GPS Bentuk Kerajaan Wilayah

Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memenangi Pilihan Raya Wilayah Sarawak bagi membentuk kerajaan wilayah baharu selepas menang 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Wilayah Sarawak ke-12.

GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menang di 76 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, berbanding pembangkang yang hanya menang enam kerusi.

Parti-parti PKR, PAN, Aspirasi dan PBK antara yang langsung tidak memenangi mana-mana kerusi, dan hanya PSB dan DAP sahaja yang berjaya memperoleh empat dan dua kerusi masing-masing.

Baca keputusan penuh di
Pusat Maklumat PRN Sarawak

Abang Johari yang pertama kali bertanding di kerusi DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang disandangnya sejak sembilan penggal lalu, menang dengan 4,310 undi.

Beliau menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, yang memperoleh 703 undi, calon Parti Amanah Negara, Cikgu Kamal (94 undi) dan calon Parti Bumi Kenyalang, Tomson Ango (157 undi).

Tidak Rasmi: GPS Mendahului di Kebanyakan Kerusi, Sah Menang Besar di 2 Kawasan

Setakat jam 6.45 petang, Gabungan Parti Sarawak telah memenangi dua kerusi dan mendahului di kebanyakan kawasan dalam Pilihan Raya Wilayah Sarawak ke-12.

Kawasan DUN N27 Sebuyau dan N65 Belaga telah sah dimenangi oleh gabungan parti itu dengan majoriti 4,134 dan 2,245 masing-masing, setakat ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.

Menurut laporan Malaysiakini, GPS turut memenangi tiga lagi kerusi lain iaitu di N37 Bukit Saban, N58 Balingian dan N66 Murum, namun pihak kami belum dapat mengesahkan hal tersebut serta perinciannya.

Segala keputusan terkini akan dikemas kini pada Pusat Maklumat PRN Sarawak 2021 di:

[ ahmadalikarim.com/sarawak2021 ]

Pengundi Sarawak Ditimpa Hujan Lebat, Angin Kencang

Proses Pilihan Raya Wilayah Sarawak menghadapi sedikit rintangan apabila beberapa kawasan di wilayah tersebut ditimpa hujan lebat sejak awal pagi tadi, mengakibatkan proses pembuangan undi terganggu.

Kanopi-kanopi dilaporkan tercabut akibat angin kencang sehinggakan ia perlu dialih ke kawasan yang lebih selamat.

Menurut laporan Malaysiakini, sebuah kanopi pegawai kesihatan di kawasan perlu dipindah kerana hampir rosak apabila ditiup angin yang kuat.

Walaupun dalam keadaan cuaca yang buruk, pengundi tetap meredah hujan yang lebat bagi meneruskan proses pemilihan di wilayah tersebut.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menyarankan warga wilayah untuk mengundi pada awal hari kerana kebanyakan tempat di Sarawak dijangka akan ditimpa hujan lebat pada sebelah petang.

Namun begitu, sesetengah kawasan seperti Bawang Assan telah menghadapi hujan yang lebat seawal jam 8 pagi tadi.

Setakat jam 2.00 petang, seramai 48% pengundi atau kira-kira 580,000 pengundi telah membuang undi di serata negeri.

Baca seterusnya: Kurang 50% Keluar Mengundi Setakat 2 Petang

Pusat-pusat undi dijangka akan ditutup pada jam 5 petang nanti.

Kurang 50% Keluar Mengundi Setakat 2 Petang

Sekitar 580,000 warga Sarawak telah keluar mengundi setakat jam 2.00 petang bagi proses Pilihan Raya Wilayah Sarawak ke-12 hari ini (lazimnya disebut PRN Sarawak).

Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan bahawa seramai 48% daripada pengundi berdaftar telah membuang undi dalam pemilihan yang diadakan hampir setiap 5 tahun itu.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 4% sahaja sejak jam yang lepas iaitu 44% pada pukul 1.00 tengah hari.

Terdahulu, SPR telah melaporkan bahawa 32% telah keluar mengundi pada jam 11.00 pagi, 22% pada 10.00 pagi dan 11% pada 9.00 pagi.

Warga wilayah Sarawak disarankan untuk keluar awal bagi proses pemilihan kerana hujan lebat dijangkakan pada sebelah petang hari.

PRN Sarawak: 39% Keluar Mengundi Setakat 12 Tengah Hari

Kira-kira 470,000 rakyat wilayah telah keluar mengundi setakat jam 12.00 pagi hari ini bagi Pilihan Raya Wilayah Sarawak (lazimnya disebut PRN Sarawak).

Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), seramai 39% rakyat 1,252,014 pengundi berdaftar telah membuang undi dalam pemilihan yang diadakan hampir setiap 5 tahun itu.

Terdahulu, SPR telah melaporkan bahawa 32% telah keluar mengundi pada jam 11.00 pagi, 22% pada 10.00 pagi dan 11% pada 9.00 pagi.

Sebelum ini, warga wilayah Sarawak disarankan untuk keluar awal bagi proses pemilihan kerana hujan lebat dijangkakan pada sebelah petang hari.

%d bloggers like this: