Ismail Sabri Disaran Perkasa Institusi Parlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran memperkasa peranan institusi Parlimen bagi membolehkan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik dibabitkan secara langsung dalam pengurusan negara.

Saranan itu disuarakan veteran UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Shahrir berkata, kegagalan menjadikan Parlimen sebagai landasan mendapatkan sokongan, mandat dan kebersamaan dalam mengurus negara ketika pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi perlu menjadi pengajaran kepada Perdana Menteri kesembilan dan bakal anggota Kabinetnya.

Beliau berkata, peranan Parlimen adalah amat penting bagi memastikan semua pandangan serta cadangan semua Ahli Parlimen diambil kira, apatah lagi itulah sebenarnya punca kuasa kepada Perdana Menteri.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut memberikan nasihat sama apabila meminta semua pihak tanpa mengira parti politik perlu dibabitkan bagi membantu rakyat dan negara keluar daripada wabak COVID-19.

“Dalam kerajaan demokrasi berparlimen, adalah sangat penting memastikan libat urus dengan semua Ahli Parlimen dalam mendapatkan mandat dan sokongan terutamanya membabitkan dasar penting negara.

“Apatah lagi negara berhadapan cabaran getir yang tidak pernah dihadapi iaitu wabak COVID-19 yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan rakyat, malah ekonomi negara turut terkesan teruk.

“Bagi saya Perdana Menteri kesembilan harus memperbaiki kesilapan pentadbiran sebelum ini yang tidak menggunakan Parlimen sebagai landasan utama mentadbir negara dan membabitkan penyertaan semua ahli Parlimen dalam membuat dasar utama untuk rakyat.

“Di Parlimen bukan sahaja membabitkan sesi soal jawab atau perbahasan malah terdapat juga pelbagai jawatankuasa yang dianggotai Ahli Parlimen merentas parti politik yang boleh digerakkan memberi saranan, membuat siasatan dan juga mengkaji apa jua isu negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Shahir berkata, Perdana Menteri kesembilan tidak boleh menolak Parlimen sebagai asas pentadbiran jika mahu ahli Parlimen terus memberi mandat dan menyokongnya.

“Jangan tolak Parlimen. Jangan ego sehingga mewujudkan tekanan pada pentadbiran selain tidak memberi peluang pada Ahli Parlimen berkongsi pandangan dan saranan.

“Teliti dan dengarilah setiap pandangan dan saranan dikemukakan tidak kiranya menerusi perbahasan atau jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan. Lebih konsultatif serta sanggup mendengar apa yang diutarakan Parlimen.

“Inilah perbezaan identiti yang dapat membezakan kepemimpinan Perdana Menteri kesembilan dengan pentadbiran sebelum ini, sekali gus memperbaiki kegagalan,” katanya. -{Berita Harian]

Agong Lantik Ismail Sabri Sebagai Perdana Menteri Ke-9

Baca versi Jawi di sini.

Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja.

[baca biodata Ismail Sabri Yaakob]

Ismail, 61, dijadualkan untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada hari esok, Sabtu 21 Ogos 2021 pada jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di Istana Negara.”

Pencalonan Perdana Menteri dibuat berdasarkan surat-surat akuan daripada semua Ahli Dewan Rakyat dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti di Parlimen.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.”

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan Baginda agar pelantikan Perdana Menteri baharu ini dapat mengakhiri kemelut politik dengan segera, dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dalam usaha menangani wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.”

Keputusan Yang di-Pertuan Agong dibuat selepas Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara petang tadi, bagi tujuan membuat keputusan mengenai perihal pemilihan Perdana Menteri ke-9.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Sebuah undi kepercayaan bakal diadakan di Parlimen untuk mengesahkan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Raja-raja Melayu Selesai Bermesyuarat di Istana Negara

Raja-raja Melayu telah selesai bermesyuarat dalam Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur petang tadi. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu dijangka mengeluarkan suatu kenyataan rasmi mengenai perbincangan khas tersebut dalam masa terdekat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berangkat pulang meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 4.22 petang tadi, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 4.24.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berangkat pulang dari istana pada jam 4.26 petang, diikuti Sultan Perak, Sutan Nazrin Muizuddin Shah pada jam 4.28.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat pulang pada jam 4.30 sambil melambai ke arah petugas akhbar.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Terdahulu, enam Raja-raja Melayu telah ke Istana Negara bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dipanggil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah petang tadi. Perbincangan khas tersebut dipercayai berkenaan pemilihan Perdana Menteri ke-9, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Lebih lanjut: Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

Raja-raja Melayu Berangkat Tiba di Istana Negara Untuk Perbincangan Khas

Raja-raja Melayu telah mula berangkat tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini bagi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang dijadualkan pada petang ini, bagi membincangkan hal berkenaan pelantikan Perdana Menteri ke-9.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah merupakan yang pertama untuk tiba di Istana Negara pada jam 1.56 petang tadi.

Adalah dijangkakan bahawa perbincangan khas tersebut akan diikuti pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah pula tiba pada jam 2.14 petang, diikuti Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada jam 2.22 petang dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2.24 petang.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula tiba di Istana Negara pada jam 2.32 petang sebentar tadi.

Terkini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah memasuki pekarangan Istana pada jam 2.35 petang.

Adalah dilaporkan bahawa Raja Perlis, Syed Hussain Jamalullail, Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak dapat berangkat ke Istana Negara pada hari ini, dan menyertai perbincangan khas tersebut secara dalam talian.

Ini adalah kali ketiga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah mengadakan perbincangan khas sebegini sejak menaiki takhta persekutuan pada tahun 2019 dahulu.

Ku Li Ditawarkan Jawtan PM 2 Kali, Sebelum Beralih Kepada Ismail Sabri

Sebuah laporan eksklusif akhbar Sinar Harian telah melaporkan bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telahpun ditawarkan jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh terdekat ini, sebelum keputusan tersebut beralih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut laporan tersebut, ahli-ahli MKT UMNO telah menandatangani persetujuan untuk memberi kuasa kepada Ahmad Zahid sebagai presiden parti, dan memutuskan bahawa hanya ada satu calon daripada parti itu iaitu Tengku Razaleigh sahaja.

Seorang individu yang rapat dengan Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, telah memaklumkan hal demikian kepada pihak akhbar baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan juga bahawa lebih 40 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sudah tandatangan persetujuan untuk memberi kuasa kepada presiden (Ahmad Zahid) dan telah memutuskan hanya satu calon daripada parti iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh) sahaja.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Tengku Razaleigh telah didatangi beberapa pemimpin daripada Biro Politik UMNO bagi yang memujuknya untuk menjadi calon Perdana Menteri, kerana mereka mendapati tidak ada pimpinan daripada UMNO ketika itu yang boleh diketengahkan.

“Biro politik UMNO telah datang bertemu Ku Li menawarkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, dua bulan yang lalu namun tidak sangka ada calon lain pada saat akhir.

“Yang datang menemui Ku Li ialah Ahmad Zahid sendiri, timbalannya (Datuk Seri Mohamad Hasan), Ketua Pemuda UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) serta Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama bekas Perdana Menteri, Najib Razak melawat Tengku Razaleigh di kediamannya pada 24 Mac 2021.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini MKT UMNO melalui sebuah mesyuarat pada malam Selasa lalu telah memutuskan untuk memberi mandat kepada 42 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional bagi memuktamadkan calon mereka, dan akhirnya nama Ismail Sabri yang diangkat untuk menjadi calon rasmi UMNO.

“Sebelum ini Ku Li diberitahu bahawa parti melalui MKT sudah memuktamadkan kuasa menamakan calon Perdana Menteri diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Li adalah calonnya.

“Beliau (Ku Li) tidak marah atau menganggap itu satu pembelotan atau pengkhianatan namun apa yang berlaku amat tidak baik untuk masa depan parti itu nanti.”

Sumber – Sinar Harian – “Mereka datang dan tawarkan jawatan PM kepada Ku Li”

Semalam, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil mengadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-9, di mana wakil-wakil rakyat tersebut akan mengadap Seri Paduka Baginda selama 2 minit bagi mengesahkan surat akuan bersumpah mereka.

Tujuan utama pertemuan itu adalah bagi memastikan sokongan yang diberi melalui akuan bersumpah itu bukan dilakukan kerana terdapat paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak, dan merupakan keputusan ikhlas dari diri mereka.

Yang di-Pertuan Agong telah menekankan bahawa kepercayaan yang diberi hendaklah terang, jelas dan tanpa syarat, serta perlu dirahsiakan sehingga Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi hal tersebut.

Muhyiddin Mengadap Agong Jam 3 Petang Ini

Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tiba di Istana Negara bagi tujuan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Dipercayai bahawa beliau akan membincangkan mengenai perkembangan politik hari ini di mana beberapa ahli parlimen dipanggil mengadap Baginda di Istana.

MP UMNO Tiba di Istana Menaiki Bas

Ahli-ahli Parlimen UMNO telah tiba di Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini. Antaranya termasuklah Dato’ Seri Najib Razak (Pekan), Khairy Jamaluddin (Rembau), Shahidan Kassim (Arau) dan Noh Omar (Tanjong Karang).

Difahamkan bahawa mereka akan mengadap Agong hari ini bagi tujuan berkaitan pemilihan Perdana Menteri kesembilan, selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kesemua mereka menaiki beberapa as persiaran, diiringi beberapa kenderaan keselamatan.

Istana: Perbincangan Khas Raja-raja Melayu Jumaat Ini

Yang di-Pertuan Agong akan mempengerusikan satu Perbincangan Khas Raja-raja Melayu pada 20 Ogos ini bagi membincangkan isu-isu semasa.

Menerusi sebuah kenyataan akhbar, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin telah memberi maklum bahawa Seri Paduka Baginda dan Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan Malaysia ketika dilanda ancaman wabak Covid-19.

Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

Baca kenyataan penuh di bawah:

Di Sebalik Kemelut Politik, Nama Ku Li Naik Lagi Sebagai Calon PM Terbaik

Dalam kemelut politik Malaysia yang berterusan sejak tahun lepas, negara memerlukan seorang tokoh yang dapat bukan sahaja menyelesaikan isu politik, tetapi juga krisis ekonomi dan kesihatan. Penganalisis, pemerhati termasuklah ahli-ahli politik tanah air ramai mula menyebut semula satu nama sebagai penyelamat keadaan yang semakin meruncing ini—Tengku Razaleigh Hamzah.

Pakar Geostrategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Azmi Hassan berpendapat, selain mempunyai pengalaman, Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li juga merupakan agen pendamai dalam kalangan pemimpin hari ini.

Ketika diwawancara sebuah program dalam talian anjuran akhbar MalaysiaGazette, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebagai ‘dark horse‘ atau kuda hitam yang boleh menyelamatkan Malaysia.

“Dalam keadaan sekarang sebelum PRU15, Malaysia memerlukan pemimpin yang sudah masak dengan sepak terajang politik.

“Selain itu, pemimpin itu juga mampu bertahan dengan pelbagai tekanan.”

Pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Syed Hassan Syed Ali turut menamakan Tengku Razaleigh sebagai satu-satunya tokoh yang layak memacu Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa itu melalui sebuah hantaran di Facebook turut menambah bahawa Tengku Razaleigh juga satu-satunya tokoh yang dihormati semua Ahli Dewan Rakyat.

“Untuk kebaikan negara seorang tokoh yang selayaknya memacu Malaysia sehingga PRU15 dan sepenggal lagi selepas itu, yang pasti dihormati semua MP, seorang sahaja iaitu Yang Berhormat Mulia Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang yang punya pengalaman luas membangunkan negara ini berbanding dengan pemimpin lain.”

Menurut Syed Hassan lagi, hanya seorang sahaja yang layak menjawat jawatan tersebut.

Tangkapan layar hantaran Syed Hassan Syed Ali hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Fauzi Abdul Hamid juga menyifatkan veteran UMNO tersebut sebagai pilihan tepat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Bagi saya Ku Li (ialah) calon tepat kerana kepimpinan beliau dalam UMNO selama ini telah terbukti. Beliau juga dikenali ramai terutamanya di peringkat antarabangsa setaraf bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Paling penting, beliau juga dihormati oleh semua parti termasuk DAP dan PKR kerana kewibawaan beliau dalam politik selama ini. Ku Li juga di dalam UMNO adalah individu paling bersih tidak seperti Ahli Parlimen yang lain.”

Untuk rekod, Tengku Razaleigh pernah memegang jawatan Pengerusi Asian Development Bank pada 1976, Pengerusi International Bank for Reconstruction and Development (World Bank) pada 1977 dan Pengerusi Islamic Development Bank (Arab Saudi) pada 1978.

Jasa besar Tengku kepada Malaysia begitu besar. Beliau digelar “Putera Minyak Negara” dan merupakan mengasas PETRONAS. Tengku dilantik menjadi Pengerusi dan Ketua Eksekutif pertama PETRONAS.

Tengku juga telah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) yang pertama dan pernah memegang jawatan Presiden bagi Malaysian Chamber of Commerce and Industry dan ASEAN Chamber of Commerce and Industry.

Tengku juga telah mengetuai delegasi perdagangan pertama Malaysia ke China pada tahun 1971, yang telah merealisasikan gencatan senjata ke atas Parti Komunis Malaya, yang mana membawa pertumbuhan besar kepada ekonomi negara.

Seorang Calon BN Sudah Dapat Sokongan Majoriti

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa seorang calon Barisan Nasional (BN) sudah memiliki sokongan melebihi majoriti diperlukan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwanya, BN yang memiliki 42 kerusi di Parlimen, berjaya mendapatkan sokongan secara hitam putih berjumlah lebih 69 Ahli Parlimen beberapa parti, sekali gus melebihi sokongan majoriti 111 Ahli Parlimen yang diperlukan.

Individu itu berkemungkinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini dilaporkan turut mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN).

“BN mempunyai 42 saja kerusi Parlimen dan bagi membolehkan calon Perdana Menteri dipilih, BN memerlukan sekurang-kurangnya 69 lagi sokongan daripada parti-parti lain, menjadikan sekurang-kurangnya (sokongan) 111 daripada 220.

“Alhamdulillah, baru sebentar tadi selesai perbincangan dengan Ahli Parlimen dan wakil parti-parti sahabat yang lain untuk mohon menyokong seorang calon daripada BN.

“Kami amat terharu kerana sejumlah lebih daripada 69 yang diperlukan, bersetuju bagi memberi laluan dan sokongan hitam putih kepada seorang calon BN,” kata Annuar menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Annuar berkata, semua Ahli Parlimen BN akan bermesyuarat dengan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkembangan itu.

“Saya sendiri juga sudah menghubungi Presiden UMNO untuk satu panduan dan kata sepakat, mengambil kira perkembangan terkini serta surat notis Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini,” katanya.

Annuar sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri ketika sama-sama dalam Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, BH melaporkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat malam ini bagi membincangkan berhubung calon Perdana Menteri, untuk diserahkan kepada Istana Negara esok.

Difahamkan, mesyuarat yang dijangka dihadiri semua 38 Ahli Parlimen UMNO itu adalah bagi memutuskan hanya satu nama sebagai calon Perdana Menteri, untuk diserahkan kepada Istana Negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut dilaporkan berkata, UMNO sedang berunding sesama Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi parti itu hari ini bagi memutuskan hanya seorang saja nama calon Perdana Menteri untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan surat akaun bersumpah menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara, sebelum jam 4 petang esok.

Sebelum ini, beberapa nama dikatakan menjadi pertimbangan sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO, antaranya Ismail Sabri dan penasihat UMNO, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razalegh Hamzah.

Setakat ini, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memperoleh jumlah sokongan teramai daripada Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN), serta daripada PN yang merangkumi PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ismail Sabri juga dikhabarkan sudah mendapat sokongan lisan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut dihadiri pimpinan tertinggi UMNO di ibu pejabat parti itu, tengahari tadi sebelum Ahmad Zahid bergerak ke Istana Negara. -{Berita Harian]