Jika Zakir Naik disekat, Siti Kasim Juga Perlu Disekat

16 03 2017

[Menara.my}- Menara.my, dalam artikel yang bertajuk, “Siti Kasim: Ajaran Dr Zakir Naik Bertentangan Dengan Islam” melaporkan penentangan keras oleh Siti Zabedah Kasim terhadap Dr Zakir Naik yang mana menurut Siti Kasim, membawa ajaran Islam yang bertentangan dari ajaran yang termaktub dalam kitab Al-Quran.

Menurut laporan tersebut, Siti Kasim berkata, “Sebenarnya, kebebasan bersuara yang kami laungkan ini tidak boleh disamakan dengan kes Dr Zakir Naik”. Perkara ini menarik perhatian saya kerana kenyataan itu menunjukkan dengan jelas sikap ‘double standard’ yang diamalkan oleh Siti Zabedah Kasim dalam hal hak asasi manusia, khasnya hak kebebasan bersuara yang diperjuangkannya. Nampaknya, Siti Kasim mahukan hak kebebasan bersuara hanya untuk dirinya dan mereka yang sependapat dengannya sahaja, namun untuk mereka yang tidak menyokong pendapatnya mesti dikenakan batasan dalam hak kebebasan bersuara.

Dalam hal ini Siti Kasim nampaknya terlalu mengikut perasaan dan lupa untuk mencermin dirinya dahulu sebelum bertindak. Jika beliau inginkan sekatan ke atas Dr. Zakir Naik daripada “bebas menyampaikan ajaran serta ceramahnya yang jelas bertentangan dengan landasan Islam sebenar dan prinsip negara”, dia tidak boleh marah dan membuat bising apabila umat Islam mahu Siti Kasim disekat atas sebab-sebab yang sama seperti tuduhannya terhadap Dr. Zakir Naik.

Sebagai aktivis hak asasi manusia yang selama ini menentang semua sekatan yang dikatakan mereka sebagai satu tindakan diskriminasi, sepatutnya Zabedah mempertahankan hak asasi penceramah itu. Malah, selama ini Siti Kasim mempertahankan kebebasan bersuara orang-orang yang menghina hukum Allah. Oleh itu, tindakan Siti Kasim kali ini juga adalah satu tindakan yang tidak adil kerana mendiskriminasikan hak golongan lain.

Seperti mana Siti Kasim mahu Dr. Zakir Naik disekat, saya yakin majoriti umat Islam di Tanah Air kita juga mahukan sekatan yang sama ke atas Siti Kasim atas sebab-sebab yang sama seperti yang diberikannya untuk menyekat Dr. Zakir Naik. Saya menggunakan kata-kata Siti Kasim seperti yang dilaporkan oleh Menara.my dan hanya menukar nama Dr Zakir Naik kepada nama Siti Zabedah Kassim.

Dalam realiti yang berlawanan, kata-kata Dr Zakir Naik mungkin berbunyi, “Berapa ramai yang berminat untuk membuat semakan dan kajian mengenai apa yang Siti Kasim cakap? Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Siti Kasim semuanya boleh dikatakan “Rubbish” (sampah).

Siti Kasim menuduh Dr. Zakir Naik mengajar “Ajaran Islam dan ceramah yang dilakukan Dr Zakir adalah bertentangan dari ajaran Al-Quran yang boleh mengakibatkan perpecahan antara kaum di negara ini”, tetapi sebenarnya itulah yang dilakukan oleh Siti Kasim sendiri. Lebih teruk lagi Siti Kasim juga menolak dan membantah semua autoriti agama, fatwa-fatwa dan ajaran Islam yang sebenar kerana ianya bercanggah dengan tafsiran Islam yang dibuat sendiri.

Dan Siti Kasim juga selalu cuba “memberi fatwa” tentang hukum Islam, walaupun dia bukanlah seorang pakar berkenaan Islam, malah seorang aktivis liberal yang sebenarnya menentang hukum-hukum Islam.

Malah, dia terkenal kerana lantang menentang pemerkasaan institusi-insttusi Islam di Malaysia, contohnya dalam kes Pindaan Akta 355. Dia juga merupakan antara orang yang lantang mempertahankan golongan LGBT di Malaysia walaupun hal itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Hukum Hudud yang belum dapat dilaksanakan pun dikritik oleh Siti Kasim, seolah-olah Islam dan undang-undang Islam adalah tidak adil.

Oleh itu, dimana logiknya Siti Kasim mahu melabelkan orang lain sebagai ekstremis dan menentang ajaran Islam yang sebenarnya, apabila dia sendiri yang menentang Islam selama ini?

Walaupun Siti Kasim mengatakan dia mempunyai hak kebebasan bersuara, tetapi kebebasan bersuara di Tanah Air ini masih ada batasan-batasannya dan ianya tertakluk kepada Akta Hasutan. Adalah bercanggah dengan undang-undang Tanah Air kita jika Siti Kasim menghasut orang ramai untuk menentang autoriti agama, fatwa dan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Tanah Air kita.

Jika Siti Kasim mengatakan Dr. Zakir Naik seorang ekstremis yang menghasut, begitu juga dengan dirinya sendiri kerana liberal juga adalah ekstrem kerana liberalisme bermaksud menolak asas-asas agama dan asas-asas negara.





Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia

2 02 2017

Dibawah adalah artikel terbaru saya untuk Menara.my.


Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, bilamana sebelas negeri dari Semenanjung Tanah Melayu bergabung bersama Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah persekutuan baharu. Namun begitu,  sejarah Persekutuan Malaysia bukanlah hanya bermula pada tarikh tersebut, tetapi telah bermula sejak lama dahulu ketika negeri-negeri di Semenanjung Malaysia masih merupakan negara-negara Kerajaan Melayu Islam berdaulat yang berasingan kerana tanah air kita ini asalnya milik Raja-Raja Melayu.

ali-karim-petak-2-203x300Peristiwa demi peristiwa yang berlaku akhirnya membawa kepada persepakatan sembilan Raja-Raja Melayu untuk mengorbankan kuasa mutlak baginda semua ke atas negara masing-masing dan bergabung di bawah satu kerajaan yang baharu.

Dahulunya, rakyat bersatu, taat kepada Raja-raja dan setia kepada negara. Apabila orang-orang Melayu menyedari tipu muslihat licik British untuk menjajah kerajaan-kerajaan Islam di Tanah Melayu melalui Malayan Union, mereka telah bangkit membantah dan akhirnya berjaya membawa kepada pembubaran Malayan Union pada 31 Januarii 1948. British terpaksa menurut kehendak orang-orang Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Sebenarnya, menurut pakar-pakar sejarah negara seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim,  British tidak pernah menjajah seluruh Tanah Melayu, yang dijajah hanyalah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Perkara ini dibuktikan oleh dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan (Declaration of Independence) yang dengan jelas menyebut, “Melaka dan Pulau Pinang … tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu”.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan sebuah dokumen persetujuan di antara Raja Inggeris, Queen, dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bersetuju bermula daripada tarikh 31 Ogos 1957, sembilan buah negeri di bawah Raja-raja Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebuah Persekutuan baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Menariknya, dokumen rasmi ini dimulakan dengan nama Allah, tahmid dan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W., menunjukkan ciri-ciri Islam jelas terpahat pada dokumen negara yang amat penting ini. Perkara ini membuktikan ketinggian agama Islam di dalam kerajaan kita sejak dahulu lagi. Malah, British sendiri telah mengiktiraf kedudukan Islam di negara ini, apabila moto negara yang tertulis pada Jata Negara bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dinaungi oleh Raja Inggeris pun menyebut nama Allah, iaitu, “Dipelihara Allah” yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Kerajaan-Kerajaan Melayu di Tanah Melayu ialah kerajaan Islam. Maka atas asas inilah lahirnya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menyebut, “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, yang mana membawa maksud bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam. Hujah ni diperkuatkan lagi oleh Perkara 37 yang mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong untuk bersumpah di atas nama Allah S.W.T. untuk memelihara pada setiap masa agama Islam, seperti apa yang tertulis di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, sebelum memulakan tugas Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas kenegaraan kita dengan jelas meletakkan Islam di tempat yang sangat tinggi iaitu hanya selepas ‘Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan’, dan ‘Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan’. Perkara ini dengan sendirinya jelas menafikan fitnah jahat yang mendakwa bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular atau Perlembagaan negara bersifat sekular. Sejarah negara kita jelas membuktikan bahawa negara kita tidak pernah bersifat sekular.

Amat malang kerana pada hari ini, ramai orang bukan Islam dan golongan liberal yang buta sejarah, atau sengaja menafikan sejarah. Mereka melupakan Kontrak Sosial, pengorbanan Raja-Raja Melayu dan jasa pemimpin yang terdahulu. Mereka mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular dan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja. Malah mereka mahu memadam segala sejarah sebelum penubuhan Persekutuan Malaysia.

Di atas nama hak asasi manusia, mereka mendakwa boleh melakukan apa sahaja hatta menghina Agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, pemimpin negara dan hak rakyat Raja Melayu. Golongan ini menentang asas-asas agama dan asas-asas negara dan dengan sengaja menyalahtafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

Suara-suara sumbang ini membantah usaha untuk memartabatkan agama negara, contohnya dalam hal Pindaan Akta 355. Walhal, rakyat Malaysia sepatutnya bersatu dalam hal ini, kerana kita mesti ingat akan dua tiang kepada pembentukan Persekutuan ini iaitu Islam dan Kesatuan. Kita mesti bersifat patriotik, memahami asas negara kita dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persektuan.

Janganlah kita leka sehingga kita lalai dan tertipu dengan agenda musuh yang mahu membinasakan negara kita. Kita tidak mahu melihat tragedi malang 13 Mei berulang kembali atau negara kita kembali dijajah.

logo-head

 





Kuasa Pendaftar Pertubuhan Yang Kita Tak Ambil Peduli

23 01 2017

Semakin banyak saya membaca, semakin bertambah pengetahuan saya dan semakin saya sedar begitu banyak pekara yang saya perlu saya pelajari.

Membaca tulisan salah seorang Uncle Naser Disa di portal Menara.my yang bertajuk, ‘ROS Boleh Batalkan Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan Yang Menentang Agenda Islam Negara!’ telah membuka mata saya betapa tingginya kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan di negara kita, dan betapa lemahnya usaha kita dalam menggunakan peruntukan undang-undang yang sediaada untuk mempertahankan kedaulatan Islam.

Saya diminta oleh Menara.my untuk mengulas isu ini, dan setelah saya menghubungi Uncle Naser untuk mendapatkan keterangan lanjut tentang perkara ini, dan saya menulis satu artikel yang ringkas tentang isu ini.

Di sini saya lampirkan tulisan saya yang telah disiarkan oleh portal Menara.my.


Saya amat tertarik membaca kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa seperti yang dilaporkan oleh portal berita Menara di bawah tajuk, ‘ROS Boleh Batalkan Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan Yang Menentang Agenda Islam Negara!’.

ali-karim-petak-2-203x300

Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menggariskan bahawa setiap pertubuhan berdaftar mestilah mematuhi Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan urusan mereka.

Menara melaporkan bahawa menurut Dato’ Prof. Hj Mahamad Naser Disa, parti-parti politik dan pertubuhan yang menentang pemerkasaan Akta 355 boleh dibatalkan pendaftaran mereka.

Selain daripada mempersoalkan pindaan Akta 355, apakah tuduhan bahawa Malaysia ialah sebuah Negara Sekular oleh pemimpin sesebuah parti politik atau pertubuhan akan mengakibatkan terbatalnya pendaftaran pertubuhan mereka kerana perkara itu jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan?

Persolannya, kenapakah sekarang ini pemimpin-pemimpin parti politik dan pertubuhan berlumba-lumba untuk dengan lantangnya mendakwa bahawa mereka bebas dan berhak menentang dan menghina hal-hal berkaitan agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu? Malah, ada pemimpin yang sanggup menghina Raja-Raja Melayu dan mempertikaikan titah Raja-Raja kita. Apakah mereka terlalu jahil undang-undang atau sengaja mahu mencabar undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan negara kita?

Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan bahawa setiap pertubuhan diwajibkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti dan hal ehwal nya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Dan yang penting sekali, jika apa-apa yang dibuat oleh pertubuhan itu berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai kedudukan Islam sebagai agama Malaysia, maka pendaftaran pertubuhan tersebut boleh dibatalkan.

Kes-kes seperti kenyataan songsang oleh pemimpin-pemimpin parti politik, G25, COMANGO, Bersih, SIS Forum Berhad, dan lain-lain dengan jelas melanggar Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.  Mereka dengan sengaja menyalahtafsirkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk mengelirukan orang ramai dalam usaha untuk meruntuhkan asas-asas negara kita yang bertentangan dengan ideologi mereka.

Malah, COMANGO pula sudahpun membawa tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review). Perkara ini telah membawa kepada tekanan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu keatas negara kita dan mendesak kerajaan Malaysia mematuhi piawaian UPR biarpun ianya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Apakah ini bermakna bahawa tindakan boleh diambil ke atas pertubuhan-pertubuhan mereka?

Kini sudah sampai masanya pihak berwajib mengambil langkah yang lebih tegas dalam mengawal aktiviti-aktiviti parti-parti politik dan pertubuhan yang dengan bangganya menghina dan memperlekehkan agama Islam serta membuat kenyataan yang bertentangan denganundang-undang Malaysia. Perkara ini amat penting kerana ianya boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama yang boleh membawa kepada rusuhan seperti tragedi 13 Mei 1969. Jika ini terjadi, kestabilan ekonomi negara akan musnah dan akan membawa kepada kehancuran negara kita.

logo-head

 








%d bloggers like this: