PKPB Dilanjutkan Sehingga 9 Jun

Versi Jawi akan menyusul.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya.

“Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.

“Justeru, atas nasihat KKM dan MKN, saya ingin mengumumkan PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei 2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu lagi,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Tambah Muhyiddin, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. -{Malaysiakini]

%d bloggers like this: