Wanita Enggan Jabat Tangan Lelaki Apartheid Baru – Farouk A. Peru

Inilah masalahnya dengan orang-orang jahil tetapi merasakan diri mereka pandai, maka bukan sahaja mereka bodoh sombong, malah cuba memaksa idea sesat mereka supaya diterima di negara ini.

Baru-baru ini Free Malaysia Today (FMT) telah menyiarkan tulisan aktivis liberal, Farouk A. Peru yang bertajuk “Salam David Beckham dan ‘apartheid’ baru”.

Artikel itu mengkritik tindakan seorang wanita Islam yang memilih untuk mematuhi batas pergaulan Islam dan tidak menyambut salam David Beckham apabila pemain bola sepak terkenal itu menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.

Apakah Farouk cuba mengatakan tindakan wanita tersebut (yang tidak mahu berjabat tangan bersama David Beckham) adalah akibat daripada perpisahan di antara agama yang dilabelkannya sebagai ‘aparthied’ dengan menulis seperti yang tertera di bawah?

Semakin lama, semakin luas jurang perbezaan di antara rakyat Malaysia beragama Islam dan bukan Islam.

Pengasingan ini dinamakan “apartheid”. Sebab apartheid ini berlaku bukanlah tuntutan Islam sendiri, tetapi amalan yang diajar oleh agamawan yang tidak dapat membezakan agama dan budaya.

Amalan ini boleh jadi amalan yang kecil sahaja seperti berjabat tangan.

Aktivis liberal itu juga menulis:

Inilah masalah sebenarnya. Dengan mudah, sebuah akhbar “arus perdana” membuat dakwaan yang ini “batas pergaulan Islam”.

Yang sebenarnya, peraturan sedemikian tidak disebut langsung dalam Al-Quran, sumber utama Islam. Ia hanya menyatakan jangan mendekati zina (Surah Al-Isra, ayat 32). Adakah dengan berjabat tangan di khalayak ramai itu boleh membawa kepada zina? Tak masuk akal langsung!

Sebenarnya, wanita ini hanya mengikut suruhan ustaz yang tidak memahami perbezaan antara budaya dan agama, itu saja.

Sebenarnya pendapat dan tafsiran sesat Farouk A. Peru itulah yang “tak masuk akal langsung” dan aktivis liberal itulah yang “tidak memahami perbezaan antara budaya dan agama”,

Menurut Hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

“Ditetapkan atas anak cucu Adam bagiannya dari zina akan diperoleh hal itu tidak mustahil. Kedua mata zinanya adalah memandang (yang haram). Kedua telinga zinanya adalah mendengarkan (yang haram). Lisan zinanya adalah berbicara (yang haram). Tangan zinanya adalah memegang (yang haram). Kaki zinanya adalah melangkah (kepada yang diharamkan). Sementara hati berkeinginan dan berangan-angan, sedang kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” ~Hadis Riwayat Muslim | 2657

Perkara ni juga disebut di dalam kitab Hadis Riwayat Sahih Al Bukhari di dalam hadis ke-6243.

Apabila kita hanya merujuk kepada Al-Quran sahaja tanpa membaca hadis yang berkaitan, maka sukarlah bagi kita untuk memahami hukum hakam dan undang-undang Islam, termasuklah dalam perkara batas pergaulan dalam Islam.

Namun bagi golongan anti-hadis, mereka menolak hadis dan merasakan bahawa akal mereka sudah cukup hebat untuk menafsirkan sendiri kitab suci Al-Quran, walaupun mereka tidak memahami bahasa Al-Quran iaitu bahasa Arab dan hanya membaca tafsir Al-Quran sahaja.

Golongan anti-hadis ini merasakan pendapat merekalah yang benar dan oleh itu, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun termasuklah para mufti.

Farouk seterusnya menulis:

Malaysia satu negara berbilang bangsa dan agama. Janganlah kita membiarkan satu golongan mendominasi ke atas golongan lain.

Nampaknya Farouk A. Peru bukan sahaja jahil tentang hukum Islam malah juga jahil tentang asas dan idealogi Negara termasuk undang-undang tertinggi Negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia bukan sebuah Negara berbilang agama tetapi ialah sebuah Negara Islam dan seperti yang tertulis di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama bagi Negara ini hanyalah Islam manakala agama-agama lain hanyalah agama-agama yang boleh diamalkan selagi tidak mengganggu suasana aman dan damai agama Negara iaitu agama Islam.

Perkara 3(1) mengatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Manakala, Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Seterusnya Farouk yang menentang dasar-dasar Islamisasi di Negara ini turut mendakwa Malaysia boleh menjadi negara taliban, apabila Islamisasi tersebar di dalam Negara ini.

Farouk A. Peru menulis:

Dasar yang dianggap Islamisasi datang dengan kita tidak sedar. Sebelum kita tahu, mungkin kita telah menjadi negara Taliban!

Sebenarnya fahaman liberalnya menjadikan Farouk A. Peru seorang yang amat keliru sehinggakan dia tidak dapat memahami asas-asas dan hukum agama Islam dan juga ideologi Negara kita.

Farouk A Peru ialah seorang daripada penulis buku G25 iaitu “Breaking the Silence: Voices of Moderation” yang telah di haramkan kerana mempromosikan fahaman liberalisasi agama yang boleh merosakkan aqidah umat Islam.

Namun, aktivis liberal sebeginilah yang diangkat sebagai pejuang Islam oleh sesetengah orang terutamanya peminpin parti-parti politik pembangkang yang lantang menentang dasar kerajaan yang memperjuangkan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PAN, Dr Mujahid Yusof Rawa dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan keras telah membantah pengharaman buku “Breaking the Silence” dan buku-buku liberal dan ajaran sesat yang lain.

Bencinya Farouk A. Peru Akan Sekolah Tahfiz

Membaca berita tragedi kemalangan di Kampung Telekong yang telah mengorbankan tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang, yang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu, mengingatkan saya tentang kenyataan seorang tokoh liberal berkenaan sekolah tahfiz.

Siapa yang tidak kenal akan aktivis liberal bernama Farouk A. Peru, yang begitu kerap menghina dan menentang ajaran Islam di samping menyebarkan ajaran sesat?

Terkenal sebagai seorang liberal yang juga anti-hadis, Farouk pernah menulis bahawa hudud itu bercanggah dengan Al-Qur’an, dan menyokong dakwaan Siti Zabedah Kassim bahawa tuhan terhasil daripada getaran.

Tokoh liberal ini pernah mengeluarkan kenyataan di Facebooknya yang mengkritik sekolah-sekolah  tahfiz, khususnya sekolah di mana Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pernah belajar.

  • Quran says: be just even if against yourselves (4/135, 5/8)
  • My question: when will the admin of Thaqif’s school give full co-operation?
  • Or do they not know what they memorised and are singing daily?

Tulisannya itu disokong oleh netizen-netizen yang membaca halaman Facebooknya, di mana seorang daripada mereka menulis bahawa kitab suci Al-Qur’an itu adalah ‘buku karaoke’.

Dan komen jijik ini dipersetujui oleh Farouk A. Peru dengan ‘gelak ketawa’.

Malah, tidak terhenti di situ, kenyataan biadap di halaman Facebooknya itu telah disusuli oleh sebuah artikel yang ditulisnya untuk menjawab kenyataan Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood, ‘Farouk A Peru: Maut Mohamad Thaqif – Siapa Yang Bersalah?’, dan disiarkan oleh sahabatnya, Mariam Mokhtar.

Farouk A. Peru di dalam artikelnya itu mengatakan bahawa “ini bukan takdir Tuhan” (merujuk kepada peristiwa malang yang menimpa Allahyarham Thaqif), dan seterusnya menulis, “ini kebodohan ulamak-ulamak pentadbir sekolah yang tidak faham bagaimana menguruskan institusi” sebelum mempersoalkan tindakan Perdana Menteri memberi dana yang besar yang diharapnya “tidak akan disalahgunakan untuk ‘brainwash’ budak-budak sekolah ini”  supaya menjadi anak murid Wandy Jedi.

“Ada juga orang yang mengatakan ini takdir Tuhan. Ini bukan takdir Tuhan, ini kebodohan ulamak-ulamak pentadbir sekolah yang tidak faham bagaimana menguruskan institusi. Mungkin mereka boleh mengerjakan solat hajat saja, seperti Pas!

“Yang ironiknya, perdana menteri, Najib Razak, sendiri baru memberi dana 80 juta kepada sekolah pondok, sekolah menengah agama berdaftar dan sekolah tahfiz.

“Adakah Najib akan menyelidiki bajet-bajet sekolah ini dan memastikan ulamak-ulamak tidak menyonglap dana yang diberi kerajaan itu? Tuhan sahaja yang tahu. Harap-harap, dana ini tidak akan disalahgunakan untuk ‘brainwash’ budak-budak sekolah ini untuk membenci orang lain dan akhirnya menjadi anak murid Wandy Jedi pula!”

Apa yang dapat kita simpulkan daripada petikan di atas ialah:

  1. Farouk menghina ulamak dan mendakwa “ulamak pentadbir sekolah” sebagai bodoh.
  2. Farouk mempertikaikan kebesaran Allah dengan memperkecilkan solat hajat.
  3. Farouk mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri “memberi dana 80 juta” kepada sekolah pondok, agama dan tahfiz.
  4. Farouk bersangka buruk terhadap pentadbiran sekolah agama dan tahfiz secara keseluruhannya dan menuduh mereka berhasrat “menyonglap dana” itu.
  5. Farouk menghina dan memfitnah sekolah agama dan tahfiz seolah-olah mereka menghasut pelajar dan menjadikan mereka seperti Wandy Jedi. Bercakap dalam nada yang sama seperti Naib Presiden Parti GERAKAN, Dominic Lau Hoe Chai yang bukan Islam, Farouk menggambarkan sekolah-sekolah ini menghasilkan orang yang ekstrim.

Apa yang jelas, Farouk telah mengambil kesempatan diatas tragedi yang menimpa Thaqif untuk menzahirkan kebenciannya terhadap sekolah agama dan tahfiz dengan berbagai fitnah jahat.

“Sebenarnya, kita tidak memerlukan langsung sekolah-sekolah tahfiz mahupun sekolah aliran agama. Sekolah-sekolah sebegini hanya akan memencilkan golongan Melayu Islam daripada Rakyat yang lain dan juga daripada realiti”.

Lebih teruk lagi, aktivis liberal ini menghina agamawan dan menggelar mereka sebagai “paderi”:

“Inilah kasta paderi yang telah melekakan umat Islam dan menyebabkan mereka jauh ketinggalan di dunia.”

Tuduhan hina dan biadap Farouk A. Peru ini menggambarkan ego dan kejahilannya sehingga menjadi seorang pejuang ajaran sesat.

Akibatnya, penyumbang bersama dalam penulisan buku, ‘Breaking The Silence: Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy’ oleh kumpulan G25 ini amat memusuhi dasar-dasar Islam yang diterapkan di dalam sistem pemerintahan negara.

Namun amat menghairankan bilamana masih ada orang-orang Islam sendiri yang begitu teruja untuk mengangkatnya sebagai seorang pakar pemikir Islam.