Siapakah Pengganti Dr Maszlee?

Baca versi Jawi di sini.

Pada hari kedua tahun 2020, negara telah digemparkan dengan berita perletakan jawatan Menteri Pendidikan.

Petang 2 Januari 2020, Dr Maszlee Malik telahpun mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3hb Januari 2020; menjadikan beliau anggota kabinet pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang meletak jawatan.

“Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020. “

Berita ini disusuli dengan sepucuk surat kenyataan rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telahpun maklum akan hal tersebut dan menerima perletakkan jawatan Menteri Pendidikan.

Persoalan sekarang adalah:

  1. Siapakah yang bakal dilantik untuk memegang jawatan kanan ini?
  2. Ke manakah hala tuju Kementeian Pendidikan selepas ini?

Memandangkan Dr Maszlee ialah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), maka sudah tentu kebanyakan ahli PPBM mahukan pengganti beliau juga datang daripada parti tersebut. Namun, apakah Tun Dr Mahathir akan melantik pemimpin PPBM menggantikan Dr Maszlee, atau adakah Tun bakal memberikan jawatan tersebut kepada Teo Nie Ching yang merupakan pemimpin parti Democratic Action Party (DAP)?

Sebelum menjadi ahli politik, Dr Maszlee adalah seorang ahli akademik. Beliau dikritik hebat oleh penyokong PH sendiri setelah memegang jawatan Menteri Pendidikan walaupun ketika dilantik ke jawatan tersebut, beliau pernah disanjung dan dipuji oleh mereka.

Dalam tinjauan atas talian oleh Malaysiakini, di mana prestasi kesemua 28 menteri kerajaan PH dinilai oleh pembacanya, prestasi menteri-menteri daripada PPBM dilihat berada di tangga bawah berbanding menteri-menteri daripada parti-parti lain, khasnya DAP.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang berada pada kedudukan paling tinggi berbanding menteri-menteri lain daripada PPBM, hanya berada pada tangga ke-17.

Menurut tinjauan tersebut, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berada di tangga ke-19, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berada di tangga ke-25, diikuti oleh Dr Maszlee Malik di tangga ke-27, manakala di tangga paling bawah ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof iaitu di tangga ke-28.

Berdasarkan keadaan sosiopolitik negara pada ketika ini, Perdana Menteri perlu mengambil kira berbagai faktor termasuk pertimbangan politik dalam memilih calon untuk jawatan menteri kanan ini.

Rentetan peletakan jawatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan, ada pihak yang telah tampil mempertahankan beliau, malah menuntut agar beliau kembali memjadi Menteri Pendidikan.

Apakah petisyen, “Gesa Kekalkan YB Maszlee sebagai Memteri Pendidikan Malaysia” yang telah mendapat kira-kira 350,000 tandatangan sejak dilancarkan akan dapat mengembalikan Dr Maszlee ke jawatan Menteri Pendidikan?

Jika perkara ini berlaku, akan ada pihak yang merasakan bahawa tindakan Dr Maszlee meletak jawatan ini hanyalah satu lagi permainan politik dalam percaturan politik PH yang akhirnya boleh mengundang pelbagai persepsi negatif daripada rakyat marhaen.

Oleh kerana jawatan ini sangat penting, saya berharap Perdana Menteri akan memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam memilih siapakah yang akan memegang jawatan penting ini agar hala tuju pendidikan negara bukan sahaja berjalan lancar tetapi juga selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

RASMI – Maszlee Letak Jawatan Menteri Pendidikan

Baca versi Jawi di sini.

[Sinar Harian}- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed akan mengumumkan Menteri Pendidikan baharu dalam tempoh terdekat bagi menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan berkuat kuasa esok.

Dr Mahathir berkata, beliau sebelum itu menerima surat peletakan jawatan Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam hari ini.

“Yang Berhormat Dr Maszlee Malik telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada saya pada hari ini.

“Saya menerima peletakan jawatan tersebut berkuatkuasa 3 Januari 2020. Saya mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota Kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” katanya melalui kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Maszlee hari ini dalam satu sidang akhbar di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuknya mengemudi KPM.

Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Mac 2018, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon Pas, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.

Kenyataan media Dr Mahathir yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Rais risau Kementerian Pendidikan rosak di bawah Maszlee

RAIS YATIM

[Utusan Online}- KUALA LUMPUR 3 Dis. – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menzahirkan kebimbangan terhadap Kementerian Pendidikan.

Kebimbangan itu tercetus apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengeluarkan kenyataan untuk memastikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan silibus pembelajaran Sejarah dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rais dalam akaun Twitter miliknya hari ini menegaskan bahawa adalah sia-sia sekiranya Maszlee dibiarkan terus memimpin Kementerian Pendidikan.

“Masya-Allah … Kalau betullah berita ini, sia-sia dia dibiarkan terus memimpin Kementerian Pendidikan. Rosak,” katanya.

Tetap Iktiraf UEC

[UTUSAN}- PUTRAJAYA 12 Julai – Meskipun ditentang oleh banyak pihak, kerajaan akan tetap meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras dengan manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Pendidikan, Dr. Masz­lee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat pusingan U atau dilihat ‘flip-flop’ dalam perkara itu.

“Sehubungan itu, saya tidak rasa ada sebarang percanggahan antara kita dalam perkara ini. Yang bercanggah hanya antara pihak Barisan Nasional (BN). UMNO kata lain, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong kata lain, MCA kata lain dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kata lain.

“Dalam Pakatan Harapan (PH), kita tidak bercanggah kerana kita telah bersetuju dengan manifesto yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Kementerian Pendidikan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pengumuman kerajaan negeri Melaka pada 2 Julai lalu yang mengiktiraf UEC sebagai syarat kelayakan membo­leh­kan memasuki perkhid­matan awam negeri itu telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak di negara ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching seolah-olah tidak mengambil kira tentang bantahan tersebut apabila baru-baru ini menyatakan, isu berkaitan pengiktirafan UEC perlu diselesaikan secepat mungkin supaya pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.

Ketika ditanya tentang tempoh yang akan diambil untuk UEC diiktiraf, Maszlee secara berseloroh mengatakan bahawa ia tidak akan mengambil masa selama 60 tahun seperti BN.

Sementara itu, Nie Ching dalam satu kenyataan di sini hari ini menjelaskan, kerajaan tidak berniat membubarkan institusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang telah banyak berjasa kepada pembangunan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Berhubung isu kononnya LPS diarah untuk dibubarkan, beliau berkata, perjumpaan antara pegawai Pejabat Pendidikan Petaling Perdana dengan pengetua dari 11 SJKC serta dua SJKT adalah mengenai penyelarasan pengurusan LPS dan bukannya pembubaran LPS.

Nie Ching memberitahu, perkara sama juga dinyatakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka yang menegaskan tidak pernah mengarahkan pihak sekolah untuk membubarkan atau menghentikan pendaftaran LPS.

“Saya ingin menegaskan bahawa mengikut Akta Pendidikan 1966 (Akta 550), pembubaran LPS institusi pendidikan kerajaan atau bantuan kerajaan hanya boleh diarahkan oleh Menteri dengan sebab dan alasan yang dinyatakan pada Seksyen 62,” katanya.