Galak "Social Distance": Kedai Nasi Kandar Ini Perkenalkan "Drive Thru"

Setakat laporan terkini, seramai 1,183 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 9 orang telah terkorban akibat penyakit ini.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, namun masih ada yang gagal mematuhinya.

Memerhati laporan media, “membeli makanan” ialah di antara jawapan paling popular apabila ditanya kenapa mereka perlu keluar dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Walaupun kini restoran dan kedai makan hanya dibenarkan menjual makanan yang dibungkus atau menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, namun orang awam yang beratur untuk membeli makanan seakan-akan menyebabkan “mass gathering” secara tidak sengaja pada ketika terdapat ramai pelanggan yang beratur.

Idea kreatif Restoran LC Putrajaya dalam usaha untuk menggalakkan amalan “social distancing” dalam usaha menangani wabak Covid-19 telah menarik perhatian saya.

Sebagai penyelesaiannya, mereka telah menyediakan perkhidmatan pandu lalu atau “drive thru” di mana pelanggan hanya perlu mengehon untuk membuat pesanan.

Dari laman Facebook LC Restaurant Putrajaya.

Memetik laporan The Star, pengurus restoran ini berkata, mereka tidak pernah menyediakan perkhidmatan tersebut sebelum ini.

“Bagi perkhidmatan pandu lalu, pekerja kami akan mengambil pesanan daripada pelanggan yang berhenti di hadapan restoran kami, dan menghantar pesanan mereka dengan sendiri. Maka mereka tidak perlu keluar dari kenderaan mereka.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi makan tengah hari dan makan malam bagi mereka yang membuat prapesanan, dengan caj 50 sen bagi setiap item.”

The Star – “Putrajaya eateries told to put away tables and chairs” – (Terjemahan)

Semoga seluruh rakyat Malaysia terus mematuhi nasihat kerajaan persekutuan dalam usaha untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Tanpa kerjasama seluruh penduduk di negara ini, segala usaha kerajaan akan menjadi sia-sia.

%d bloggers like this: