Exco Johor, Datuk Onn Hafiz hari ini menyerahkan bantuan asasi kepada mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus Skudai.
Sejak hari Isnin, PKPD telah dilaksanakan di lapan blok di kolej kediaman kampus akibat penularan virus Covid-19.
Dengan dibantu oleh pasukan sukarelawan Southern Volunteers, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Johor itu telah menyerahkan pelbagai barangan asasi seperti makanan kering dan keperluan wanita kepada mahasiswa yang terkesan.
Pihak UTM diwakili oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diketuai Sdr Ammar Aiman bin Abdul Bahar dan jawatankuasanya, serta dibantu Southern Volunteers UTM di Rumah Alumni UTM.
Antara lapan blok yang terlibat dalam PKPD tersebut ialah Blok S39, S42 dan S43 Kolej Tuanku Canselor, Blok L12 Kolej Tun Hussein Onn, Blok H12, H13 dan H25 Kolej Tun Fatimah dan Blok UB2 Kolej 10.
Bantuan ini dibekalkan agar dapat meringankan beban mahasiswa-mahasiswi yang terlibat dengan pelaksanaan PKPD.