Gambar Fenomena Gerhana Matahari Separa Disember 2019

SHAH ALAM – Seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan kejadian gerhana matahari hari ini, iaitu sebuah fenomena yang berlaku apabila bulan yang berada di antara matahari dan bumi menghalang sejumlah cahaya matahari daripada terkena permukaan bumi.

Kawasan-kawasan sekitar Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak dapat menyaksikan gerhana matahari anulus, manakala kawasan-kawasan lain di seluruh negara hanya dapat melihat gerhana matahari separa.

Di Kuala Lumpur dan Selangor, suasana sekeliling menjadi malap sejurus bermulanya kejadian ini, walaupun ketika itu tidak ada awan yang menghalang sinaran cahaya matahari.

Saya berpeluang menunaikan solat Zohor dan solat sunat gerhana di Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah.

Ketika saya tiba di sana, sudah ramai warga Shah Alam berkumpul di kawasan masjid dan semasa gerhana tersebut berada pada waktu kemuncaknya, keadaan berkelihatan gelap seolah-olah sedang berlakunya ribut.

Malangnya, selepas itu suasana menjadi mendung dan ketika jemaah sedang mengerjakan ibadah solat sunat gerhana, hujan mula turun menyebabkan ramai tidak dapat melihat fenomena istimewa ini.

Kali terakhir fenomena gerhana matahari anulus berlaku di Malaysia adalah pada 22hb Ogos 1998, iaitu di Mersing, Johor.

Di bawah merupakan gambar-gambar kejadian gerhana matahari separa yang dirakamkan sekitar Subang Jaya dan Shah Alam.

Panduan Solat Sunat Gerhana Matahari

Setiap kali berlakunya gerhana di negara ini, sudah tentu ada yang akan mencari panduan bagi solat sunat gerhana, tidak kira lah gerhana matahari ataupun gerhana bulan.

Waktu solat sunat gerhana matahari bagi kawasan-kawasan di Malaysia.

Solat sunat gerhana merupakan sebuah ibadah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat digalakkan, maka umat Islam seluruh negara digalakkan untuk melaksanakan solat sunat gerhana sempena gerhana matahari anulus yang dijangka bakal berlaku pada hari Khamis ini.

Gerhana tersebut, yang sering dirujuk sebagai Gerhana Cincin, akan dapat disaksikan di kawasan negara-negara Arab termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, kawasan selatan India dan Sri Lanka, dan akhirnya di sebahagian daripada Sumatera, Malaysia, Singapura, Borneo dan Guam.

Di Malaysia, berberapa kawasan seperti Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak dapat menyaksikan gerhana matahari anulus, manakala kawasan-kawasan lain hanya dapat melihat gerhana matahari separa.

Di bawah merupakan cara-cara bagi melakukan ibadah solat sunat gerhana, dipetik daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Panduan bagi Solat Sunat Gerhana Matahari

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA

Bagi solat sunat gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara.

Solat gerhana matahari ini boleh dilakukan dengan 3 cara:

  1. Cara yang paling ringkas iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.
  2. Disebut dengan “الكمال أدنى” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
    Bagi kita di Malaysia ini, cara kedua (“الكمال أدنى”) adalah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.
  3. Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktu bagi solat gerhana matahari ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT SUNAT GERHANA

  1. Disunatkan mandi sebelum solat.
  2. Bilal menyeru: “الصَّلاَةُ جَامِعَةُ”.
  3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
  4. Berniat mengerjakan solat gerhana.
    (a) Lafaz niat untuk gerhana matahari
    “اُصَلِّىْ سُنَّةَ كُسُوْفِ اْلشَّمْسِ رَكْعَتـَيْنِ مـأَمُومًـا لِلّهِ تـَعَـالَى”
    “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.
  5. Takbiratul Ihram.  Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
  6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
  7. Baca al-Fatihah dan Surah.
  8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
  9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
  10. Baca al-Fatihah dan Surah.
  11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
  12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
  13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
  14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana.  Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

INGATAN

  1. Dilaksanakan solat gerhana semasa berlaku gerhana dan sekiranya khutbah gerhana tidak dapat disudahkan dalam waktu gerhana maka tidaklah menjadi kesalahan.
  2. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
  3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan (سر) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring (جـهر).
  4. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).

Waktu Solat Sunat Gerhana Matahari 2019 Bagi Negeri-Negeri di Malaysia

Umat Islam seluruh negara disaran menjalani ibadah solat sunat gerhana, bagi memenuhi tuntutan sunat muakkad sempena gerhana matahari anulus yang dijangka bakal berlaku pada hari Khamis ini.

Gerhana tersebut, yang sering dirujuk sebagai Gerhana Cincin, akan dapat disaksikan di kawasan negara-negara Arab termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, kawasan selatan India dan Sri Lanka, dan akhirnya di sebahagian daripada Sumatera, Malaysia, Singapura, Borneo dan Guam.

Di Malaysia, berberapa kawasan seperti Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak dapat menyaksikan gerhana matahari anulus, manakala kawasan-kawasan lain hanya dapat melihat gerhana matahari separa.

Waktu solat sunat gerhana matahari bagi kawasan-kawasan di Malaysia.

Menurut Planetarium Negara, tempoh gerhana akan berlaku bermula pukul 1.21 petang hingga 1.23 petang bagi Tanjung Piai, manakala di Serian pula, fenomena astronomi itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 petang hingga 1.50 petang.

Melalui sebuah surat hebahan, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menetapkan bahawa gerhana tersebut akan berlaku di negeri itu pada dari jam 11.22 pagi hingga 3.14 petang.

Umat Islam di Negeri Sembilan disarankan untuk melaksanakan solat gerhana di antara 11.20 pagi hingga 3.20 petang di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri pada hari tersebut.

Bagi negeri Selangor dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, gerhana tersebut akan bermula pada jam 11.19 pagi hingga ke 3.11 petang, seperti yang diumumkan melalui sebuah pengumuman daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor. Kemuncak gerhana di negeri tersebut dijangka akan berlaku pada jam 1.13 tengah hari.

Di negeri Perak, Jabatan Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata, gerhana tersebut dijangka berlaku di negeri tersebut mulai 11.18 pagi sehingga 3.09 petang, dengan waktu kemuncaknya pada 1.11 tengah hari, ketika 85 peratus matahari ditutupi oleh bulan.

Negeri Pahang akan menyaksikan fenomana alam tersebut mulai jam 11.26 pagi hingga ke 3.17 petang, manakala kemuncaknya adalah pada jam 1.22 tengah hari, seperti yang diumumkan Jabatan Mufti Negeri Pahang.

Jabatan Mufti Negeri Kedah pula menetapkan bahawa gerhana tersebut akan bermula pada jam 11.15 pagi dan berakhir pada jam 3.05 petang bagi kawasan Alor Setar, manakala bagi kawasan Kuah pula ia akan berlangsung daripada jam 11.14 pagi hingga 3.04 petang, dan daripada jam 11.16 pagi hingga 3.06 petang bagi kawasan Sungai Petani.

Di Terengganu pula gerhana dijangka bermula pada jam 11.24 pagi dan dijangka berakhir pada jam 3.15 petang, menurut laporan akhbar Sinar Harian. Bagi negeri Kelantan pula, fenomena ini akan berlangsung selama hampir empat jam, daripada jam 11.20 pagi hingga ke 3.11 petang, dengan kemuncaknya pada 1.15 tengah hari.

Melalui satu poster hebahan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa gerhana tersebut akan bermula pada jam 11.15 pagi hingga jam 3.06 petang di negeri itu, manakala kemuncaknya adalah pada jam 1.08 tengah hari.

Di negeri Perlis, Bahagian Falak & Pengajaran, Jabatan Mufti Perlis menetapkan bahawa gerhana tersebut akan bermula pada 11.20 pagi hingga ke 3.12 petang bagi negeri itu, dan kemuncak bagi gerhana tersebut adalah pada 1.15 tengah hari.

Kota Kinabalu bakal menyaksikan fenomena ini pada jam 12.09 tengah hari hingga ke 3.45 petang, manakala di kawasan Kudat gerhana akan bermula pada jam 12.12 tengah hari dan berakhir pada 3.46 petang. Di kawasan Sandakan pula, gerhana akan berlangsung daripada jam 12.17 tengah hari hingga 3.48 petang, dan di kawasan Tawau pula ia akan mula pada 12.16 tengah hari dan berakhir pada 3.48 petang.

Di negeri Johor pula, gerhana ini akan berlangsung selama 3 jam 51 minit, daripada jam 11.24 pagi hingga ke 3.15 petang.

Bagi kawasan-kawasan lain di negeri Sarawak, gerhana matahari tersebut akan berlangsung daripada jam 11.48 pagi hingga 3.34 petang di Kuching, 11.53 pagi hingga 3.37 petang di Sibu, 11.57 pagi hingga 3.39 petang di Bintulu, dan 12.01 tengah hari hingga 3.41 petang di Miri.

Tanjung Piai dan Serian Bakal Menyaksikan Gerhana Matahari Cincin

Image result for annular solar eclipse
Gambar hiasan.

[BERNAMA}- Rakyat Malaysia bakal berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Anulus (Cincin) pada 26 Dis ini yang berlaku di kawasan Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak.

Pengarah Planetarium Negara Anita Bahari berkata Gerhana Matahari Cincin itu hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.

Beliau berkata tempoh gerhana akan berlaku bermula pukul 1.21 petang hingga 1.23 petang di Tanjung Piai manakala di Serian pula, fenomena astronomi itu akan berlaku dalam tempoh kira-kira empat minit bermula  1.46 petang hingga 1.50 petang.

“Gerhana Matahari Cincin ini pernah terjadi 21 tahun dahulu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor dan jika anda terlepas peluang ini, kita harus menunggu 22 tahun lagi,” katanya dalam sidang media Gerhana Matahari Anulus di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi, Industri dan Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Pada waktu sama, seluruh negara juga akan turut mengalami fenomena Gerhana Matahari Separa yang akan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.

Namun jelasnya, jika masyarakat ingin melihat kejadian Gerhana Matahari Cincin lebih dekat dan tepat, ia hanya berlaku di Tanjung Piai dan Serian sahaja.

Selain itu, bersempena fenomena itu juga, Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai turut mengadakan festival SolarFest Malaysia 2019 bermula 24 sehingga 26 Dis ini.

Festival yang menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran itu juga bakal disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan, melibatkan pelbagai acara antaranya kempen kesedaran alam sekitar dan pameran solar Gastronomi.

Pada kemuncak acara 26 Dis nanti, orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata yang disediakan oleh Planetarium Negara.

— BERNAMA

%d bloggers like this: