Exco Nangis, ADUN Kemas Meja: Perak Bakal Tumbang?

Semalam tular sebuah video di media sosial menunjukkan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) merangkap Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menangis teresak-esak sambil mengemas barang-barang di pejabatnya.

Sila baca: Video Exco Perak Menangis Teresak-esak Terpaksa Turunkan Gambar Sendiri

Turut tular ialah rakaman video di mana ADUN Sungkai, Sivanesan Achalingam membidas Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu kerana telah menghilang dan tidak dapat dihubungi.

Beliau yang telahpun mengemas mejanya di pejabatnya, mendesak Ahmad Faizal mengadakan sebuah mesyuarat tergempar bagi menjelaskan kedudukan sebenar kerajaan negeri.

Ekoran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertindak meninggalkan PH, kerajaan PH telah tumbang akibat kehilangan majoriti. PH juga telah hilang majoriti di Johor dan Melaka.

Di Perak, Muafakat Nasional dan PH kedua-duanya mempunyai 28 kerusi manakala PPBM mempunyai 2 kerusi di samping 1 kerusi bebas.

Ini bermakna PPBM merupakan game changer yang akan menentukan masa depan politik negeri Perak.

Ahmad Faizal yang telah berkunjung ke kediaman Tan Sri Muhyiddin pada hujung munggu yang lalu, dilihat sebagai penyokong PM ke-8 dan ramai yang menjangka beliau juga akan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Apakah kerajaan PH di negeri Perak juga bakal tumbang ke tangan Perikatan Nasional seperti Johor dan Melaka?