Janji 100 Hari Ditangguh

1 06 2018

(UTUSAN) – PUTRAJAYA 31 Mei – Kebimbangan rakyat me­ngenai Janji 100 Hari Pakatan Harapan (PH) tidak mampu direalisasikan semakin menjadi kenyataan apabila beberapa inisiatif yang dijanjikan ber­kemungkinan terpaksa dita­ngguhkan berikutan kekangan kewangan.

Meskipun 10 inisiatif berkenaan dijanjikan untuk tempoh 100 hari, namun pihak kerajaan memberi bayangan bahawa kemampuan kewangan negara yang terhimpit kerana hutang setinggi RM1 trilion perlu diberi perhatian.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif dalam Janji 100 Hari mereka sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.

Kata beliau, antara inisiatif yang akan ditangguhkan ialah pemberian subsidi petrol bersasar bagi kereta di bawah 1300 cc dan motor di bawah 125 cc.

Selain itu, beliau berkata, penangguhan berkenaan melibatkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, peningkatan gaji minimum, pe­nangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan dan pelaksanaan Skim Peduli Sihat.

“Walaupun kerajaan ingin me­laksanakan semua janji 100 hari itu, namun kerajaan juga mempunyai tanggungjawab fiskal dan tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu dengan menyebabkan masalah kewangan yang tentunya akan membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung.

“Kerajaan akan terus komited untuk memenuhi janji-janji ma­nifesto apabila keadaan kewa­ngan mengizinkan,” katanya da­lam sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, selain mempunyai hutang yang tinggi, kerajaan juga akan kehilangan pendapatan sehingga RM21 bi­lion selepas melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai esok.

Keadaan tersebut sudah tentu memburukkan lagi kedudukan kewangan negara kerana GST me­rupakan sistem kutipan cukai yang banyak membantu mengu­kuhkan kerajaan sebelum ini de­ngan kutipan melebihi RM40 bi­lion.Lim Gua n Eng dalam sidang akhbar di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/Zaki Amiruddin

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah mengenal pasti langkah penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion bagi menampung kekurangan kutipan akibat pelaksanaan GST sifar itu, selain peningkatan perolehan daripada jualan minyak.

‘‘Dengan peningkatan harga mi­nyak dunia dengan purata RM278.50 setong, jangkaan kenaikan hasil berkaitan minyak hanyalah sebanyak RM5.4 bi­lion,” katanya.

Menurutnya, langkah penjimatan tertumpu kepada semakan semula perbelanjaan meliputi pengecilan, penangguhan serta pemansuhan program dan projek yang tertindih serta tidak ter­desak.

Sementara itu Guan Eng memaklumkan, Tabung Harapan Ma­laysia yang ditubuhkan sebagai platform untuk rakyat menyalurkan sumbangan bagi mengurangkan beban hutang kerajaan telah mengumpul sehingga lebih RM7 juta setakat 3 petang ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/janji-100-hari-ditangguh-1.683056#ixzz5H9GhcO00
© Utusan Melayu (M) Bhd








%d bloggers like this: