Pemimpin Cukuplah Beretorik

[ baca versi jawi di sini ]

Kita mengharapkan perlaksanaan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dapat menghindarkan sindrom katak politik daripada berterusan.

Hal ini penting memandangkan pasca-PRU14, keadaan politik negara sering bergolak akibat peralihan sokongan politik serta aktiviti melompat parti dalam kalangan wakil-wakil rakyat; baik ahli parlimen mahupun ahli dewan undangan negeri.

Saya melihat masalah ini kini semakin parah; maka jika tidak dibendung dengan segera, negara bakal berhadapan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

Semasa berkempen mereka didukung oleh orang parti yang berhempas pulas berkempen untuk memenangkan mereka; namun setelah mereka beralih selera, mereka lantang menghentam parti yang telah memenangkan mereka.

Habis madu, sepah dibuang. Janji bulan dan bintang kepada pengundi hilang entah ke mana.

Semasa berkempen, mereka berjanji untuk membela nasib rakyat; tetapi akhirnya nasib pemimpin pula yang terpaksa dijaga oleh rakyat.

Parti yang ada berpecah-belah, ditubuh pula parti baharu; begitu juga keadaannya dengan gabungan parti sehinggakan rakyat kecewa dan terasa dipermainkan.

Inilah masalah kita pada hari ini apabila ramai para pemimpin terlalu asyik berpolitik serta tidak lagi bersifat negarawan dan sanggup berkorban demi negara.

Yang didambakan rakyat adalah pemimpin berprinsip dan bukannya “katak berprinsip”.

Ramai calon memenangi pilihan raya kerana pengundi menyokong perjuangan parti yang mereka wakili dan bukan kerana diri mereka sendiri.

Maka wakil rakyat yang dipilih sepatutnya mengangkat perjuangan parti dan bukannya menggunakan parti sebagai alat untuk mengangkat diri sendiri.

Kita bukan mahukan pemimpin yang hanya boleh bercakap atau berdebat semata-mata, tetapi ciri utama yang dicari ialah kematangan dan kebolehan untuk mentadbir negara dengan baik dan amanah.

Pemimpin yang baik bukan hanya sekadar boleh merasa denyut nadi rakyat tetapi mesti mampu berfikir panjang dalam merancang masa depan negara.

Dalam suasana dunia yang bergolak serta keadaan ekonomi yang mencabar, rakyat mengharapkan pemimpin yang benar-benar berkebolehan untuk mengurus negara dengan baik agar ekonomi negara tidak runtuh.

Bersikap jujurlah kepada rakyat; cukup-cukuplah beretorik, tuduh-menuduh serta menabur janji manis dan habuan untuk mendapatkan sokongan.

Sebagai pengundi, lebih-lebih lagi kepada generasi Undi18, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji politik; berfikirlah secara matang sebelum membuat keputusan.

Kenali prinsip perjuangan parti-parti yang bertanding serta siapa pemimpin-pemimpin mereka.

Berpijaklah di bumi yang nyata; jangan sampai kita tertipu oleh ilusi yang tidak lebih daripada sekadar satu fatamorgana yang indah.

Bagaimana Politik Negara Berubah Daripada Pentadbiran Kepada Pertandingan

[ baca versi jawi di sini ]

Dunia berubah dengan begitu pantas. Kadangkala, perkara yang pada awalnya dianggap aneh, boleh menjadi ikutan dalam sekelip mata. Sehinggakan perkara-perkara negatif pun, setelah ‘dibiasakan’ dalam masyarakat, boleh diterima sebagai perkara ‘biasa’.

Ini termasuklah hal-hal yang dianggap salah dari sudut etika dan moral. Begitu juga dengan amalan politik tempatan.

Dahulunya dalam konteks politik tempatan, pemimpin yang melompat parti dikatakan pemimpin yang tidak berprinsip. Apalagi jika lompatan itu dibuat setelah mereka memenangi pilihan raya di atas tiket parti yang mereka tinggalkan.

Namun, pasca-PRU14, amalan ini sudah seakan-akan menjadi perkara biasa.

Para pemimpin yang dahulunya lantang menentang amalan lompat parti, kini memuji amalan ini kerana lompatan itu menguntungkan parti mereka.

Maka lahirlah hujah-hujah baharu bagi mempertahankan senario ini, seperti “katak berprinsip.”

Beberapa hari setelah Barisan Nasional kalah dalam PRU14, kita melihat ‘acara lompat parti’ secara besar-besaran oleh ahli-ahli parlimen yang baru sahaja menang atas tiket BN ke Pakatan Harapan.

Sejak itu, politik Malaysia menjadi begitu panas dan bersifat terlalu kompetitif sehingga berlaku berbagai-bagai keadaan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.

Bagi yang mahu mencari peluang menempatkan diri di tempat yang lebih tinggi dan selamat, mereka menyeberang mengikut arus yang mengalir.

Yang menerima pula begitu gembira menerima orang yang menyeberang kerana dapat menambah bilangan kerusi parlimen bagi menguatkan kedudukan parti.

Malah lompatan juga berlaku dalam kalangan pakatan parti yang sama.

Dalam keadaan yang meruncing, tambahan satu kerusi pun begitu besar skala impaknya dalam menentukan suara parti. Semangat setia kepada parti dalam kalangan sesetengah pemimpin politik sudah menjadi semakin tipis. Parti baharu serta pakatan politik baharu timbul silih berganti, biasanya dipimpin oleh individu yang dahulunya memimpin parti yang sudah ada.

Pemainnya sama, cuma parti yang berbeza. Seolah-olah penjenamaan baharu untuk menarik lebih ramai penyokong. Hasilnya, dalam tempoh empat tahun pasca-PRU14, kita telah diperintah oleh tiga kerajaan yang dipimpin oleh tiga Perdana Menteri.

Memang sukar bagi pakatan politik yang rapuh hubungannya untuk kekal stabil dalam jangka masa yang lama.

Walaupun dinafikan, namun kita boleh membaca dengan jelas bahawa tujuan pakatan di antara sesetengah parti adalah tidak lebih daripada sekadar untuk mengalahkan pihak musuh yang sama.

Akhirnya akibat tiada persefahaman serta perebutan kuasa, pemimpin-pemimpin mereka bercakaran sesama sendiri.

Majoriti yang tipis juga menjadikan kedudukan kerajaan ibarat telur di hujung tanduk. Hanya dengan peralihan sejumlah kecil sahaja Ahli Parlimen sudah cukup memporak-perandakan keadaan.

Dalam suasana di mana ramai ahli politik mengamalkan politik persaingan tidak sihat, kita perlu lebih bijak dalam memilih wakil rakyat kita. Parti-parti politik juga mesti mencalonkan individu yang benar-benar mahu memimpin dan tidak melompat-lompat setelah menang untuk kepentingan diri.

Pemimpin yang perlu kita pilih hendaklah berdasarkan sifat yang jelas dilihat tanpa perlu diiklankan kehebatan orangnya melalui pelbagai propaganda.

Jangan sampai kita mudah termakan janji-janji politik yang belum tentu akan ditunaikan jika mereka menang.

Kita mengharapkan pemimpin yang boleh memimpin negara dan bukannya mereka yang hanya tahu bercakap dan membawa idea yang bukan-bukan serta tidak berpijak di bumi yang nyata.

Dalam keadaan ekonomi negara yang kurang baik, ditambah pula dengan masalah Covid-19 yang belum pulih, kita tidak mampu lagi memperjudikan nasib bangsa dengan langkah yang kurang tepat.

Fikir dahulu sebelum memangkah, supaya tidak tersilap langkah. Jadilah pengundi yang bijak, supaya kita tidak dipijak.

Ingatlah – krisis politik yang tiada kesudahannya hanya akan menghancurkan negara.

%d bloggers like this: