Calon ‘Parti Tua’ Lebih Muda daripada Calon Parti Muda

Siapakah calon termuda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor? Benarkah beliau bukan dari parti orang muda?

Ada yang menyifatkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai ‘parti orang tua’ kerana pengerusinya, Tun Dr. Mahathir merupakan Ahli Parlimen tertua di Malaysia. Maka, ramai beranggapan apabila penyokongnya orang tua tentulah calonnya pun tidak muda.

Sebaliknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia, yang menggunakan singkatan ‘Muda’ disinonimkan dengan golongan muda. Menampilkan presiden parti termuda, mereka membawa naratif bahawa negara mesti dipimpin oleh orang muda seperti mereka.

Menariknya Pejuang dan Muda adalah pecahan daripada PPBM. Semasa mereka berada dalam PPBM, Presiden Muda biasa digelar sebagai cucu Pengerusi Pejuang kerana perbezaan umur dan keakraban hubungan mereka.

PRN Johor merupakan pentas pertama bagi kedua-dua parti yang penuh kontras tetapi pernah bersaudara ini. Justeru, kedua-dua parti baharu ini ibarat baru hendak melangkah ke dalam gelanggang politik.

Dengan stereotaip berkenaan usia ahli parti-parti tersebut, ramai menjangkakan calon termuda PRN Johor akan datang daripada Parti Muda.

Malah, ramai dalam kalangan generasi Undi18 mengharapkan Syed Saddiq akan memberi peluang kepada calon-calon muda seawal usia awal 20-an sepertimana Tun Dr. Mahathir menurunkan Syed Saddiq sebagai calon pada usia 25 tahun.

Namun amat mengejutkan apabila dua calon termuda dalam PRN Johor bukanlah datang daripada parti orang muda, tetapi daripada parti ‘orang tua-tua’ iaitu Parti Pejuang dan MCA (BN). Calon termuda kedua-dua parti ini berusia 26 tahun.

BN sering dikaitkan dengan perihal kolot oleh kumpulan yang menyokong parti orang muda kerana sejarah BN sebagai gabungan politik tertua negara, terutamanya apabila dikira bersama zaman gabungan Perikatan dahulu.

Ironinya, kedua-dua ‘kumpulan tua’ inilah yang berani mengemukakan calon yang paling muda berbanding ‘parti anak muda’.

Calon termuda parti Muda berusia 27 tahun, iaitu Amira Aisya (Puteri Wangsa). Mereka turut menurunkan calon berusia 41 tahun (Azrol Hj. Rahan, Bukit Permai).

Untuk rekod, dalam kebanyakan parti politik tanah air, individu berumur 41 tidak lagi boleh berada dalam ‘sayap muda’.

AMK meletakkan had umur mereka kepada 35 tahun; malah, had umur bagi Pemuda UMNO ialah 40 tahun.

Maka, jangan kita menganggap semua individu yang bernama Muda semestinya berusia muda; beliau mungkin sudah berumur melebihi 80 tahun tetapi masih menyifatkan dirinya ‘muda’.

PRN Johor: Muda Lawan PKR di Larkin

Hari ini parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan mereka juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung.

Ini bermakna rakan PH akan menentang parti teras PH di DUN tersebut.

Parti itu memilih, Rasid Abu Bakar untuk berdepan dengan Dr Zamil Najwah Arbain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Spekulasi tentang pertindihan calon daripada kedua-dua parti yang berada di bawah bumbung Pakatan Harapan (PH) di Larkin telah lama diperkatakan.

Menarik untuk kita melihat Ketua Penerangan Muda Johor akan menentang Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang di kerusi panas tersebut.

Untuk rekod, media melaporkan parti pimpinan Syed Saddiq itu telah diberi enam kerusi oleh DAP dan PAN, iaitu Tenang, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Machap, Parit Raja, dan Tenang.

Parti itu telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan PKR kerana mahukan tiga kerusi lain yang dikatakan lebih mudah untuk dimenangi.

Berjayakah Parti Muda menewaskan parti otai di kerusi panas ini?

PRN Johor: Syed Saddiq Yakin Boleh Menang Kerusi Puteri Wangsa?

Apa istimewanya kerusi DUN Puteri Wangsa sehingga hangat diperkatakan?

Khabarnya PKR Johor mahukan kerusi tersebut namun kerusi itu diserahkan kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia pimpinan Syed Saddiq oleh DAP dan PAN, dengan Amira Aisya sebagai calonnya dalam PRN ini.

Kerusi rebutan ini dianggap sebagai kerusi selamat mereka; malah telah dimenangi pembangkang (Pakatan Rakyat dan kemudiannya PH) selama dua penggal.

Diberitakan juga, Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang dikatakan telah banyak melakukan gerak kerja di DUN tersebut, dianggap sebagai individu yang layak untuk dicalonkan di situ.

Jika benar keadaan ini, maka dapatkah parti Ikatan Demokratik Malaysia menawan hati penyokong PKR?

Mungkin dengan peratus pengundi bukan Melayu yang melebihi 60% memberi keyakinan kepada mereka untuk menang; namun hakikatnya penyokong PKR tentu merasa kecewa dengan keputusan ini.

Sanggupkah mereka mengundi muka baharu daripada parti baharu yang belum mereka kenali?

Adakah jentera PKR DUN Puteri Wangsa akan berkempen untuk Amira Aisya atas semangat setiakawan PH?

PKR v. PH: Logo Siapa Lebih Laku di Johor?

Tindakan PKR menggunakan logo partinya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah menimbulkan pelbagai spekulasi; apatah lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, PH telah kalah teruk dalam PRN Melaka akhir tahun lepas; dan PKR yang bertanding di bawah lambang PH telah gagal memenangi sebarang kerusi yang mereka tandingi.

Ini menyebabkan sebahagian daripada ahli-ahli parti anggota PH tidak puas hati dan mula menyalahkan parti-parti lain; biasalah apabila kalah teruk, tentu akan timbul perasaan marah dan kecewa.

Namun, adakah strategi ini akan memberi kelebihan kepada PKR yang kini masih bernaung di bawah PH?

Adakah benar Bangsa Johor akan memilih PKR hanya kerana parti itu tidak menggunakan lambang PH namun masih bernaung di bawah PH?

Persoalannya:

  • Siapakah calon MB PKR; adakah individu yang sama dengan calon MB PH?
  • Adakah PKR menggunakan manifesto yang sama dengan manifesto PH?

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, logo PKR lebih dikenali berbanding DAP dan PAN memandangkan parti itu berdepan kekangan di beberapa kawasan.

“Soal logo ini taktik, bagi saya, saya setuju logo bukan segalanya, tetapi itu taktik PKR nak memenangi undi dalam kalangan jentera dan penyokong, sebab logo kita dikenali lama, logo roket (DAP) ada kekangan di kawasan tertentu.”

FMT (Guna logo sendiri dalam PRN Johor taktik untuk menang, kata pemimpin PKR) 5 Februari 2022

Namun, terdapat pemerhati politik yang berpendapat bahawa strategi ini boleh memberi gambaran bahawa terdapat masalah dalam gabungan PH.

Rundingan anggota parti PH bersama parti pimpinan Syed Saddiq iaitu Ikatan Demokratik Malaysia tanpa kehadiran wakil PKR lebih menghangatkan spekulasi ini.

Hal ini semakin diperkatakan apabila Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH tidak menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara DAP dan PAN bersama Ikatan Demokratik Malaysia untuk membolehkan parti orang muda itu bertanding di bawah payung PH dalam PRN Johor.

Tindakan Syed Saddiq mengkritik Gopalakrishnan daripada PKR semasa beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram sebelum meminta maaf juga menimbulkan pelbagai persepsi.

Berjayakah PKR menebus kekalahan mereka dalam PRN Melaka dengan bertanding atas logo mereka sendiri?

Syed Saddiq Tubuh Parti Ikatan Demokratik Malaysia

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan pendaftaran parti baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menurutnya, parti itu bertulangbelakangkan 13 penaja.

“Struktur organisasi kita akan maklumkan kemudian tetapi kami mempunyai 13 penaja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, meskipun dikenali sebagai Muda, parti itu membuka keahlian kepada semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.

“Muda Malaysia tidak boleh dilihat hanya pada faktor umur. Ia lebih kepada fahaman, ideologi, idealisme, dasar-dasar yang inklusif, itu yang paling penting,” katanya.

Sila baca: Banyaknya, Duit Siapa Tu Syed Saddiq?

Terdahulu, bekas Ketua Armada Bersatu itu tiba jam 10.30 pagi untuk menghantar borang permohonan kepada ROS.

Kehadirannya turut ditemani oleh beberapa penyokongnya.

Mengulas mengenai kelulusan pendaftaran Muda Malaysia, beliau berkata, ia terpulang kepada ROS.

Sila baca: Apabila Parti Belia Menjadi Parti Warga Emas

%d bloggers like this: