
[UTUSAN}- MERSING 15 Jan. – Seorang lelaki warga emas bersama-sama keluarganya nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dalam gaung di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing, kereta dipandu Swee Ah Pang, 60, hilang kawalan apabila berlaku tanah runtuh secara tiba-tiba semasa melalui jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, kenderaan warga emas itu menjunam dalam gaung berkeluasan kira-kira 70 meter dengan ketinggian cerun 15 meter.
“Polis terima panggilan orang awan menyatakan satu kejadian tanah runtuh dan mendap berlaku di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing.
“Dalam kejadian itu sebuah kereta terjatuh dalam gaung. Mangsa bersama-sama penumpang tidak mengalami kecederaan serius dan dirujuk ke Hospital Mersing bagi pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, laluan tersebut tidak selamat untuk dilalui mana-mana kenderaan ringan atau berat dan ditutup sepenuhnya.
Katanya, jalan alternatif yang boleh digunakan adalah melalui Jalan Nitar-Jemaluang untuk mana-mana orang awam yang mahu ke Johor Bahru atau Mersing.