Ismail Sabri Disaran Perkasa Institusi Parlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran memperkasa peranan institusi Parlimen bagi membolehkan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dibabitkan secara langsung dalam pengurusan negara.

Saranan itu disuarakan veteran UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Shahrir berkata, kegagalan menjadikan Parlimen sebagai landasan mendapatkan sokongan, mandat dan kebersamaan dalam mengurus negara ketika pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi perlu menjadi pengajaran kepada Perdana Menteri kesembilan dan bakal anggota Kabinetnya.

Beliau berkata, peranan Parlimen adalah amat penting bagi memastikan semua pandangan serta cadangan semua Ahli Parlimen diambil kira, apatah lagi itulah sebenarnya punca kuasa kepada Perdana Menteri.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memberikan nasihat sama apabila meminta semua pihak tanpa mengira parti politik perlu dibabitkan bagi membantu rakyat dan negara keluar daripada wabak COVID-19.

“Dalam kerajaan demokrasi berparlimen, adalah sangat penting memastikan libat urus dengan semua Ahli Parlimen dalam mendapatkan mandat dan sokongan terutamanya membabitkan dasar penting negara.

“Apatah lagi negara berhadapan cabaran getir yang tidak pernah dihadapi iaitu wabak COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat, malah ekonomi negara turut terkesan teruk.

“Bagi saya Perdana Menteri kesembilan harus memperbaiki kesilapan pentadbiran sebelum ini yang tidak menggunakan Parlimen sebagai landasan utama mentadbir negara dan membabitkan penyertaan semua ahli Parlimen dalam membuat dasar utama untuk rakyat.

“Di Parlimen bukan sahaja membabitkan sesi soal jawab atau perbahasan malah terdapat juga pelbagai jawatankuasa yang dianggotai Ahli Parlimen merentas parti politik yang boleh digerakkan memberi saranan, membuat siasatan dan juga mengkaji apa jua isu negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Shahir berkata, Perdana Menteri kesembilan tidak boleh menolak Parlimen sebagai asas pentadbiran jika mahu ahli Parlimen terus memberi mandat dan menyokongnya.

“Jangan tolak Parlimen. Jangan ego sehingga mewujudkan tekanan pada pentadbiran selain tidak memberi peluang pada Ahli Parlimen berkongsi pandangan dan saranan.

“Teliti dan dengarilah setiap pandangan dan saranan dikemukakan tidak kiranya menerusi perbahasan atau jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan. Lebih konsultatif serta sanggup mendengar apa yang diutarakan Parlimen.

“Inilah perbezaan identiti yang dapat membezakan kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan dengan pentadbiran sebelum ini, sekali gus memperbaiki kegagalan,” katanya. -{Berita Harian]

BIODATA Ismail Sabri Yaakob – Perdana Menteri ke-9

Baca versi Jawi di sini

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong pada hari ini. Beliau bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri pada hari Sabtu, 21 Ogos 2021 di Istana Negara.

[baca berita penuh di sini]


JAWATAN DALAM KERAJAAN:

  • 2008-2009 : Menteri Belia dan Sukan
  • 2009-2013 : Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan
  • 2013-2015 : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
  • 2015-2018 : Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
  • 2020-2021 : Menteri Kanan (Keselamatan)
  • 2021 : Timbalan Perdana Menteri

JAWATAN DALAM POLITIK:

  • 1987 : Ahli Jawatankuasa UMNO Temerloh
  • 1988 : Ketua Penerangan UMNO Temerloh
  • 1993 : Ketua Pemuda UMNO Temerloh
  • 2001 : Timbalan Ketua Bahagian UMNO Temerloh
  • 2004 : Ketua Bahagian UMNO Temerloh
  • 2019 : Ketua Pembangkang
  • 2018-kini : Naib Presiden UMNO

AHLI DEWAN RAKYAT:

2004-kini : Kawasan Bera

Agong Lantik Ismail Sabri Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Baca versi Jawi di sini.

Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

[baca biodata Ismail Sabri Yaakob]

Ismail, 61, dijadualkan untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada hari esok, Sabtu 21 Ogos 2021 pada jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di Istana Negara.”

Pencalonan Perdana Menteri dibuat berdasarkan surat-surat akuan daripada semua Ahli Dewan Rakyat dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti di Parlimen.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.”

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan Baginda agar pelantikan Perdana Menteri baharu ini dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera, dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dalam usaha menangani wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.”

Keputusan Yang di-Pertuan Agong dibuat selepas Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara petang tadi, bagi tujuan membuat keputusan mengenai perihal pemilihan Perdana Menteri ke-9.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Sebuah undi kepercayaan bakal diadakan di Parlimen untuk mengesahkan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ku Li Ditawarkan Jawtan PM 2 Kali, Sebelum Beralih Kepada Ismail Sabri

Sebuah laporan eksklusif akhbar Sinar Harian telah melaporkan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telahpun ditawarkan jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat ini, sebelum keputusan tersebut beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut laporan tersebut, ahli-ahli MKT UMNO telah menandatangani persetujuan untuk memberi kuasa kepada Ahmad Zahid sebagai presiden parti, dan memutuskan bahawa hanya ada satu calon daripada parti itu iaitu Tengku Razaleigh sahaja.

Seorang individu yang rapat dengan Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, telah memaklumkan hal demikian kepada pihak akhbar baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan juga bahawa lebih 40 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sudah tandatangan persetujuan untuk memberi kuasa kepada presiden (Ahmad Zahid) dan telah memutuskan hanya satu calon daripada parti iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh) sahaja.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Tengku Razaleigh telah didatangi beberapa pemimpin daripada Biro Politik UMNO bagi yang memujuknya untuk menjadi calon Perdana Menteri, kerana mereka mendapati tidak ada pimpinan daripada UMNO ketika itu yang boleh diketengahkan.

“Biro politik UMNO telah datang bertemu Ku Li menawarkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, dua bulan yang lalu namun tidak sangka ada calon lain pada saat akhir.

“Yang datang menemui Ku Li ialah Ahmad Zahid sendiri, timbalannya (Datuk Seri Mohamad Hasan), Ketua Pemuda UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) serta Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama bekas Perdana Menteri, Najib Razak melawat Tengku Razaleigh di kediamannya pada 24 Mac 2021.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini MKT UMNO melalui sebuah mesyuarat pada malam Selasa lalu telah memutuskan untuk memberi mandat kepada 42 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional bagi memuktamadkan calon mereka, dan akhirnya nama Ismail Sabri yang diangkat untuk menjadi calon rasmi UMNO.

“Sebelum ini Ku Li diberitahu bahawa parti melalui MKT sudah memuktamadkan kuasa menamakan calon Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Li adalah calonnya.

“Beliau (Ku Li) tidak marah atau menganggap itu satu pembelotan atau pengkhianatan namun apa yang berlaku amat tidak baik untuk masa depan parti itu nanti.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil mengadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9, di mana wakil-wakil rakyat tersebut akan mengadap Seri Paduka Baginda selama 2 minit bagi mengesahkan surat akuan bersumpah mereka.

Tujuan utama pertemuan itu adalah bagi memastikan sokongan yang diberi melalui akuan bersumpah itu bukan dilakukan kerana terdapat paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak, dan merupakan keputusan ikhlas dari diri mereka.

Yang di-Pertuan Agong telah menekankan bahawa kepercayaan yang diberi hendaklah terang, jelas dan tanpa syarat, serta perlu dirahsiakan sehingga Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi hal tersebut.