Istana Negara telah mengumumkan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Beliau akan mengangkat sumpah pada jam 5.00 petang hari ini di Istana Negara.
Keputusan tersebut dibuat Yang di-Pertuan Agong setelah mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang bersidang sebentar tadi.
Baginda mengingatkan kepada semua bahawa yang menang tidak menang semua, dan yang kalah juga tidak kalah semua.
Menyifatkan negara kita sebagai harta pusaka, Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.
“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara.
“Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa … diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah.”