Bagaimana Politik Negara Berubah Daripada Pentadbiran Kepada Pertandingan

[ baca versi jawi di sini ]

Dunia berubah dengan begitu pantas. Kadangkala, perkara yang pada awalnya dianggap aneh, boleh menjadi ikutan dalam sekelip mata. Sehinggakan perkara-perkara negatif pun, setelah ‘dibiasakan’ dalam masyarakat, boleh diterima sebagai perkara ‘biasa’.

Ini termasuklah hal-hal yang dianggap salah dari sudut etika dan moral. Begitu juga dengan amalan politik tempatan.

Dahulunya dalam konteks politik tempatan, pemimpin yang melompat parti dikatakan pemimpin yang tidak berprinsip. Apalagi jika lompatan itu dibuat setelah mereka memenangi pilihan raya di atas tiket parti yang mereka tinggalkan.

Namun, pasca-PRU14, amalan ini sudah seakan-akan menjadi perkara biasa.

Para pemimpin yang dahulunya lantang menentang amalan lompat parti, kini memuji amalan ini kerana lompatan itu menguntungkan parti mereka.

Maka lahirlah hujah-hujah baharu bagi mempertahankan senario ini, seperti “katak berprinsip.”

Beberapa hari setelah Barisan Nasional kalah dalam PRU14, kita melihat ‘acara lompat parti’ secara besar-besaran oleh ahli-ahli parlimen yang baru sahaja menang atas tiket BN ke Pakatan Harapan.

Sejak itu, politik Malaysia menjadi begitu panas dan bersifat terlalu kompetitif sehingga berlaku berbagai-bagai keadaan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

Bagi yang mahu mencari peluang menempatkan diri di tempat yang lebih tinggi dan selamat, mereka menyeberang mengikut arus yang mengalir.

Yang menerima pula begitu gembira menerima orang yang menyeberang kerana dapat menambah bilangan kerusi parlimen bagi menguatkan kedudukan parti.

Malah lompatan juga berlaku dalam kalangan pakatan parti yang sama.

Dalam keadaan yang meruncing, tambahan satu kerusi pun begitu besar skala impaknya dalam menentukan suara parti. Semangat setia kepada parti dalam kalangan sesetengah pemimpin politik sudah menjadi semakin tipis. Parti baharu serta pakatan politik baharu timbul silih berganti, biasanya dipimpin oleh individu yang dahulunya memimpin parti yang sudah ada.

Pemainnya sama, cuma parti yang berbeza. Seolah-olah penjenamaan baharu untuk menarik lebih ramai penyokong. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun pasca-PRU14, kita telah diperintah oleh tiga kerajaan yang dipimpin oleh tiga Perdana Menteri.

Memang sukar bagi pakatan politik yang rapuh hubungannya untuk kekal stabil dalam jangka masa yang lama.

Walaupun dinafikan, namun kita boleh membaca dengan jelas bahawa tujuan pakatan di antara sesetengah parti adalah tidak lebih daripada sekadar untuk mengalahkan pihak musuh yang sama.

Akhirnya akibat tiada persefahaman serta perebutan kuasa, pemimpin-pemimpin mereka bercakaran sesama sendiri.

Majoriti yang tipis juga menjadikan kedudukan kerajaan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya dengan peralihan sejumlah kecil sahaja Ahli Parlimen sudah cukup memporak-perandakan keadaan.

Dalam suasana di mana ramai ahli politik mengamalkan politik persaingan tidak sihat, kita perlu lebih bijak dalam memilih wakil rakyat kita. Parti-parti politik juga mesti mencalonkan individu yang benar-benar mahu memimpin dan tidak melompat-lompat setelah menang untuk kepentingan diri.

Pemimpin yang perlu kita pilih hendaklah berdasarkan sifat yang jelas dilihat tanpa perlu diiklankan kehebatan orangnya melalui pelbagai propaganda.

Jangan sampai kita mudah termakan janji-janji politik yang belum tentu akan ditunaikan jika mereka menang.

Kita mengharapkan pemimpin yang boleh memimpin negara dan bukannya mereka yang hanya tahu bercakap dan membawa idea yang bukan-bukan serta tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik, ditambah pula dengan masalah Covid-19 yang belum pulih, kita tidak mampu lagi memperjudikan nasib bangsa dengan langkah yang kurang tepat.

Fikir dahulu sebelum memangkah, supaya tidak tersilap langkah. Jadilah pengundi yang bijak, supaya kita tidak dipijak.

Ingatlah – krisis politik yang tiada kesudahannya hanya akan menghancurkan negara.

PRN Johor: Benar Bacaan Saya

Susulan kekalahan teruk parti-parti pembangkang di Johor, alasan demi alasan telah diutarakan oleh parti-parti yang tewas bagi menjustifikasikan kekalahan mereka; satu amalan biasa bagi orang-orang politik.

Walhal, bagi saya hal ini sudah dapat dijangka jika kita jujur dalam menganalisa data dan sentimen pengundi di lapangan.

Jelas benar bacaan politik saya sehari sebelum hari mengundi ketika dijemput menjadi salah seorang panel bagi program Analisis di TV Al-Hijrah bersama pengacara Finaz Yunus.

Bersama dua pemimpin politik iaitu Mohamed Sukri Omar dan Rasid Abu Bakar kami menganalisis isu panas, “Calon Muda Pilihan Pengundi Muda Johor?”.

Tonton rakaman penuh episod Analisis @ TV AlHijrah

Mohamed Sukri Omar ialah Ketua Pemuda Pas dan PN Selangor manakala Rasid Abu Bakar merupakan Ketua Penerangan Muda Johor merangkap calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi DUN Larkin.

Sebagai pelajar generasi Undi18 yang bukan ahli mana-mana parti politik, pendapat saya lebih tertumpu kepada data serta isu sebenar dan bukannya untuk mempromosikan propaganda politik menurut naratif politik kepartian.

Saya membaca politik orang muda Johor (OMJ) daripada sudut perspektif rentak politik Bangsa Johor.

Bangsa Johor sudah lama matang berpolitik. Gaya politik orang Johor begitu unik dan mungkin sukar untuk difahami oleh orang luar tanpa mendalami jati diri Bangsa Johor.

Akibatnya, ada pemimpin politik yang bukan sekadar cuba membawa masuk gaya politik luar, malah mendakwa cara merekalah yang betul; lantas mengungkapkan ayat-ayat aneh yang merendah-rendahkan Bangsa Johor apabila gagal mendapat sokongan.

OMJ sudah muak dengan cara politik lama dan janji politik yang retorik.

Tiada tahu menari, dikatakan lantai jungkang-jungkit. Tak tahu menganyam, pandan disalahkan.

Lihat keputusan penuh PRN Johor:
Pusat Maklumat PRN Johor
[ prnjohor.ahmadalikarim.com ]

Politik Cantas Mencantas Dalam Kehidupan

Dalam kehidupan hari ini, nampaknya bukan hanya orang politik sahaja yang bermain politik; tetapi ianya berlaku di mana-mana sahaja.

Malah, permainan politik di luar parti politik tidak kurang hangatnya.

Ada politik pejabat, politik dalam syarikat, pertubuhan, persatuan, organisasi dan termasuk juga permainan politik dalam keluarga.

Sering kali juga timbul permainan politik kotor yang membawa kepada salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya akibat perasaan tamak, hasad dengki dan tidak amanah.

Hakikatnya, permainan politik kotor bukan hanya berlaku di dalam gelanggang politik negara, tetapi kerap berlaku di mana-mana sahaja atas tujuan tertentu.

Fitnah jahat serta mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri adalah di antara amalan-amalan keji yang akhirnya merosakkan sistem kemasyarakatan. Telunjuk lurus, kelingking berkait.

Perkara ini bukanlah perkara baharu. Malah, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dahulu pun adalah akibat pengkhianatan orang dalam yang tidak amanah dan sanggup bersekongkol dengan musuh.

Pemimpin cerminan kepada rakyat, jika pemimpin bermasalah, maka itulah gambaran keadaan masyarakatnya, baik negara, pertubuhan atau apa sahaja organisasi yang berkaitan.

Lihat gelagat sesetengah pemimpin politik ketika perbahasan di Dewan Rakyat. Ada yang tidak segan-silu menjerit-jerit, tidak menjaga adab, bercakap kasar serta menggunakan bahasa yang kurang sopan; walaupun mereka tahu bahawa rakyat sedang memerhati; dan percakapan mereka direkodkan dalam hansard.

Apakah itu sikap yang patut diteladani rakyat, khususnya generasi muda?

Ada juga pemimpin politik serta pemimpin masyarakat yang mempertikaikan undang-undang serta apa yang telah jelas digariskan di dalam Perlembagaan dengan membuat tafsiran baharu mengikut selera mereka.

Malah ada yang bersikap biadap sehingga sanggup mempertikaikan kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu, mempertikaikan kuasa eksekutif Yang DiPertuan Agong serta tiada perasaan taat setia kepada Raja dan negara.

Maka tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan rakyat yang terpengaruh sehingga bukan sahaja tidak menghormati, malah sanggup menghina Raja-Raja Melayu.

Ironinya, mereka sendiri tidak suka jika mereka dihina sebegitu atau dipersoal tindakan mereka. Mereka mahu dihormati serta dipatuhi secara mutlak.

Masyarakat yang tidak beradab dan bertindak sesuka hati mengikut nafsu akan meruntuhkan budaya dan tamadun bangsa.

Ini membawa kepada budaya anarki yang sinonim dengan sikap individuistik dan hanya mementingkan diri sendiri, ganas, cenderung memberontak serta menolak pelaksanaan undang-undang yang didakwa satu paksaan ke atas diri mereka.

Lihatlah apa yang terjadi kepada Mesir dan Libya akibat pemberontakkan rakyat.

Negara mereka hancur, dan setelah mereka bergadai nyawa mengadakan revolusi, hidup mereka lebih sengsara daripada sebelumnya.

Ramai yang terpaksa menjadi pelarian untuk mencari kehidupan di negara luar.

Amat sukar untuk membina sesebuah negara namun ianya boleh dihancurkan dengan hanya sekelip mata; ibarat kata pepatah bahasa Inggeris, “Rome wasn’t built in a day, but burned in one“. Ini juga terpakai kepada sebarang organisasi dalam masyarakat.

Sukar dan menyiksakan untuk hidup dalam dunia yang tidak lagi mengenal erti kejujuran dan keikhlasan. Ramai yang ibarat menahan lukah di pergentingan.

Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah dan kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.

Khalid Samad Boneka Siapa?

Related articles:

  1. What A Joke, Khalid Samad

  2. Sultan Selangor Murka Khalid Samad Biadap

  3. #MH370: Khalid Samad Tak Faham Fakta?

  4. PAS’s Khalid Samad On Allah Issue

  5. GE13: Khalid Samad Mengamuk: Takut Zul Noordin Ke?

  6. What Ibrahim Ali And Khalid Samad Say To Nurul Izzah’s Statement

%d bloggers like this: