Singkirkan Petualang Dalam UMNO – Tengku Razaleigh

22 06 2018

[Berita Harian}- SHAH ALAM: Perwakilan UMNO di seluruh negara perlu menggunakan pemilihan parti pada hujung bulan ini untuk menyingkirkan petualang dalam parti, kata calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li bagaimanapun enggan menyebut nama petualang itu, namun beliau yakin perwakilan tahu pihak yang dimaksudkannya itu.

“Dalam UMNO ramai petualang dan kita kena lakukan ‘pembersihan’ dalaman. Petualang ini menggunakan kedudukan dalam parti untuk kepentingan diri sendiri, saudara-mara dan kawan-kawan.

“Disebabkan petualang inilah rakyat marah dan benci dan terhadap UMNO. Tiada guna diadakan pemilihan jika akhirnya barisan kepemimpinan yang dipilih tiga atau enam tahun lalu dipilih sekali lagi,” katanya.

“Ahli UMNO atau rakyat di luar sana mahukan orang lain untuk memimpin parti, bukannya mengangkat sekali lagi barisan pemimpin ketika era pentadbiran Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh di sini, malam tadi.

Antara yang hadir memberi sokongan kepada Tengku Razaleigh ialah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari; Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Ishak Harun; Ketua Umno Bahagian Pandan, Datuk Mohd Haniff Koslan; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Pengerusi Veteran UMNO Selangor, Datuk Ahmad Bahri.

Tengku Razaleigh juga berkata, beliau sudah bersedia untuk bersemuka sekali lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad jika dipilih menerajui UMNO.

“Begitu juga sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kita tunggu dahulu, kita tengok siapa menang jawatan (Presiden UMNO). Selepas itu baru saya fikir untuk terima (ketua pembangkang),” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata hanya Tengku Razaleigh yang mampu mengetuai UMNO untuk ‘melawan’ serangan Dr Mahathir, Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lima calon yang bakal bertanding jawatan tertinggi parti ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin daripada UMNO Bahagian Iskandar Puteri.





Ku Li Tanding Jawatan Presiden UMNO

16 06 2018

[Berita Harian}- KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

“Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, saya yakin dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan UMNO sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Beliau, yang juga dikenali sebagai Ku Li, pernah menjadi Menteri Kewangan pada 1976 hingga 1984.

Pada usia 81 tahun, Ku Li adalah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang dimenangi pada 1974, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Sehingga kini, pemangku Presiden merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, adalah satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding untuk jawatan itu.

Pada peringkat Timbalan Presiden pula, dua nama sudah mengesahkan untuk bertanding iaitu Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media tadi ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani .

Related Articles:

  1. Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li
  2. Mengapakah Tun M Pilih KJ?




Mengapa Perlu Saya Merangkak Ke Dr Mahathir, Kata Ku Li

10 06 2018

[FMT}- KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan “merangkak” ke Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya dia pemangku presiden Umno.

“Untuk apa? Mengapa saya perlu merangkak kepadanya? Dia dari parti lain. Dia sudah meninggalkan parti kita yang dia tubuhkan dengan Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di kediamannya hari ini.

Tengku Razaleigh ditanya adakah beliau akan berjumpa Dr Mahathir sekiranya dia pemangku presiden Umno.

Soalan itu merujuk pertemuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dr Mahathir minggu lepas.

Razaleigh tidak mahu mengulas pertemuan itu.

“Orang tanya saya mengapa Zahid pergi jumpa Dr Mahathir dan minta nasihat daripada dia macam mana nak uruskan Umno. Itu dia punya hak, saya tak mahu komen,” katanya.

Ditanya adakah dia berdendam dengan Dr Mahathir, Tengku Razaleigh menjawab: “Tidak ada. Saya tak bergaduh dengannya.”

Beliau menambah Dr Mahathir kawan lamanya dan “dia seorang yang istimewa”.

Dr M bukan lagi diktator?

Tengku Razaleigh tidak percaya Dr Mahathir sudah berubah seperti yang diperkatakan peminat dan bekas pengkritik.

Beliau berkata Dr Mahathir masih orang yang sama.

“Beliau masih sama cuma pakai baju lain…baju lama dah buruk. Macam itulah orangnya 23 tahun lalu, dia seperti itu 22 tahun lalu, dan saya rasa dia masih begitu pada hari ini,” katanya.

Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Tengku Razaleigh meminta media perhatikan PPBM yang baru ditubuhkan Dr Mahathir sebagai contoh.

“Anda nampak barisan kepimpinan parti yang baru ditubuhkan itu tetapi mengetuai kerajaan di Kedah, Perak, Johor dan di tempat lain, dan anda nampak bilangan jawatan Kabinet yang dipegang mereka,” katanya.

(PPBM hanya memenangi 13 daripada 116 kerusi Pakatan Harapan tetapi memegang 3 jawatan Kabinet setakat ini dan juga perdana menteri.)

Ditanya sama ada orang ramai akan akhirnya sedar Dr Mahathir belum berubah: “Saya tidak tahu. Terserah kepada orang ramai, bukan saya yang patut cakap.”

Tengku Razaleigh, 83, merupakan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat, mewakili Gua Musang sejak 1986.

Bekas menteri kewangan ini pernah berkhidmat dalam Kabinet pertama Dr Mahathir.

Dr Mahathir, 93, kembali berkuasa bulan lepas sebagai ketua Pakatan Harapan selepas meninggalkan Umno pada 2016 dan menubuhkan parti baru, PPBM.





Ku Li Akan Berdepan Tun M Sekali Lagi?

3 06 2018

Adakah Ku Li Akan Berdepan Tun M Sekali Lagi?

Itulah yang bakal terjadi jika beliau memilih untuk bertanding dan memenangi jawatan Presiden UMNO!


UTUSAN – GUA MUSANG – Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sedia mempertimbangkan permintaan akar umbi supaya beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau menghargai sokongan dan pandangan peringkat akar umbi di seluruh negara yang mahukannya mengambil alih pimpinan parti.

Walau bagaimanapun katanya, beliau perlu berfikir masak-masak dan memerlukan sedikit masa untuk menilai perkara itu dari pelbagai sudut.

“Ini (jawatan Presiden) adalah tanggungjawab yang besar dalam keadaan yang baharu.

“Saya perlukan masa untuk fikirkan dulu, sebab ini bukan perkara yang mudah kerana ini (ibarat) ketua pasukan ‘sepak takraw’,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati, di sini semalam.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau yakin parti itu masih kuat dan disanjung sebahagian besar rakyat.

“Kita mempunyai bisa lagi dalam erti kata memperjuangkan nasib tak kiralah bangsa apa terutama Melayu dan kita tetap mempertahankan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia iaitu segala keistimewaan yang dirundingkan semasa kita mahu merdeka dahulu.

“Jadi saya rasa tak perlu kita khuatir kerana UMNO akan dipimpin dengan cara yang bijaksana supaya orang Melayu tetap mempunyai suara yang besar dan didengari oleh rakyat di negara ini,” katanya.

Tengku Razaleigh secara berseloroh berkata, beliau juga tidak menyangka terpaksa berdepan sekali lagi dengan pesaingnya dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

“Apalah nasib saya, sebab dulu saya berdepan dengan Dr. Mahathir dan kini berdepan dengan dia lagi.. Ini barangkali ditakdirkan begitu, tetapi saya tak ada niat nak lawan dia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir. Saya berharap dia akan mendapat kerjasama semua pihak untuk memudahkan urusan mentadbir negara dan menyusun semula negara. Kita juga akan bantu dia,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/ku-li-sedia-timbang-tanding-presiden-umno-1.684441#ixzz5HL1SXiFl
© Utusan Melayu (M) Bhd








%d bloggers like this: