PM Tiba di Istana Abdulaziz, Persembah Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Abdulaziz di sini, hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi yang membawa Perdana Menteri kesembilan itu dilihat memasuki pintu masuk utama Istana Abdul Aziz, kira-kira pukul 10.53 pagi.

Beliau diringi konvoi dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Sultan Pahang.

Difahamkan, majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah bagi menyampaikan senarai cadangan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan.

Lawatan Ahli Parlimen Bera itu nyata mencuri tumpuan petugas media hari ini, berikutan ia adalah lawatan sulung beliau ke Pahang sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, 20 Ogos lalu.

Pada 23 Ogos lalu, Ismail Sabri  memaklumkan barisan Kabinetnya akan diumumkan dalam tempoh terdekat dan senarai itu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu untuk mendapat perkenan Seri Paduka.

Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu. –{Utusan Digital]

%d bloggers like this: