Sultan Selangor Perkenan Semua Masjid, Surau Di Selangor Dibuka

(BERNAMA) –  Semua masjid, surau dan Surau Kebenaran Solat Jumaat di Selangor dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu bermula Jumaat ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu setelah mendapat taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan data terkini wabak COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, bagaimanapun bilangan jemaah yang boleh menunaikan solat pada satu-satu masa di masjid serta surau di Selangor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya, jumlah jemaah yang ditetapkan bagi solat Jumaat dan solat fardhu adalah 1,000 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

“Manakala jumlah jemaah bagi semua masjid lain untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan maksimum 500 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid yang mana ia tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi Surau Kebenaran Solat Jumaat, jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan solat fardhu ditetapkan 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau itu.

Untuk surau bagi solat fardhu pula kata Mohamad Munir, jumlah jemaah yang ditetapkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Mengenai ibadah korban sempena Aidiladha, beliau berkata, Sultan Sharafuddin bertitah supaya ia dilakukan di masjid sahaja dan mana-mana surau yang telah merancang untuk melakukan ibadah itu boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Mohamad Munir berkata, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh JAIS serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

“Baginda turut menitahkan supaya semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan khususnya berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup separuh muka semasa hadir ke masjid atau surau serta mengamalkan jarak sosial. Mereka yang tidak sihat dilarang untuk solat di masjid serta surau,” katanya.

Sultan Selangor Teramat Murka Sivarasa Menggunakan Masjid Untuk Politik

Ahli Parlimen Subang dari PKR, R. Sivarasa telah melanggar titah tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan gagal menghormati agama Islam yang merupakan agama negeri Selangor dan agama negara ini. 

Jika benar R. Sivarasa mewakili Menteri Besar, maka Menteri Besar juga telah melanggar titah tuanku Sultan Selangor kerana menyebabkan perkara ini terjadi.

Utusan Online – KLANG 30 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Subang dari PKR, R. Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada minggu lalu dan menggunakan ruangan solat sebagai tempat berpolitik.

 Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, baginda telah bertitah kepada Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani supaya mengarahkan JAIS mengmbil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid tersebut.

Menurut beliau, rasa teramat murka Tuanku itu juga dizahirkan sebanyak dua kali secara peribadi kepadanya.

“Kita telah memanggil nazir berkenaan pada Jumaat lalu untuk menjelaskan berhubung kejadian tersebut dan telah menyembahkan laporan tersebut kepada baginda pada Isnin(semalam). Bagaimanapun, setelah membaca laporan ini, baginda menzahirkan rasa teramat murka dan pada Tuanku, Sivarasa tidak menghormati titahnya bahawa ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan atau mengambil kesempatan dalam ruangan solat.

“Oleh itu, kita akan memanggil lagi sekali nazir berkenaan selewat-lewatnya minggu ini untuk diberikan surat tunjuk sebab mengapa membiarkan Sivarasa berucap dalam institusi masjid.

“Mereka harus ingat bahawa nazir yang tidak menghormati titah Tuanku boleh diambil tindakan sama ada diberi amaran, digantung atau dipecat mengikut Peraturan Kawal Selia Masjid Selangor,” katanya kepada pemberita pada majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Sementa, Kapar Klang di sini malam ini.

Semalam, Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Adzib Mohd. Isa ketika berucap semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam semalam menegaskan pihaknya memandang serius isu pengunaan masjid dijadikan sebagai pentas untuk meraih sokongan politik.

Beliau membacakan ucapan tersebut di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Mohamad Adzib turut merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada minggu lalu untuk menyampaikan sumbangan yang mana ia dianggapnya bukan satu tindakan yang sesuai kerana larangan penggunan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik telah dikuatkuasakan di Selangor.

Malah, beliau turut meminta JAIS mengambil langkah yang sewajarnya mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, menjelaskan berhubung laporan tersebut, Haris menjelaskan bahawa penganjur tidak mengetahui langsung berhubung kehadiran Sivarasa dalam aturcara program sumbangan moreh anjuran penyelaras Dewan Undangan Negeri itu.

“Nazir berkenaan sebenarnya berhak menghalang Sivarasa untuk berucap tetapi sebaliknya memberi peluang kepada beliau berucap. Tindakan itu menjadi satu kesalahan.

“Setakat ini, kita telah menghantar surat kepada semua ahli politik supaya menghormati titah Tuanku supaya tidak dibenarkan berpolitik dalam masjid,” jelasnya.

%d bloggers like this: