PAU2020: Jangan Jadi Gajah Besar Tapi Satu Ranting Tak Boleh Patahkan – Tok Mat

Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan menegaskan bahawa UMNO sebagai parti terbesar perlu bersikap tegas dalam apa jua keadaan dan tidak dipergunakan dan diperalatkan oleh pihak lain.

Di dalam ucapan penggulungannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020, beliau menyifatkan UMNO sebagai seekor gajah yang besar dan gagah, dan harus bertindak seperti gajah, dan bukannya bersifat sebaliknya hingga satu ranting pun tidak boleh dipatahkan.

“Jangan main silat pulut sahaja. UMNO ini, saya kata dalam ucapan perasmian saya, UMNO ini gajah. Kita besar, kita parti terbesar. Tetapi apa guna jadi gajah, kalau masuk hutan pun satu ranting pun tak patah? Satu ranting pun tak patah, gajah apa benda?

“Gajah kalau masuk hutan, pokok tumbang. Dia langgar semua. Jadi kalau nak langgar bulan lapan, langgar! Jangan acah sahaja, tak ada sudahnya!”

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO untuk bertindak dengan bijak, jangan sampai musuh dapat membaca gerakan UMNO untuk menjatuhkan UMNO, dan UMNO juga harus berkeras dengan apa yang telah diputuskan semasa Perhimpunan Agung tersebut.

“Sekali kita langkah, jangan undur. Itu sebabnya saya katakan dulu, langkah kita jangan dibaca oleh orang. Sekarang kita dah beritahu langkah kita. Jaga langkah baik-baik, (jika) bulan lapan pun tak ada apa benda, kita keluar ramai-ramai daripada kerajaan.”

Mohamad juga berkata UMNO harus bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan diadakan tahun ini, jika tidak ditangguh oleh kerajaan.

“Kita nak bawa UMNO ni ke mana? Ya, Putrajaya. Kalau nak buat Putrajaya, kena menang! Kalau setakat kalah, nak Putrajaya binatang apa? Janganlah macam tu, besok pagi nak pilihan raya tapi tak bersedia.”

Terdahulu, UMNO telah memutuskan bahawa parti tersebut akan menarik diri daripada kerajaan persekutuan Malaysia, jika pilihan raya tidak diadakan dalam tempoh yang akan ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi.

Hal itu dipersetujui sebulat suara ahli-ahli UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung parti tersebut petang tadi.

PAU2020: UMNO Akan Tarik Diri Dari Kerajaan; MKT Putuskan Bila

UMNO telah berputus untuk menarik diri dari kerajaan Malaysia, sekiranya kerajaan tidak mengadakan Pilihan Raya Umum selepas tamat tempoh darurat.

Hal itu telah diputuskan ketika Perhimpunan Agung UMNO hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dan diumumkan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ahli-ahli UMNO tidak akan gusar melepaskan jawatan mereka sebagai ahli kabinet menteri dan pengerusi GLC jika hal tersebut berlaku.

Tempoh yang akan diberikan sebelum hal itu dibuat akan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, seperti yang dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli-ahli UMNO yang hadir pada perhimpunan tersebut.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan, UMNO sebagai parti terbesar haruslah berani melangkah sebagai parti terbesar negara, dan jangan menjadi gajah besar yang tidak boleh mematahkan ranting.

“Kita nak bawa UMNO ke mana? Putrajaya. Kalau nak ke Putrajaya, kena menang,” kata beliau ketika ucapan penggulungan sebentar tadi.

Ketika satu sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa hal itu adalah keputusan muktamad, memandangkan bahawa ia telah diputuskan melalui satu perhimpunan agung, dan UMNO tidak lagi di simpangan.

Ahmad Zahid turut menggelar pengkhianat-pengkhianat politik sebagai ‘makhluk perosak’ kerana tidak mengenang jasa dan bantuan yang diberi UMNO sebagai parti terbesar dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Apabila ditanya tentang pemimpin UMNO yang cenderung ke arah Parti Pribumi Bersatu Malaysia, beliau menjelaskan bahawa hal tersebut bukan di bawah bidang kuasa beliau sebagai presiden, tetapi sebaliknya adalah keputusan Jawatankuasa Disiplin.