Pahang Akan Terus Cegah Maksiat – Tengku Abdullah

8 10 2018
sultan

Tengku Abdullah bertitah serbuan dan operasi cegah maksiat akan diteruskan di Pahang. Gambar Kosmo! Online

[Utusan Online}- Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, penguatkuasaan operasi khalwat di negeri ini diteruskan seperti amalan yang dilaksanakan sebelum ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bertitah, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berhubung isu berkenaan adalah pandangan beliau tetapi negeri ini akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan.

“Itu pandangan Yang Berhormat menteri tetapi apa yang telah dilaksanakan di peringkat negeri khususnya Pahang kita akan teruskan dan perhalusi serta lebih berhemah.

“Ini supaya kita dapat membendung dan mengurangkan (maksiat),” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas merasmikan

Bengkel Catur Siri 1/2018 bagi pelajar peringkat negeri sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di sini hari ini.

Tengku Abdullah bertitah, serbuan atau penguatkuasaan operasi khalwat masih diteruskan di negeri ini tetapi tidak boleh dilakukan di luar peruntukan undang-undang.

“Saya dimaklumkan kalau hendak mengadakan serbuan itu perlu ada aduan, kelulusan polis dan pihak berkuasa tempatan.

“Bukan serbuan secara melulu, prosedur operasi standard (SOP) mesti dikekalkan,” titah baginda.

Advertisements




Ribut Landa Beberapa Kawasan Sekitar Klang

1 10 2018

[Kosmo! Online}- Hujan lebat disusuli angin ribut lebih sejam di sekitar daerah ini hari ini menyebabkan beberapa kediaman, premis perniagaan, bangunan awam dan kenderaan mengalami pelbagai kerosakan.

Kejadian yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu juga turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan serta kesesakan luar biasa di beberapa jalan utama sekitar daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, pemantauan pihaknya mendapati, aliran trafik di daerah ini secara keseluruhan bergerak perlahan disebabkan cuaca hujan dan kejadian pokok tumbang.

Menurutnya, beberapa jalan juga dilaporkan sesak membabitkan jalan sekitar susur Bulatan 100 dari Jalan Sireh,  Jalan Meru Batu 1 dan Jambatan Musaidin.

“Pihak trafik sedang mengawal lalu lintas dan kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata,  pihaknya tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan kejadian pokok tumbang, bumbung runtuh dan kenderaan rosak.

“Panggilan pertama diterima kira-kira jam 2.28 petang tadi dan sehingga kini kami masih lagi menerima panggilan yang melaporkan kejadian pokok tumbang dan bangunan serta kenderaan rosak akibat ribut.

“Pihak kami masih menjalankan operasi bersama MPK dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas ini,” katanya.








%d bloggers like this: