PRK Tajung Piai Bakal Menyaksikan Calon 18 Tahun?

20 10 2019

Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai akan berlangsung dalam masa kurang sebulan lagi, dan pada malam 16hb November ini kita akan mengetahui siapakah calon yang berjaya memenangi kerusi P165 Tanjung Piai.

PRK ini menjadi amat penting dan bermakna di dalam sejarah negara kerana ia merupakan pilihan raya pertama yang membenarkan seseorang yang berumur 18 tahun menjadi calon.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), jumlah peratusan pengundi belia berdaftar di kawasan Parlimen Tanjung Piai adalah lebih kurang 36%, manakala 64% selebihnya adalah pengundi yang berumur empat puluh tahun ke atas.

Menariknya, jika calon belia berumur 18 tahun diturunkan, apakan beliau akan berjaya mendapat undi sokongan daripada kebanyakan golongan belia disana?

Setakat ini parti politik yang sah akan bertanding ialah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dan bagi pihak PH, kerusi P165 Tanjung Piai dikatakan milik PPBM manakala BN belum mengumumkan sama ada akan menurunkan calon dari MCA atau pun UMNO.

Saya ternanti-nanti apakah akan ada parti politik yang berani mengenengahkan calon yang berusia 18 tahun untuk bertanding di dalam PRK P165 Tanjung Piai nanti.

Dari segi akademiknya, perkara ini amat menarik kerana jika belia muda berjaya memenangi pilihan raya, kita akan dapat menilai apakah faktor umur muda merupakan satu kriteria dalam menentukan kewibawaan seseorang wakil rakyat kerana setakat ini kita cuma bercakap secara teori.

Namun secara realitinya, perkara ini membuka banyak persoalan lain, contohnya beranikah golongan yang lebih dewasa untuk mengundi calon yang berumur 18 tahun walaupun calon tersebut datang daripada parti politik mereka sendiri?

Dan persoalannya seterusnya ialah apakah wajar bagi seorang belia berusia 18 diberi kepercayaan untuk memikul tugas sebagai seorang wakil rakyat?

Menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, “wakil rakyat” bermakna seseorang yang telah dipilih dalam pilihan raya untuk menjadi wakil penduduk di kawasan pilihan rayanya.

Maka dalam kes ini, calon yang memenangi kerusi P165 Tanjung Piai akan membawa suara hati dan memperjuangkan untung nasib rakyat Tanjung Piai ke peringkat pentadbiran Persekutuan.

Justeru, beliau bukan sahaja akan membawa suara hati dan kehendak belia tetapi juga mereka yang lebih dewasi dan telahpun melepasi umur belia.

Apakah belia yang berumur 18 tahun mampu memahami suara hati rakyat yang berumur lebih 60 tahun dan memperjuangkan nasib mereka di Parlimen?

Tepuk dada tanya selera. Pada pandangan saya dari perspektif seorang pemerhati politik tanah air yang belum layak mengundi, belia yang hebat mestilah bersikap terbuka dalam menimba pengalaman hidup daripada mereka yang lebih lama makan garam.

Belia mesti amanah dalam memikul tanggungjawab mereka dan bukannya sekadar mahukan jawatan dengan harapan dapat menjadi seorang menteri pada usia yang muda.

Apakah akan ada calon belia 18 tahun di PRK P165 Tanjung Piai?





PRK Tanjung Piai: Bagaimanakah Sikap Pengundi?

1 10 2019

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai tidak lama lagi, kawasan Parlimen P165 Tanjung Piai akan menjadi meriah dihiasi berbagai poster, bendera parti dan kain rentang yang berwarna-warni serta sibuk dengan kehadiran pemimpin dan petugas parti dari seluruh negara.

Tarikh mengundi awal telah ditetapkan pada 12 November sementara hari mengundi pada 16 November. 

Setiap parti yang bertanding sudah pasti bertekad untuk menang. Justeru, semua pihak pasti sibuk merangka berbagai strategi untuk menang dengan bergaya. Maka untuk itu, kekuatan jentera serta sentimen dan sikap pengundi adalah sangat penting.

Ada yang mengatakan PRK P165 Tanjung Piai ialah medan penentu kejayaan piagam kerjasama Muafakat Nasional tetapi kita semua tahu bahawa kerjasama di antara BN dan PAS telah terjalin di dalam beberapa PRK sebelum ini, dan jelas dilihat sejak PRK P078 Cameron Highlands.

Benarkah sentimen dan kempen ‘Vote Muslim First’ (VMF) akan mempengaruhi sikap pengundi dan akan memberi kemenangan mudah kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika Barisan Nasional (BN) memilih calon dari parti Malaysian Chinese Association (MCA)?

Strategi ini boleh digunakan kepada pengundi Melayu yang menyokong ‘Buy Muslim First’ (BMF) tetapi sanggupkah pengundi yang lantang menentang serta menolak kempen dan sentimen BMF, khasnya pengundi bukan Melayu untuk menjadi penyokong sentimen VMF? Kerana secara logiknya, mereka juga tidak mahu dilihat mengiktiraf VMF dan juga BMF selepas PRU nanti.

Apa lagi jika BMF menjadi sebab kenapa pengundi bukan Melayu menolak calon BN yang dikatakan menyokong BMF. Ironik jika pengundi yang membenci BMF mengundi calon yang dikempen atas dasar VMF, kecualilah jika mereka keliru atau sememangnya penyokong setia parti.

Parlimen P165 Tanjung Piai meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup dengan jumlah pengundi seramai 53,528 seperti yang dilaporkan ketika PRU 14.

Walaupun menang tipis dengan majoriti 524 undi daripada 45,789 jumlah undi yang diterima, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari PPBM yang bertanding atas tiket PKR telah berjaya merampas kerusi tersebut daripada penyandangnya, Datuk Wee Jeck Seng dari MCA yang mewakili BN pada PRU 14.

Faktor calon sangat penting dalam setiap pilihan raya, namun dalam keadaan tertentu seperti yang dilihat dalam PRU 14, ramai pengundi sanggup mengundi PH tanpa mengambil kira faktor calon kerana bertekad untuk memenangkan parti dan menjatuhkan kerajaan pada ketika itu.

Bagi Parlimen Tanjung Piai, undi Melayu amat penting untuk memenangkan calon memandangkan bilangan pengundi Melayu adalah melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Pendapat umum mengatakan bahawa di Johor, sokongan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir serta Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan faktor yang berjaya menarik undi Melayu daripada UMNO; sementara PH mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina; hal ini juga terpakai di Tanjung Piai.

Justeru, tidak hairan jika terdapat sebahagian daripada pengundi PPBM yang agak kecewa kerana mereka mengharapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memimpin negara selepas Tun.

Tambahan, kini ada pihak dalam PH yang mendesak Tun menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang tahun 2020, sedangkan penyokong Tun mahu beliau terus kekal sehingga habis satu penggal.

Beberapa hari yang lalu, Tun berkata akan melepaskan jawatan sebelum PRU 15 dan mempunyai masa 3 tahun; namun akhbar-akhbar juga melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka akan menggantikan Tun menjelang tahun hadapan.

Tidak mustahil jika faktor sokongan samada kepada Pengerusi, Timbalan Presiden atau Ketua Umum PH serta masalah dalaman parti akan mempengaruhi sentimen serta sikap pegundi dan jentera parti.

Sebagai kerajaan negeri dan pusat, PH mempunyai lebih ruang dan berbagai kelebihan untuk menawan hati pengundi, apatah lagi penyandang kerusi tersebut juga dari PPBM.

Namun kes pencemaran udara akibat sisa toksik di Sungai Kim Kim dan beberapa kes lain di Pasir Gudang, serta masalah dalaman parti di Johor mungkin sedikit sebanyak boleh memberi impak kepada PRK ini.

Begitu juga dengan dengan isu janji PRU 14, keadaan ekonomi semasa, kenaikan harga barang, isu cukai dan sebagainya yang pasti akan mempengaruhi sikap pengundi terhadap parti kerajaan.

Oleh kerana penyandang kerusi P165 Tanjung Piai ialah dari PPBM, tekanan untuk mempertahankan kerusi adalah sangat besar.

Yang pasti, semua pihak akan cuba mengambil hati pengundi dan PRK Parlimen Tanjung Piai akan menjadi medan pertarungan yang sengit di antara PH dan BN.

Walau apapun, dalam bertanding biarlah bermaruah dan bersikap adil serta amanah

Tulisan ini hanyalah satu analisis amatur dari saya, seorang penulis remaja yang tidak berada di lapangan; ianya hanyalah berdasarkan pemerhatian dan pembacaan daripada berbagai laporan berita.








%d bloggers like this: