Merungkai Persoalan di Sebalik Maksud Nama Malaysia

Baca versi Jawi di sini.

Nama Malaysia terbentuk daripada dua perkataan Yunani iaitu ‘Malay’ (Μαλαι) dan ‘-ia’ (-ία.)

‘Malay’ ialah perkataan Yunani bagi ‘Melayu.’ Manakala ‘-sia’ atau ‘-ia’ (atau ‘-ία’ di dalam abjad Yunani) pula merupakan satu akhiran dalam bahasa Yunani yang bererti ‘tanah.’ Kadang kala ia disambungkan dengan huruf s (atau σ di dalam abjad Yunani), bergantung kepada situasi dan konteks.

Justeru, terjemahan harfiah ‘Malaysia’ kepada bahasa Melayu ialah ‘Melayu tanah’ atau lebih tepatnya ‘tanah orang Melayu;’ manakala terjemahan harfiah ‘Malaysia’ kepada bahasa Inggeris pula ialah ‘Malay land’ atau ‘land of the Malays.’

Saya pernah terjumpa satu siri poster di Internet berjudul The Literal Translation of Country Names yang memberi terjemahan harfiah nama negara-negara di dunia ini.

Peliknya, di dalam poster itu, terjemahan harfiah untuk Malaysia ditulis sebagai “Mountain City” atau ‘Bandar Gunung.’

Poster The Literal Translation of Country Names yang dibuat oleh Credit Card Compare.

Aneh sekali kerana di dalam poster itu kebanyakan negara yang mempunyai etimologi nama yang hampir sama seperti Malaysia (adunan demonim dan akhiran ‘-ία’ bahasa Yunani) diterjemahkan secara harfiah daripada bahasa Yunani.

Contohnya, Rusia diterjemahkan sebagai “Land of the Rus” atau ‘Tanah Orang Rus,’ manakala Mongolia pula diterjemahkan sebagai “Land of the Mongols” atau ‘Tanah Orang Mongol.’

Menggunakan pendekatan yang sama, terjemahan harfiah untuk Malaysia sepatutnya ialah ‘Land of the Malays‘ atau ‘Tanah Orang Melayu’ dan bukannya “Mountain City” seperti yang tercatat pada poster itu.

Malah, sejak awal kurun ke-19, persekitaran kawasan Nusantara telah dirujuk oleh orang Barat sebagai ‘Malaysia’ yang bermaksud ‘Tanah Orang Melayu.’ Hal ini kerana mereka merangkum seluruh penduduk kawasan maritim Asia Tenggara secara kolektif sebagai orang Melayu.

Antara buktinya adalah catatan seorang ahli pelayaran Perancis bernama Jules Dumont d’Urville mengenai Malaysia seawal tahun 1826.

Pada tahun 1962 pula, sebuah usul telah dibentangkan kepada dewan senat di negara Filipina untuk menukar nama negara tersebut kepada ‘Malaysia.’

Namun, sambil usul itu dibahaskan di dewan kongres Filipina, ia telah dibatalkan setelah nama Malaysia diumumkan sebagai nama baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Hakikatnya, maksud nama negara kita tidak pernah berubah daripada dahulu sehingga sekarang. Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia membawa maksud yang sama, hanya dalam bahasa yang berbeza.

Malah, ‘Federation of Malaya‘ juga membawa maksud yang sama kerana ‘Malaya‘ ialah istilah Latin untuk ‘Tanah Melayu.’

Jelaslah bahawa maksud nama Malaysia tiada kaitan dengan bandar gunung, tetapi merupakan terjemahan secara literal ‘tanah Melayu’ di dalam bahasa Yunani.

Memahami sejarah adalah amat penting supaya kita benar-benar dapat mengenali negara serta asal usul kita dan tidak mudah diperdayakan oleh fakta palsu yang boleh memesongkan sejarah dan identiti negara.