Tulisan Jawi: Bicara Jenis-jenis Hamzah

<<< Sila baca bahagian pertama di sini <<<

Pada bahagian pertama, saya telah membincangkan dua jenis hamzah iaitu hamzah tiga suku dan hamzah setara. Terdapat empat lagi jenis hamzah di dalam tulisan Jawi. Berikut merupakan keempat-empat jenis hamzah tersebut.

Jenis-jenis hamzah di dalam tulisan Jawi.

Hamzah di atas alif

Huruf hamzah di atas alif amat penting di dalam penulisan Jawi bagi menandakan sambungan imbuhan ‘di-‘, ‘se-‘ dan ‘ke-‘ kepada huruf yang bermula dengan bunyi vokal, seperti ‘diambil’ (دأمبيل), ‘seumat’ (سأومة) dan ‘ke atas’ (کأتس).

Hal ini bagi membezakan istilah-istilah yang mempunyai ejaan sama seperti ‘ke aras’ dan ‘karas’, yang hanya dapat dibezakan dengan penggunaan huruf tersebut, iaitu ‘کأرس’ dan ‘کارس’.

Satu kesilapan yang lazim dilakukan adalah menggantikan huruf ini dengan hamzah di bawah alif bagi kata dasar yang bermula dengan vokal ‘i’ atau ‘e’ (taling) seperti ‘diiringi’ dan ‘dielak’. Sebenarnya, huruf hamzah di atas alif kekal digunakan tanpa mengira vokalnya, seperti ‘دأيريڠي’ dan ‘دأيلق’.

Huruf ini juga terdapat dalam beberapa istilah serapan bahasa Arab yang dikekalkan ejaannya, contohnya ‘takhir’ (تأخير) dan ‘tamakninah’ (طمأنينة).

Hamzah di bawah alif

Kegunaan utama dan paling lazim bagi huruf hamzah di bawah alif adalah untuk menulis huruf ‘E’ di dalam tulisan Jawi, iaitu ‘إي’. Oleh kerana terdapat dua huruf yang sebutannya mempunyai ejaan sama di dalam tulisan Jawi iaitu ‘A’ dan ‘E’, huruf-huruf ini dibezakan dengan penggunaan diakritik hamzah.

Huruf hamzah di atas alif digunakan untuk menulis huruf ‘A’ (أي), manakala huruf ‘E’ menggunakan hamzah di bawah alif (إي).

Hal ini penting bagi penulisan istilah yang mempunyai imbuhan awalan ‘e’ bermaksud elektronik, seperti ‘e-mel’ (إي-ميل), ‘e-dompet’ (إي-دومڤيت) dan ‘e-penjana’ (إي-ڤنجان).

Huruf ini juga digunakan untuk menulis perkataan Melayu yang boleh dikelirukan dengan suatu perkataan lain. Contohnya ‘eh’ (إيه) yang boleh dikelirukan dengan ‘ayah’ (ايه), dan ‘ewah’ (إيوه) yang boleh dikelirukan dengan ‘ayuh’ (ايوه).

Namun begitu, perkataan ‘Islam’ ialah satu-satunya perkataan yang tidak mengikut mana-mana hukum di atas. Ejaan Arabnya dikekalkan dengan huruf hamzah di bawah alif iaitu ‘إسلام’.

Hamzah berumah

Kegunaan utama huruf hamzah berumah ya adalah untuk menandakan bunyi ‘e’ (pepet) selepas vokal ‘i’, ‘e’ (taling), ‘u’ atau ‘o’. Contoh kegunaannya adalah dalam istilah-istilah seperti ‘Boolean’ (بوليئن) dan ‘konstituen’ (کونستيتوئن).

Namun, terdapat satu hukum khas jika vokal sebelumnya ialah ‘i’ atau ‘e’ (taling). Hamzah berumah ya hanya digunakan apabila pola suku kata tersebut adalah di akhir perkataan, seperti ‘candelier‘ (چندليئر). Jika vokal sebelumnya ialah ‘u’ dan ‘o’, ia tetap menggunakan sistem tersebut walaupun pola suku kata berada di tengah-tengah perkataan, seperti ‘konsekuensi’ (کونسي‍ﮑﻮئن‍‍ﺴﻲ).

Hamzah berumah ya juga digunakan bagi memisahkan huruf ya yang ditulis dua kali kerana pengulangan bunyi vokal sama, ataupun ketika penulisan bagi dua bunyi vokal iaitu ‘i’ dan ‘e’ (taling). Contoh situasi ini adalah ‘cemeeh’ (چميئيه), ‘orientasi’ (اوريئينتاسي) dan ‘aparteid’ (اڤرتيئيد).

Huruf ini turut digunakan bagi menandakan penyambungan dua bunyi konsonan di dalam satu pola suku kata seperti ‘Ch’ng’ (چئڠ).

Selain itu, beberapa istilah serapan Arab juga menggunakan hamzah berumah ya bagi mengekalkan ejaan asal, contohnya ‘masalah’ (مسئله) dan ‘tahniah’ (تهنيئه). Hal ini turut terpakai bagi huruf hamzah berumah wau.

Hamzah berumah wau pula langsung tidak digunakan dalam mana-mana perkataan jati Melayu. Ia hanya digunakan untuk kata serapan Arab yang masih mengekalkan ejaannya seperti ‘mukmin’ (مؤمن).

Kesimpulan

Tulisan Jawi mempunyai berbagai-bagai cara untuk menulis huruf hamzah. Setiap cara dan kedudukannya mempunyai kegunaan dan bunyi berbeza.

Maka, adalah penting bagi kita untuk menguasai pemahaman dalam perkara ini, agar jelas mengenai cara sebenar menulis tulisan Jawi, dan tidak membuat kesilapan ketika menulis.

Ini merupakan salah satu bukti bahawa tulisan Jawi adalah unik berbanding tulisan lain yang menggunakan sistem tulisan Arab. Tulisan Jawi telah diadaptasikan bagi kesesuaian tempatan di kawasan Malaysia, agar mudah dibaca, dipelajari dan difahami.

Walaupun bahasa Melayu mempunyai banyak perkataan serapan bahasa Arab, namun lazimnya ejaannya diubah agar bersesuaian dengan sistem Jawi supaya lebih mudah untuk dibaca, seperti ‘fikir’ (‘فکر’ kepada ‘فيکير’) dan ghaib (‘غائب’ kepada ‘غاءيب’).