(Video) Tun M – Bukan Chin Peng Boleh Buat Apa Dah, Cuma Abu Dia Sahaja

(Sinar Harian) – SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan oleh mana-mana pihak.

Katanya, pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sudah meninggal dunia dan tiada apa yang boleh dilakukan.

“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua. Tetapi kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah.

“Cuma abu dia sahaja yang balik. Kita beri Shamsiah Fakeh balik pun tiada siapa complaint. Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Ada lain lagi. Tapi Chin Peng memang kita tak mahu terimalah sebab dia ketua,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata demikian dalam sidang media bersama media Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul Korea.

Menurut laporan itu, Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang mempunyai agenda tersendiri terhadap isu berkenaan.

“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan. Benda ini berlaku macam masa (zaman) Najib dulu tetapi tiada apa. Namun sekarang semua berbalik kepada PH,” katanya.

Katanya lagi, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng adalah di luar kawalan mana-mana pihak.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan tidak pernah menerima atau meluluskan permohonan untuk membawa masuk abu mayat Chin Peng ke Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara akan menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara tersebut.

Ini Komen Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Tentang Abu Chin Peng

(Sinar Harian) – KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan kepulangan abu Chin Peng ke Malaysia yang tular semalam.

Menurutnya, selepas KDN mengeluarkan kenyataan dan hasil siasatan, barulah beliau bersedia menyatakan komennya dalam isu tersebut.

“KDN siasat, minta KDN siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Meskipun terus diasak dengan soalan-soalan berkaitan isu tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja itu tetap konsisten dengan jawapannya.

“Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan, saya akan komen.

“(Adakah ia akan mengguris hati perajurit negara?) Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respons negatif daripada warganet yang mengecam tindakan tersebut.

Tajuk Lapan Penerbitan Diharam KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan lapan penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada ketenteraman dan kepentingan awam serta mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan moral. 

Menurut laporan NST, lima penerbitan diharamkan setelah didapati berbahaya kepada ketenteraman awam, selain mengandungi elemen yang boleh mengelirukan umat Islam dan boleh membahayakan kepercayaan mereka.

Tajuk-tajuk lima buku tersebut adalah: 

  1. Isu Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam
  2. Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan Dan Agama
  3. Menuju Reformasi Perundangan Islam oleh Abdullahi Ahmed An-Na’im
  4. Zainab Srikandi Cucu Baginda SAW  
  5.  Imam Mahdi Yang Ditunggu Dan Malapetaka Akhir Zaman 

Dua lagi penerbitan telah diharamkan kerana mengandungi elemen yang menghina agama Islam dan juga boleh mewujudkan implikasi negatif dari segi keselamatan negara.

Tajuk-tajuk dua buku tersebut adalah:

  1. Al-Yahud: Eternal Islamic Enmity and the Jew oleh Elias Al-Maqdisi dan Sam Solomon
  2. Dari Majapahit ke Putrajaya: Mencari Satu Lagi Malaysia oleh Farish A. Noor 

Manakala penerbitan bertajuk ‘Saucy Seaside Postcard’ diharamkan kerana didapati mengandungi elemen dan imej bersifat pornografi.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, semua buku-buku tersebut bukanlah bahan bacaan yang sesuai serta boleh membahayakan dan mengelirukan orang ramai, terutamanya generasi muda.

Beliau juga berkata bahawa pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilansemula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil pengeluaran penerbitan yang telah diharamkan adalah suatu kesalahan di bawah subseksyen 1 Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Dan mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya di bawah Seksyen 8 Akta 301.

Datuk Seri Alwi Ibrahim menasihatkan orang ramai untuk melaporkan sebarang penerbitan yang melanggar undang-undang negara ke Bahagian Penerbitan Kementerian Penerbitan dan Pengendalian Teks Al-Quran di 03-88868047 atau faks pada 03-88891682.