Calon ‘Parti Tua’ Lebih Muda daripada Calon Parti Muda

Siapakah calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Benarkah beliau bukan dari parti orang muda?

Ada yang menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai ‘parti orang tua’ kerana pengerusinya, Tun Dr. Mahathir merupakan Ahli Parlimen tertua di Malaysia. Maka, ramai beranggapan apabila penyokongnya orang tua tentulah calonnya pun tidak muda.

Sebaliknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia, yang menggunakan singkatan ‘Muda’ disinonimkan dengan golongan muda. Menampilkan presiden parti termuda, mereka membawa naratif bahawa negara mesti dipimpin oleh orang muda seperti mereka.

Menariknya Pejuang dan Muda adalah pecahan daripada PPBM. Semasa mereka berada dalam PPBM, Presiden Muda biasa digelar sebagai cucu Pengerusi Pejuang kerana perbezaan umur dan keakraban hubungan mereka.

PRN Johor merupakan pentas pertama bagi kedua-dua parti yang penuh kontras tetapi pernah bersaudara ini. Justeru, kedua-dua parti baharu ini ibarat baru hendak melangkah ke dalam gelanggang politik.

Dengan stereotaip berkenaan usia ahli parti-parti tersebut, ramai menjangkakan calon termuda PRN Johor akan datang daripada Parti Muda.

Malah, ramai dalam kalangan generasi Undi18 mengharapkan Syed Saddiq akan memberi peluang kepada calon-calon muda seawal usia awal 20-an sepertimana Tun Dr. Mahathir menurunkan Syed Saddiq sebagai calon pada usia 25 tahun.

Namun amat mengejutkan apabila dua calon termuda dalam PRN Johor bukanlah datang daripada parti orang muda, tetapi daripada parti ‘orang tua-tua’ iaitu Parti Pejuang dan MCA (BN). Calon termuda kedua-dua parti ini berusia 26 tahun.

BN sering dikaitkan dengan perihal kolot oleh kumpulan yang menyokong parti orang muda kerana sejarah BN sebagai gabungan politik tertua negara, terutamanya apabila dikira bersama zaman gabungan Perikatan dahulu.

Ironinya, kedua-dua ‘kumpulan tua’ inilah yang berani mengemukakan calon yang paling muda berbanding ‘parti anak muda’.

Calon termuda parti Muda berusia 27 tahun, iaitu Amira Aisya (Puteri Wangsa). Mereka turut menurunkan calon berusia 41 tahun (Azrol Hj. Rahan, Bukit Permai).

Untuk rekod, dalam kebanyakan parti politik tanah air, individu berumur 41 tidak lagi boleh berada dalam ‘sayap muda’.

AMK meletakkan had umur mereka kepada 35 tahun; malah, had umur bagi Pemuda UMNO ialah 40 tahun.

Maka, jangan kita menganggap semua individu yang bernama Muda semestinya berusia muda; beliau mungkin sudah berumur melebihi 80 tahun tetapi masih menyifatkan dirinya ‘muda’.

PRN Johor: Muda Lawan PKR di Larkin

Hari ini parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan mereka juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

Ini bermakna rakan PH akan menentang parti teras PH di DUN tersebut.

Parti itu memilih, Rasid Abu Bakar untuk berdepan dengan Dr Zamil Najwah Arbain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Spekulasi tentang pertindihan calon daripada kedua-dua parti yang berada di bawah bumbung Pakatan Harapan (PH) di Larkin telah lama diperkatakan.

Menarik untuk kita melihat Ketua Penerangan Muda Johor akan menentang Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang di kerusi panas tersebut.

Untuk rekod, media melaporkan parti pimpinan Syed Saddiq itu telah diberi enam kerusi oleh DAP dan PAN, iaitu Tenang, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Machap, Parit Raja, dan Tenang.

Parti itu telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan PKR kerana mahukan tiga kerusi lain yang dikatakan lebih mudah untuk dimenangi.

Berjayakah Parti Muda menewaskan parti otai di kerusi panas ini?

%d bloggers like this: