Dunia sedang bergerak pantas menuju masa depan. Setiap zaman yang berlalu telah mengukir pelbagai penemuan dan ciptaan baharu yang semakin lama semakin canggih, selaras dengan kemajuan teknologi yang berkembang pesat.
Hari ini kita berada di alaf 21, di era revolusi maya yang menyaksikan kemajuan teknologi maklumat berkembang dengan begitu pesat hingga membolehkan berbagai urusan dilakukan melalui alam maya.
Kita kini boleh membida barangan daripada penjual dari seluruh dunia serta membeli barangan secara online, membuat bayaran melalui sistem transaksi atas talian, belajar melalui berbagai kelas dan kursus di atas talian, bermesyuarat bersama ahli-ahli mesyuarat yang berada di negara berbeza melalui telesidang, membayar bil, berurusan dengan egensi kerajaan dan sebagainya tanpa perlu berurusan secara fizikal.
Kalau dahulunya panggilan telefon jarak jauh begitu mahal, kini dengan hanya menggunakan alat peranti pintar yang ada di tangan kebanyakan daripada kita, panggilan telefon dan video melalui internet dapat dibuat secara percuma ke mana sahaja di dunia ini, asalkan ada talian internet.
Di era revolusi maya juga, remaja terdedah kepada ledakan maklumat melalui pelbagai saluran media, di mana sesuatu maklumat boleh menjadi tular hanya dalam sekelip mata.
Dalam keadaan ini, ramai yang terperangkap di dalam situasi yang mengelirukan, contohnya apabila berita palsu itulah yang dianggap benar dan mempengaruhi tindakan kita.
Keterbergantungan remaja kepada internet dan alat-alat peranti pintar, khususnya telefon pintar di dalam kehidupan sehari-hari termasuk untuk mendapat maklumat dan berita menjadikan remaja lebih terdedah kepada keadaan sebegini.
Hal ini perlu diurus dan ditangani dengan baik dan bijaksana agar remaja bijak memilih dan memanfaatkan kuasa internet untuk kebaikan serta dapat membina negara bangsa ke arah kemajuan dan kesejahteraan.
Seseorang remaja boleh mengikuti kelas daripada guru yang berada di luar negara hasil daripada teknologi panggilan video yang begitu baik pada hari ini.
Remaja juga boleh mendapat manfaat daripada berbagai bahan-bahan rujukan sama ada yang berbentuk akademik ataupun yang bercorak pengetahuan am dan kemahiran yang boleh didapati dengan percuma di alam maya.
Namun penekanan disiplin diri dalam melayari alam maya kadang kala tidak diambil berat oleh ibu bapa menyebabkan remaja menjadi mangsa kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
Remaja perlu dilatih dan dibimbing supaya mengoptimumkan penggunaan internet untuk menimba ilmu pengetahuan dan bukannya terjerat ke dalam kehidupan fantasi di alam maya yang terpisah daripada realiti kehidupan yang sebenarnya.
Ibu bapa yang mendedahkan anak-anak mereka kepada kehidupan di alam maya mestilah bertanggungjawab mendidik mereka agar memahami etika serta menjaga keselamatan ketika berinteraksi di platform maya.
Ini termasuklah mengkaji dan menyiasat kesahihan maklumat yang diterima dan bukan terus mempercayainya serta menularkannya.
Pengguna platform maya juga harus sedar bahawa mereka juga tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh bertindak sesuka hati walaupun ada yang merasakan bahawa mereka boleh bersembunyi di sebalik identiti palsu.
Perbuatan menghina agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu di media sosial yang semakin menjadi-jadi menggambarkan keruntuhan akhlak dalam kalangan rakyat dan perkara ini harus diambil perhatian oleh ibu bapa agar tidak menjadi ikutan remaja.
Sikap radikal sesetengah pihak dalam memperjuangkan kebebasan tanpa mempedulikan hak orang lain yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan juga disebarkan di dalam berbagai bentuk di media sosial dan boleh mempengaruhi remaja ke arah budaya anarkisme.
Remaja yang sukakan kebebasan dan mahu melepaskan diri daripada kawalan keluarga akan senang terpengaruh dengan idea liberal dan radikal.
Corak pemikiran beginilah yang diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam mempengaruhi remaja untuk bertindak angkuh, bongkak, biadap, ganas serta tidak lagi merasa bersalah untuk melanggar undang-undang agama dan negara.
Tambahan pula, di media sosial, remaja bebas berinteraksi dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia yang mempunyai corak pemikiran yang sama, lalu membentuk kumpulan-kumpulan yang bercorak radikal bermula di alam maya dengan mencontohi tindakan radikal yang mereka lihat di luar negara, contoh terkini ialah rusuhan anak muda di Hong Kong.
Ketaksuban remaja dalam alam maya juga menyebabkan mereka kurang berinteraksi di luar platform maya; yang mengakibatkan renggangnya hubungan kekeluargaan apalagi hubungan dengan generasi yang lebih tua.
Menurut laporan berita dari Hong Kong, sebilangan ibu bapa tidak tahu bahawa anak-anak mereka terlibat di dalam rusuhan yang merosakkan harta benda awam.
Justeru, peranan ibu bapa dalam membentuk hubungan yang akrab dalam kalangan ahli keluarga amat penting kerana ianya boleh menghindakan para remaja daripada hanyut dan leka di dalam dunia yang terpisah daripada realiti.
Semoga internet yang merupakan salah satu inovasi yang terpenting dalam revolusi maya akan memberi bermanfaat kepada kemakmuran negara bangsa dan tidak disalah gunakan untuk menghancurkan ketamadunan bangsa.