagasan Sejahtera bersama PAS dan Ikatan adalah terikat dengan kerjasama di bawah gagasan itu.

Katanya, dalam kes PRK Tanjung Piai, PAS pula menghormati keputusan Barisan Nasional (BN), yang ditunjangi UMNO, untuk meletakkan calon dari MCA berikutan kerjasama menerusi piagam Muafakat Nasional bersama UMNO.

“Saya menasihati mereka (Berjasa) supaya jangan berbuat demikian (meletakkan calon sewaktu penamaan esok). Kita (PAS) dah beri laluan kepada BN untuk letakkan calon, maka BN dah putuskan calon yang bertanding adalah MCA,” katanya kepada Bernama, ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, PAS serta parti-parti di bawah Gagasan Sejahtera perlu membuktikan mereka berfikiran terbuka.

BERNAMA – PAS harap Berjasa tarik balik hasrat letak calon untuk PRK Tanjung Piai

Semalam, Malaysiakini di bawah tajuk, ‘PAS digesa panggil mesyuarat Gagasan Sejahtera’ melaporkan bahawa, Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa PAS segera mengadakan mesyuarat membabitkan pemimpin parti komponen Gagasan Sejahtera bagi membincangkan keputusan Berjasa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Rencana berkaitan:

SAH – 6 Calon Bertanding di Tanjung Piai


Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebentar tadi baru sahaja mengumumkan calon-calon bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang bakal berlangsung pada 16 November ini.

Calon-calon yang diumumkan adalah seperti berikut

  • Wendy Subramaniam, 38 (GERAKAN)
  • Wee Jeck Seng, 55 (Barisan Nasional)
  • Dr Ang Chuan Lock, 49 (BEBAS)
  • Hj. Karmaine bin Sardini, 66 (Pakatan Harapan)
  • Dato’ Dr. Badrulhisham, 55 (BERJASA)
  • Faridah Aryani Abdul Ghafar, 43 (BEBAS)

PRK Tanjung Piai ini merupakan pilihan raya kecil kesembilan yang diadakan sejak PRU 14 pada Mei 2018.

Rencana berkaitan:

Siapa yang AUTA? Bahang PRK Tanjung Piai Semakin PANAS!

Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai menjadi semakin panas sehingga saya yang hanya merupakan seorang blogger remaja pun telah terkena bahangnya!

“Satu kenyataan Ahmad Ali Karim yang buat saya was was dengan tulisannya AUTA ialah apabila dia kata BERJASA TELAH MEMBAYAR DEPOSIT UNTUK BERTANDING.”

Kenyataan di atas beberapa kali tertera di dalam satu laman sosial di alam maya, merujuk kepada artikel saya yang bertajuk, “Berjasa Umum Bertanding PRK Tanjung Piai”. di mana saya hanya memetik berita yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian di bawah tajuk, “Berjasa umum tanding PRK Tanjung Piai”, walhal dalam tulisan saya di blog, saya telah sertakan pautan kepada artikel asal di akhbar tersebut.

Penulis memberi sebab:

“Setahu saya calon hanya perlu bayar deposit semasa mereka MENYERAHKAN kertas pencalonan mereka. (sila rujuk di bawah)”

Untuk rekod, berkenaan hal berbangkit, Sinar Harian melaporkan:

“Ketua Penerangannya, Hazwan Mohammad berkata, pihaknya telah membuat bayaran deposit kepada kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada pagi tadi.”

Portal ISMAWeb di bawah tajuk, “Berjasa umum tanding PRK Tanjung Piai” juga telah menulis perkara yang sama tetapi dengan maklumat yang lebih terperinci:

“Seperti mana yang kami janjikan dahulu, jika MCA masuk (PRK Tanjung Piai) kami akan bertanding. Sebentar tadi kami telah bayar deposit sebanyak RM15,000 untuk calon dan bahan kempen. Insya-Allah kami akan bertanding di Tanjung Piai,” kata Prof Badhrulhisham.

Sekarang, adakah tuduhan ke atas saya itu serta alasan yang sama akan terpakai kepada akhbar Sinar Harian dan lebih-lebih lagi portal ISMAWeb yang telah melaporkan bahawa parti Berjasa telah membayar deposit sebanyak RM15,000? ISMAWeb menulis bahawa laporan mereka adalah berdasarkan kenyataan Presiden Berjasa, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Begitulah adat dalam perjuangan hidup, mudah-mudahan Allah memelihara dan memberkati usaha dan hidup kita.

Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi tunjuk ajar, mendoakan dan menyokong saya.

Rencana berkaitan:

%d bloggers like this: