Putera Philip, Duke Edinburgh, Mangkat pada Usia 99 Tahun

Baca versi Jawi di sini.

Duke Edinburgh dan suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip telah mangkat di Istana Windsor sebentar tadi pada usia 99 tahun.

Memetik sebuah kenyataan daripada Istana Buckingham hari ini:

“Adalah dengan penuh dukacita Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen mengumumkan kemangkatan suami tercinta Baginda, Duli Yang Maha Mulia Putera Philip, Duke Edinburgh. Baginda telah mangkat pagi tadi di Istana Windsor. Segala pengumuman selanjutnya akan dibuat pada masa yang sesuai. Kerabat Diraja (United Kingdom) akan bersama-sama dengan warga seluruh dunia dalam berkabung berikutan kemangkatan Baginda.”

“It is with deep sorrow that Her Majesty The Queen announces the death of her beloved husband, His Royal Highness The Prince Philip, Duke of Edinburgh. His Royal Highness passed away peacefully this morning at Windsor Castle. Further announcements will made in due course. The Royal Family join with people around the world in mourning his loss.”

Baginda merupakan Putera Suami paling lama menduduki takhta dalam sejarah Britain, dan hanya beberapa bulan sebelum menyambut hari jadi baginda ke-100 pada bulan Jun.

Putera Philip telah pulang ke Istana Windsor pada 16 Mac setelah tinggal di hospital selama sebulan. Baginda pada mulanya menerima rawatan untuk jangkitan kuman namun kemudiannya menjalani pembedahan jantung.

Satu notis kemangkatan Baginda telah dipaparkan pada pagar Istana Buckingham seperti biasa. Walau bagaimanapun, notis tersebut kemudiannya diturunkan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan orang ramai.

Wabak Covid-19 akan membawa impak besar kepada istiadat pemakaman Baginda Putera Philip. Dengan kawalan dan ketetapan ketat akibat penularan wabak Covid-19, segala jenis elemen awam bagi istiadat tersebut tidak akan dilaksanakan secara biasa.

Putera Philip sebelum ini telahpun dilaporkan dalam keadaan gering akibat kesihatan Baginda. Baginda telah mengumumkan akan menarik diri daripada pertemuan diraja pada bulan Mei 2017. Kali terakhir Baginda dilihat mencemar duli semasa upcara rasmi adalah pada akhir tahun itu ketika perarakan Marin Diraja di pekarangan Istana Buckingham.

Sejak itu, Baginda kurang dilihat secara awam, dan meluangkan kebanyakan masa Baginda di estet Sandringham Baginda Queen di Norfolk, dan kemudiannya di Istana Windsor semasa tempoh perintah berkurung sepanjang pandemik Covid-19, di mana Baginda berdua telah menyambut ulang tahun ke-73 perkahwinan Baginda secara tertutup pada bulan November 2020.

[Dipetik daripada laporan The Guardian]