Apakah Reaksi Ahli-Ahli Parlimen Ini Terhadap Cadangan Tun M?

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengajak semua orang Melayu menyertai partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Alasan beliau ialah untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu parti politik, bagi menguatkan kuasa politik Melayu.

Dua persoalan utama bermain di fikiran saya:

  1. Apakah pelawaan ini hanya ditujukan kepada orang Melayu daripada parti-parti pembangkang atau meliputi semua orang Melayu termasuk ahli parti-parti komponen kerajaan?
  2. Apakah respons pemimpin parti komponen Pakatan Harapan tentang usul ini?

Cadangan Tun telah disambut baik dan disokong oleh para peminpin PPBM dan saya menunggu respons daripada pemimpin parti-parti lain yang menganggotai Pakatan Harapan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti yang dilaporkan The Star Online, tindakan Tun adalah untuk menambah keahlian parti dan memperkukuhkan kuasa politik.

Beliau juga berkata PAS dan UMNO telah menyatakan mereka tidak berminat untuk menyertai parti Tun.

The Star Online turut melaporkan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Khalid Samad bahawa usaha untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu payung parti politik bukanlah satu tugasan yang mudah, dan oleh kerana orang Melayu mempunyai banyak aliran pemikiran, maka satu parti politik bagi seluruh rakyat berbangsa Melayu adalah tidak mencukupi.

Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng pula bertindak mengingatkan Tun Mahathir tentang perjanjian mereka untuk tidak menerima ahli-ahli UMNO yang dikatakan sebagai ‘korup’, untuk menjadi ahli mana-mana parti politik Pakatan Harapan.

Free Malaysia Today pula melaporkan respons Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang perkara ini.

Presiden PKR itu, yang merupakan perdana menteri pilihan Pakatan Harapan (PH) bagi menggantikan Mahathir berkata, sebagai pengerusi PPBM beliau berhak membuat gesaan itu, tetapi isu tersebut akan dibincangkan oleh pimpinan tertinggi gabungan kerajaan itu dalam pertemuan mereka.

Free Malaysia Today (Terserah kepada Dr M buat seruan ‘perpaduan Melayu’ kepada Umno, kata Anwar)

Jauh panggang dari api, itulah yang menggambarkan respons pemimpin parti-parti pembangkang yang sudah tentu tidak akan dapat menerima cadangan Tun ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mempertegaskan bahawa orang Melayu tidak perlu PPBM, kerana agenda ta’awun siyasi UMNO dan PAS sudahpun cukup bagi orang Melayu kerana itu yang lebih penting bagi umat Islam.

The Star Online juga melaporkan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa beliau tidak terkejut dengan cadangan Tun dan berkata ini ialah satu strategi Tun untuk menjadikan PPBM sebagai parti yang terbesar di dalam Pakatan Harapan supaya mereka boleh mempertahankan jawatan Perdana Menteri.

Daripada laporan akhbar, pelawaan Tun secara umumnya gagal mendapat sokongan daripada pemimpin- pemimpin parti lain, termasuklah pemimpin parti-parti komponen kerajaan sendiri.

Namun disebalik berbagai kritikan dan penolakan, tiba-tiba muncul seorang Ahli Parlimen pembangkang yang membawa pandangan yang berbeza.

Bagi Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin, UMNO sepatutnya mempertimbangkan dengan serius untuk bersama PPBM, dan berpendapat bahawa Tun mempunyai asas dalam dalam membuat cadangan itu.

The Star Online menulis:

Umno should give serious thought to the invitation to join hands with Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), says Rembau MP, Khairy Jamaluddin.
“Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad is worried that Malay politics is too fractured, which is correct. 
“I know a lot of people dismissed what he said yesterday (July 5). I think that’s a bit arrogant.
“I think he is coming with the right motivation. 

The Star Online (“Don’t dismiss Dr M’s invitation to join Bersatu, Khairy tells Umno”)

Bagi saya, saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa orang Melayu mesti bersatu untuk memperkukuhkan kuasa politik Melayu, namun penyatuan Melayu mestilah berlandaskan prinsip yang dipersetujui dan dipersepakati oleh semua orang Melayu dan parti Melayu di negara ini.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat.

Mesej yang saya rasa cuba disampaikan oleh YB Khalid Samad bahawa tidak semua orang Melayu bersetuju dengan pendirian PPBM banyak kebenarannya dan merupakan satu cabaran kepada hasrat Tun yang mahukan semua orang Melayu bernaung di bawah payung PPBM.

%d bloggers like this: